Pagar Makan Padi – Pengalaman Pesara Guru Besar Yang Mengerikan

Tranungkite


Kami ingin kongsikan pengalaman Tuan Haji Abdul Ghani Haron, seorang pesara guru yang menjadi rakan FB Pengetua kami Dr Hj Masjuki.

Tidak perlu kami tokok tambah kerana apa yang dikisahkan banyak sekali kebenarannya. Kami sendiri banyak pengalaman mengendalikan kes yang serupa secara langsung.

Memang amat mengerikan dan sewajarnya menjadi pedoman kepada para ibubapa. Semuga perkongsian kisah benar ini mampu menyedarkan kita.

WARGA PRIHATIN

* * * * * * * * *

Saya pernah menjadi guru, pengetua dan pegawai pelajaran daerah. Dengan itu saya melalui berbagai kes seksual pelajar yang sebahagiannya tersembunyi dari pengetahuan awam. Saya dedahkan tiga dari berpuluh pengalaman saya untuk direnungi.

KES PERTAMA

Pelajar Tingkatan 4 menjadi mangsa nafsu serakah bapanya. Setiap hari bila balik sekolah dia dipaksa masuk bilik dan menelan pil. Yang lebih dahsyat bukan dia seorang tetapi sebelum itu kakaknya juga kena berkhidmat untuk bapanya selama lebih dua tahun. Bila bapanya berpindah kepada dia maka kakaknya telah terlepas. Bapanya tentera bahagian perubatan, dengan itu dia dan kakaknya dipaksa menelan pil pencegahan kehamilan. Lebih terkejut lagi ialah emaknya tahu mengenai hal ini dan buat tak nampak serta memberi laluan. Tidak diketahui apa sebabnya.

Polis dihubungi, seorang inspektor wanita hadir bersama seorang SB untuk mendengar cerita pelajar ini. Saya hanya ikuti separuh jalan sahaja kerana tak terdaya untuk mendengarnya. Siapa percaya bapanya yang BERKETAYAP putih ketika kerja dan nampak wara’ tetapi bernafsu seperti bapa khinzir.

Apa yang menyedihkan lagi, pelajar ini akhirnya menolak untuk membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan dibuat. Katanya, “siapa yang akan bela mereka jika bapanya dipenjarakan dan dibuang kerja?” Puas kami memujuk namun gagal.

Akhirnya kami menemui bapanya, tetapi dia selamba menafikan. Apakah anaknya yang ketiga terus menjadi mangsa kebinatangan bapanya? Saya tidak tahu kerana berpindah sekolah beberapa bulan selepas itu.

KES KEDUA

Berlaku di sekolah kebangsaan. Kes ini ditemui oleh rakan guru, juga sama seperti kes pertama. Pelajar baru 11 tahun. Menjadi hamba seks bapanya sejak umur 9 tahun kerana dia dan adik lelaki tinggal dengan bapa setelah perceraian.

Bapa ditangkap polis setelah diadu oleh guru dan direman untuk perbicaraan. Pelajar ini kemudian tinggal dengan datuknya di kampung berdekatan. Masa itu dia dah naik Tingkatan 1 di sekolah tempat saya mengajar dan jadi Pen Kanan HEM.

Suatu hari kaunselor saya datang menceritakan bahawa datuknya yang berusia 70’an tempat dia menumpang berlindung pula melakukan hal yang sama seperti bapanya.

Saya seperti tak percaya, tetapi berpakat dengan seorang polis mencari datuknya dan berjumpa di kilang tempat dia menjadi jaga. Gertakan oleh polis menyebabkan dia mengaku.

Allahuakbar! Saya merasakan dunia ini gelap seketika bila melihat anggukkannya.

Akhirnya saya memohon kepada pihak polis dengan keizinan mahkamah untuk mengambil pelajar ini tinggal dengan saya sebagai pelindung sementara kes berjalan. Dia dipindah ke sekolah berasrama dan pengetua di situ berusaha memulihkan fizikal dan mentalnya secara rawatan hemeopathy. Bapanya dipenjara 18 tahun. Datuk terlepas kerana tidak diadu.

KISAH KETIGA

Seorang pelajar tingkatan 3 telah dimaklum oleh kaunselor mengandung. Siasatan mendapati dia DI JUAL oleh bapanya kepada seorang bomoh. Kami rasa bapanya mengambil duit dari bomoh tersebut.

Pelajar ini akhirnya bersalin di hospital. Pihak polis dimaklumkan tetapi menghadapi kesukaran kerana dihalang oleh bapanya dan melarang anak memberi maklumat. Apa yang terjadi seterusnya saya tidak pasti kerana sekolah tak boleh campurtangan siasatan polis. Yang pasti bapanya tetap bebas, bomoh tersebut menghilang diri.

KESIMPULAN

Inilah tiga kisah haruan makan anak dan cucu yang saya kendali sendiri. Bukan untuk mengaib tetapi untuk teladan.

Kalaulah anda sendiri melihat situasi pelajar ini di masa itu, kalaulah anda mendengar sendiri rintihan mereka, kesedihan mereka, keperitan yang dirasai mereka, fizikal mereka yang diratah oleh bapa dan datuk sendiri…betapa serba salahnya mereka........

Ya Allah, saya berkali-kali meninggalkan ruang perjumpaan untuk meraung di dalam bilik, menekup kepala ke meja. Begitu berat anak-anak yang belum mengenal dunia ini disiksa oleh ayah dan datuk sendiri.

Ada satu lagi kes abang makan adik setiap kali masa ketiadaan ibubapa. Juga kes sepupu makan sepupu di rumah datuknya. Anda fikirlah sendiri teladannya. Yang heran, saya tidak menemui kes begini di kalangan bukan Islam.

Iktibarnya, jika ada anak perempuan beringatlah, berwaspadalah. Simpan satu peratus kecurigaan kepada orang yang paling anda percayai. Saya menceritakan kes pelajar yang teraniaya, tetapi bagaimana kes yang sendiri gatai, sendiri cari pasai? Itu memang banyak dan tak mau disebut.

Ibu terutamanya, berilah perhatian khusus kepada anak perempuan. Para Guru, terutama kaunselor sebaiknya membuat pemerhatian dan secara rambang mencari kebarangkalian untuk membantu pelajar yang teraniaya ini. Jangan percaya kepada manusia hanya dengan melihat penampilannya kerana manusia boleh berlakon.

Bila mencari jodoh, jangan main tengok muka cantik, handsome, terus terkam. Nabi SAW menyuruh melihat keturunan dan agamanya untuk mengelak situasi keturunan penzina.

Akhirnya, jika anda ada anak perempuan, ingatlah mata syaitan berupa manusia sentiasa mengintai. Menjaga sekandang kerbau lebih mudah dari seorang anak perempuan. Musuhnya dari berbagai arah, termasuk pagarnya sendiri.

>>> KREDIT: ABD GHANI HARON <<<

2 ulasan:

  1. Ya Allah, lindungi lah keluarga serta zuriatku.

    BalasPadam
  2. HARAPKAN PEGAR, PEGAR MAKAN PADI. Bukan pagar. Pegar adalah sejenis burung. Manakala pagar, ya pagar ! Dan tentu sekali pagar tak makan padi.

    BalasPadam