Nizar dengan DAP Perak dan PAS

Subky Latif
DATUK Seri Nizar Jamaludin dikekalkan oleh DAP Perak sebulat suara sebagai Ketua Pembangkang tetapi dia tidak tersenarai dalam pimpinan Perhubungan PAS negeri itu.
Mengikut Nga Kor Ming, ketua DAP Perak keputusan itu telah dimaklumkan kepada DAP pusat dan tidak dimaklumkan ada bantahan.
Ia satu perkembangan politik yang menarik perhatian pada ketika PAS dan DAP sudah tidak sepasukan lagi dan kedua pihak terus berperang mulut.

Kor Ming sepatutnya menjadi ketua pembangkang yang baru kerana DAP mempunyai majoriti yang selesa dan kedua parti sudah tiada hubungan lagi. Tetapi DAP nampaknya mahu mengekalkan hubungan sedia ada sesama pembangkang di Perak dan apakah akan berterusan hingga ke pilihan raya yang akan datang?

Kor Ming ketika menjelaskan keputusannya itu menyampaikan kata-kata yang baik terhadap hubungan PAS dan DAP di negeri itu, yang dikira boleh menyenangkan PAS mendengarnya.

Tetapi apa yang dapat dibuat oleh Nizar yang sudah tidak ada kedudukan dalam PAS di negeri itu selain dari hanya seoarang Adun PAS dari Changkat Jering.

Dulu dia Timbalan Pesuruhjaya dan jadi angota perhubungan atas kedudukan sebagai Yang Dipertua PAS Kampar. Ketua PAS Kampar sekarang orang lain.

Dengan kedudukan itu tidak ada jalur rasmi bagi Nizar hendak bagi menjadi jambatan antara kedua pihak. Tetapi mengikut Kor Ming, dia dan ahli DAP negeri semua peringkat mempunyai hubungan yang baik dengan Pesuruhjaya Razman Zakaria dan orang-orangnya dan mengharapkan hubungan baik seperti biasa kecuali keduanya sudah tidak dalam satu pasukan.

Apapun jika Nizar ada dalam perhubungan tentu kedudukannya sebagai ketua pembangkang boleh memberi kelebihan dan kebaikan dalam hubungan kedua parti.

Perlu diingat hubungan PAS dan DAP di Perak adalah pencetus awal kepada muafakat Pakatan Rakyat. DAP Perak memberi persetujuan dan laluan kepada PAS mengetuai kerajaan campuran di Perak sebelum Lim Kit Sing sebagai Penasihat partinya memberi persetujuan.

Lim Kit Siang pada peringkat awalnya tidak tertarik, tetapi fikiran orang muda DAP masa itu mengira politk semasa memerlukan pendekatan dan politik baru yang akhirnya DAP merestuai Nizar menjadi Menteri Besar dan gabungan PAS, DAP dan PKR membentuk kerajaan di Perak.

Kata-kata diplomasi dan berpolitik Kor Ming tentang mengekal Nizar sebagai ketua pembangkang dan baik sangkanya dengan hubungan penyokong PAS dan DAP mungkin menginginkan politik di Perak itu membawa kembali hubungan kedua parti dalam muafakat baru dalam bentuk lama.

Jika hubungan antara PAS dan DAP yang ada tidak dikeruhkan lagi dan membiar Perak melakar apa yang baik antara keduanya, mungkin Perak dapat mengulang lagi apa yang pernah dibuat mulai tahun 2008 dulu.

Cuma sekarang apa yang PAS Perak patut buat bagi mengambil manfat atas kedudukan Nizar sebagai ketua pembangkang?

Jalan patut dicari supaya Nizar boleh berada dalam Perhubungan kerana dia adalah Adun PAS. Dia patut dimanfaatkan sebaik-baknya untuk PAS dan rakyat. PAS dan politik di negeri perlu distabilkan. Dalam pembinaan semula parti pasca muktamar jangan ada barang seorang dari sejuta ahli tercicir.

Nizar perlu diberi peluang dilihat sebagai ahli dan Adun PAS oleh orang PAS dan menjadi ketua pembangkang yang dapat dibanggakan oleh PAS. PAS jangan lepas semua peluang dari ruang dan peluang yang ada bagi menjadi orang Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak dan Anak Maharaja Lela Gila karya Pak Sako.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan