Kebakaran Bukit Aman: Kebetulan atau petanda buruk?

Mike Tan
Kebetulan apakah ini!

Sehari selepas kita menyaksikan Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri, peguam negara ditukarkan dan nasib tidak menentu siasatan 1MDB berikutan pelantikan empat ahli Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) - termasuk pengerusinya Nur Jazlan Mohamed - ke dalam kabinet, rakyat Malaysia boleh menambah satu lagi ke dalam senarai insiden yang hampir mustahil berlaku - kebakaran di ibu pejabat polis Bukit Aman yang terjadi hari ini.

Kebakaran berlaku di tingkat 9 dan 10 Menara 2 yang menempatkan Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Narkotik. Kebakaran mula terkawal pada jam 7.47 malam.

Walaupun kebakaran tidak terlalu dahsyat, berita serta gambar dan komen tentangnya tersebar secara pantas dan meluas di media sosial.

Tentulah rakyat Malaysia tidak merasakan ada hal yang mencurigakan di sebalik kebakaran ini, waktu ia berlaku, serta lokasi kebakaran yang memang penting buat pihak-pihak tertentu. Mereka menjadikan kebetulan ini sebagai bahan lawak, dengan cemuhan bernada sarkastik.

Api sudah pun dipadam, dan PDRM bertindak pantas membuat ‘damage control'. Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar tidak memandang ringan hal ini, dan kelihatan bersungguh untuk menamatkannya sebelum ia bertambah buruk dengan membuat beberapa kenyataan di laman Twitter.

Twit pertamanya kira-kira jam 8 malam tadi bersifat profesional. Khalid mengesahkan kebakaran berlaku dan memberikan penjelasan ringkas - punca kebakaran akan disiasat. Ini diikuti twit kedua kurang 20 minit kemudian. Beliau memaklumkan hanya dokumen tidak penting yang musnah dalam kebakaran.

Beliau juga memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang khabar angin.

Tindakan pantas Khalid ini menunjukkan beliau turut sedar yang orang ramai tidak memerlukan satu lagi insiden yang memburukkan lagi tanggapan terhadap kerajaan - yang kini berada di tahap terendah.

Tidak dapat dinafikan, negara kini berhadapan cabaran terburuk sejak pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Walaupun tidak seburuk 1998, pihak berkuasa, dan pada satu sisi rakyat sendiri, sedar bahawa negara tidak mampu untuk menghadapi satu lagi krisis di saat-saat ini.

Adakah kebakaran ini hal terakhir dalam senarai insiden yang menimpa negara pada saat ini, atau merupakan satu petanda tentang apa yang bakal mendatang?

Kita semua menanti dengan penuh debaran.|
-antdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan