Saman malu... Saifuddin mohon maaf pada Khalid...?

Tranungkite
Perbicaraan kes saman bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Perbicaraan itu dijadual selama empat hari. Khalid diwakili Edmund Bon manakala Wiliam Leong yang juga Ahli Parlimen Selayang dari PKR mewakili Saifuddin.

Difahamkan Saifuddin ingin memohon maaf pada Khalid dan menyelesaikan kes tersebut diluar mahkamah, tetapi pihak Khalid mahu ianya dibicarakan.

Khalid memfailkan saman terhadap Saifuddin pada 18 Ogos tahun lalu berhubung pengedaran dokumen laporan ‘Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor’, bertarikh 4 Ogos 2014 yang didakwa memfitnah beliau.

Dokumen itu dikeluarkan sebagai salah satu usaha PKR untuk menjatuhkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu yang mengaitkan beliau dengan penyelesaian hutang Bank Islam.

Pada 9 Januari 2015, Saifuddin (yang kini Pengarah Pilihan Raya PKR) memfailkan permohonan bagi mendapatkan daripada Khalid beberapa dokumen berkenaan penyelesaian hutang di luar mahkamah antara Khalid dan Bank Islam atas alasan dokumen tersebut penting untuk menyokong kes saman terhadap beliau.

Mahkamah pada 18 Februari 2015 bagaimanapun menolak permohonan itu selepas mendapati permohonan yang difailkan oleh Saifuddin tidak mempunyai merit.

Khalid “dipaksa’ meletak jawatan Menteri Besar pada 21 September 2014 selepas melalui kemelut politik berpanjangan yang dimulakan menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang atau Langkah Kajang.

Ia juga bermulanya bibit-bibit perpecahan dalam Pakatan Rakyat apabila Pas tidak setuju khalid ditukar kerana PKR gagal memberikan bukti salah laku yang didakwa dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu.

Baru-baru ini, Pembantu Khas Khalid, Faekah Husin dilaporkan berkata, tiada satu bukti pun diberikan oleh pihak defendan dalam penyataan pembelaan berhubung dakwaan salah laku Khalid seperti yang didakwa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan