GHB dan PAS berbeza

Muhammad Syafiq Azmi
Saya sengaja tidak menggunakan tajuk Gerakan Harapan Baru (GHB) vs PAS,sebab realitinya memang bukan PAS musuh GHB.Melihat serta mendengar hujah kedua-dua pihak, saya berharap ada persefahaman yang boleh dicapai. Setidak-tidaknya belajar untuk menyerang musuh utama iaitu Umno-Barisan Nasional (BN).
Di saat rakyat semakin sengsara, ada di kalangan kita yang terus berpolemik dalam hal permasalahan rakyat. Ada yang lantang menyerang GHB, dan lunak dengan yang dulu dikatakan musuh utama politik mereka.

Dasar GHB adalah memperjuangkan Islam yang syumul, benar-benar membawa maksud sebenar “Rahmatan Lil Alamin”.
Jadi mengapa ada keperluan ia ditentang hingga ada yang mengeluarkan kenyataan menghalalkan darah mereka.

Di saat ucapan wakil-wakil tertinggi GHB cuba untuk tidak membakar sentimen yang ditinggalkan dalam muktamar lepas, pimpinan tertinggi PAS seolah-olah terus memainkan isu kecewa, tunduk pada DAP, umpama tiada isu lain yang lebih besar untuk dilaungkan.

Saya sempat hadir dalam sesi pengenalan kepada GHB oleh beberapa pimpinan seperti Suhaizan Kaiat, Yang Berhormat Khalid Samad, mereka meminta mengelak untuk bertelagah dengan yang ingin terus bersama PAS.

Memang dalam ucapan mereka ada menyentuh tentang PAS, namun ia sekadar menjawab tuduhan kepada mereka.

Akhirnya saya ingin meninggalkan tuan-tuan dan puan-puan dengan satu buah fikiran. PAS bertindak menyerang GHB adalah atas dasar tidak mahu ahli PAS terpengaruh dengan GHB.

Namun ambil sedikit masa berfikir, setiap figura politik pasti ada penyokong dan peminatnya,sudah pasti apabila mereka bersama wadah baharu,bala tentera ini pasti bersama, dan jika ada figura dalam PAS yang mengisytiharkan diri bersama Umno, mereka juga pasti membawa penyokong mereka bersama.

Biarkan ahli memilih, keluar PAS bukanlah bermakna keluar agama, sama juga dengan Umno, tidak bersama Umno bukan bermakna bukan lagi Melayu.
-detikdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan