Petanda awal menunjukkan kemungkinan MH370 akhirnya ditemui!

Edgar Ong
Penemuan serpihan sayap pesawat Boeing 777 (model sama dengan MH370) di Pulau Reunion pada 29 Julai lalu telah mencetuskan spekulasi bahawa ia barangkali serpihan badan pesawat MAS yang hilang itu.
Sudah lebih 500 hari berlalu sejak pesawat itu didapati hilang bersama-sama 239 penumpang dan krew, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Sehingga sekarang, misi pencarian antarabangsa kekal buntu dalam usaha mereka mengesan pesawat, walaupun dengan pencarian peringkat global melibatkan pakar dan beberapa kerajaan.

Akhbar UK Daily Express melaporkan bahawa “penyiasat keselamatan mempunyai keyakinan tinggi bahawa komponen yang ditemui itu adalah bahagian sayap yang digunakan untuk mencondongkan pesawat bagi membolehkannya membuat pusingan ketika di udara.”

Para penyiasat dengan segera memeriksa nombor siri yang dikaitkan dengan pesawat MH370 dan serpihan itu untuk cuba membandingkannya, andainya kedua-dua berasal daripada pesawat yang sama.

Seorang penyiasat sukarela bebas Andre Milne yang terlibat dalam misi pencarian sejak akhir tahun lalu mengulas: “Penemuan ini kemungkinan besar akan dikaitkan dengan MH370. Ketika ia pertama kali menyentuh permukaan, air boleh jadi telah membuatkan sayap mengalami ‘torsion load’ yang menyebabkannya terputus daripada pesawat.

“Serpihan sayap itu kemudian dihanyutkan arus laut dan akhirnya ke arah barat daya, di mana ia ditemui.”
Dalam kata lain, pesawat itu boleh terhempas di kawasan lain yang agak jauh daripada lokasi serpihan ditemui, kalau pun ia benar-benar serpihan MH370.

Spekulasi kian rancak. Pencarian MH370 sudah mencatatkan rekod sebagai misi pencarian termahal dalam sejarah penerbangan – sesetengah pakar berkata ia akan selamanya diselubungi misteri, selagi tiada bukti konkrit yang dapat dikaitkan dengan pesawat yang sebenar.

Seorang lagi pakar penerbangan Perancis Xavier Tytelman dalam blognya membandingkan reka bentuk sayap Boeing 777 dengan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion itu. “Persamaannya sukar dipercayai!” katanya.

Pada saat ini, Boeing Aircraft sendiri mengambil pendekatan berjaga-jaga apabila dalam satu kenyataan berkata, “Boeing kekal komited menyokong penyiasatan MH370 dan pencarian pesawat.”

Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai berkata, Malaysia telah menghantar pasukan untuk mengesahkan serpihan, dan berharap ia akan dapat dikenalpasti secepat mungkin.

Kecuali lebih banyak serpihan yang hanyut ke pantai atau ditemui di kawasan sekitar Pulau Reunion, pulau-pulau sekitar atau di Madagascar dalam beberapa hari seterusnya, penemuan ini kemungkinan besar adalah “petanda palsu” yang memberikan harapan kosong kepada keluarga dan insan tersayang penumpang dan krew MH370.

Kita berdoa dan berharap akan ada pengakhiran untuk mereka, dan penemuan terbaru ini akan menjadi cetusan yang akan menghadirkan jawapan tentang apa sebenarnya yang berlaku kepada MH37
-antdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan