Hujan not RM50 di lebuhraya (video)


Singapura: Pemandu kenderaan di Lebuh Raya Bukit Timah (BKE) di sini menyaksikan sesuatu yang tidak mungkin pernah berlaku - wang kertas bertaburan di jalan raya.

Akhbar The Straits Times melaporkan, kejadian berlaku sekitar jam 6.20 petang kelmarin berhampiran simpang yang menyambungkan Lebuh Raya Seletar (SLE) dengan BKE.

Klip video yang dimuat naik di YouTube oleh Komuniti Pemandu Cuai Singapura semalam menunjukkan wang kertas RM50 bertaburan di lebuh raya itu.

Video itu yang dirakam dari kamera papan muka sebuah kereta menunjukkan beberapa penunggang motosikal dan pemandu kereta berhenti di bahu kiri jalan sementara orang ramai berebut-rebut memungut wang kertas itu.

Kereta yang meluncur dari sebelah kiri terpaksa memperlahankan pemanduan bagi mengelak mereka.

Seorang wanita, Annie berkata, dia melihat wang kertas itu berterbangan di udara ketika bas dua tingkat yang dinaikinya melalui kawasan itu.

Menurutnya, beberapa penumpang meminta pemandu bas berhenti untuk membolehkan mereka mengutip wang berkenaan, tetapi permintaan mereka tidak dilayan.

Dia menganggarkan wang kertas itu berjumlah sekurang-kurangnya RM10,000.

Ahli perniagaan, Liu berkata, dia menyangka not itu hanya kepingan kertas biasa ketika memandu melalui jalan itu bersama seorang kawan.

“Tetapi, apabila saya memperlahankan kereta untuk melihatnya, saya dapati ia memang wang kertas RM50,” katanya.

Setakat ini tidak dapat dipastikan punca kejadian.

Menurut Seksyen 403 Kanun Keseksaan Singapura, orang yang mengutip wang itu boleh dihukum penjara dua tahun atau denda jika mereka menyimpan wang berkenaan walaupun tahu pemiliknya
-hmetro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan