Serpihan pesawat sah milik MH370 : Kronologi tragedi pesawat MH370


Datuk Seri Najib Razak lewat pagi ini mengumumkan sisa pesawat yang ditemui di Pulau Reunion milik Perancis sah dari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang lebih setahun lalu.

Pengumuman itu dibuat perdana menteri pada satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sebentar tadi.

"Hari ini selepas 515 hari pesawat itu hilang, dengan berat hati saya harus mengumumkan yang sepasukan pakar antarabangsa mengesahkan dengan konklusif yang sisa pesawat ditemui di Pulau Reunion datangnya daripada MH370," katanya.

Menurut Najib, dengan ini wujud bukti fizikal akan "pengakhiran tragik pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi" seperti diumumkannya pada 24 Mac tahun lalu.

"Ini adalah kawasan terpencil, tidak dapat dihuni dan merbahaya. Bagi pihak Malaysia, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada ramai individu, organisasi dan negara yang terlibat dalam pencarian," katanya.

Beliau turut memberi jaminan kepada semua pihak yang terkesan dengan tragedi itu akan kesungguhan kerajaan Malaysia terus membongkar kebenaran.

"Kami ingin memberi kepastian kepada semua yang terkesan dengan tragedi ini yang kerajaan Malaysia komited melakukan segala yang boleh sedaya upaya kami bagi mencari kebenaran tentang perkara yang berlaku.

"Kehilangan MH370 meninggalkan kesan pada kita seluruh negara. Kami seluruh negara berkabung bersama anda," kata Najib.

Sementara itu, MAS dalam kenyataannya berkata, penemuan sisa pesawat itu disahkan pihak berkuasa penerbangan Perancis, Bureau d’ Enquetes et d‘ Analyses pour la Securites de I’AviationCivile (BEA), pasukan penyiasat Malaysia, serta wakil teknikal dari Australian Transportation Safety Bureau (ATSB) di Toulouse, Perancis – sebelum diumumkan Najib.

"Malah ini satu penemuan utama buat kami dalam menyelesaikan kehilangan MH370. Kami menjangkakan lebih banyak objek akan ditemui seterusnya membantu menyelesaikan misteri ini," kata syarikat penerbangan negara itu.

Pihak keluarga penumpang dan anak kapal MH370 itu juga juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini dan MAS akan terus komited membantu pihak berkuasa dalam siasatan mereka, katanya.

Pada 2 Ogos lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan serpihan yang ditemui adalah sebahagian daripada pesawat Boeing 777, tetapi pada masa itu masih belum dapat dipastikan sama ada ia milik penerbangan MH370.

Pengumuman Najib pada malam ini sememangnya dinanti-nantikan rakyat Malaysia yang menagih pengakhiran kepada tragedi nasional ini sejak 17 bulan lalu.

Pada 8 Mac 2014, penerbangan MH370 menggunakan pesawat Boeing 777-200 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal putus hubungan dengan pusat kawalan udara Subang dua jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing.

Kehilangan pesawat itu yang turut membawa penumpang dari negara China menyaksikan Malaysia, China dan Australia bekerjasama melakukan usaha pencarian yang memakan belanja RM79 juta dari kerajaan Malaysia, setakat Disember 2014.

Tiga bulan kemudian pada 17 Julai 2014, satu lagi pesawat MAS dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine.

Dalam bulan Disember tahun sama, Malaysia sekali lagi diuji apabila penerbangan QZ8501 AirAsia Indonesia yang membawa 162 penumpang dan anak kapal terhempas pada 28 Disember ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura
-malaysianinsider-

--------------------------

Kronologi tragedi pesawat MH370

Berikut kronologi operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, hampir 17 bulan selepas ia terputus hubungan pada jam 2.40 pagi 8 Mac tahun lepas.

Pesawat tersebut terputus hubungan di kedudukan, 120 batu nautika ke timur Kota Kinabalu di ruang udara Laut China Selatan, dan tiada isyarat kecemasan daripada pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Pesawat malang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam dan dijadual mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Penumpangnya terdiri daripada 38 rakyat Malaysia, China (153), Indonesia (tujuh), Australia (tujuh), Perancis (tiga), Amerika Syarikat (tiga), New Zealand (dua), Ukraine (dua), Kanada (dua), Rusia (satu), Itali (satu), Taiwan (satu), Belanda (satu) dan Austria (satu).

Berikutan kejadian itu, Malaysia melancarkan operasi SAR melibatkan pelbagai negara dan usaha itu berterusan hingga kini.

* 8 Mac 2014 (Hari Pertama) - Operasi SAR pesawat itu dilancarkan pada jam 5.30 pagi di Laut China Selatan.

* 9 Mac 2014 (Hari Kedua) - Kawasan mencari diperluas ke Selat Melaka apabila disahkan pesawat berkenaan berpatah balik. - Beberapa negara termasuk Singapura, Vietnam, Indonesia, China dan Amerika Syarikat mengerahkan petugas dan aset masing-masing membantu gerakan itu.

* 15 Mac 2014 (Hari Kelapan) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kali terahir pesawat berkomunikasi dengan satelit ialah dengan satu daripada dua koridor yang berkemungkinan; koridor utara yang bermula lebih kurang di sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand atau koridor selatan, lebih kurang dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.

- 26 negara menyertai operasi dalam fasa ini, yang meliputi 2.24 juta batu nautika persegi.

* 24 Mac 2014 (Hari Ke-17) - Najib mengumumkan bahawa data dikeluarkan satelit Inmarsat Britain memutuskan bahawa penerbangan itu berakhir di selatan
Lautan Hindi dan Australia akan mengetuai operasi mencari di kawasan itu.

* 1 April 2014 (Hari Ke-25) - Kerajaan Australia melancarkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) bagi menyelaras operasi mencari MH370.

* 3 April 2014 (Hari Ke-27) - Najib tiba di Perth, Australia untuk meninjau sendiri operasi mencari, mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri Australia Tony Abbott.

* 4 April 2014 (Hari Ke-28) - JACC berkata operasi mencari MH370 memasuki fasa baharu dengan pencarian dilakukan di dasar laut di selatan Lautan Hindi bagi mengesan 'pinger' kotak hitam.

* 31 Julai 2014 (Hari Ke-146) - JACC berkata kerja ukur batimetrik yang dilakukan kapal Zhu Kezhen dan Fugro Equator di sepanjang arca ketujuh di selatan Lautan Hindi, berjalan lancar.

* 21 Okt 2014 (Hari Ke-227) - Kapal yang diberi kontrak oleh Malaysia, GO Phoenix, menyertai operasi mencari bersama kapal yang diberi kontrak oleh Malaysia-Australia, Fugro Discovery dan Fugro Equator.

- Kemudian, satu lagi kapal, Fugro Supporter ditambah untuk membantu usaha mencari.

* 29 Jan 2015 (Hari Ke-326) - Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengisytiharkan secara rasmi bahawa MH370 mengalami kemalangan mengikut Standard Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Chicago dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal MH370 dianggap telah terkorban.

* 12 Feb 2015 (Hari Ke-340) - Kerajaan Malaysia berbincang dengan China untuk menambah kapal bagi menyertai operasi mencari Penerbangan MH370, yang ketika itu melibatkan empat kapal.

* 18 Jun, 2015 (Hari Ke-466) - Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia meneruskan misi pencarian fasa dua MH370 dengan hanya dua buah kapal meredah lautan kawasan terpencil di Lautan Hindi. Fasa satu selesai pada bulan yang sama dan kawasan pencarian seluas lebih 52,000 kilometer persegi telah selesai diliputi dalam pencarian.

* 29 Julai, 2015 (Hari Ke-508) - Seorang pekerja pembersih pantai menjumpai bahagian sayap sepanjang 2.7 meter dikenali sebagai flaperon yang pakar-pakar percaya ia berasal dari pesawat Boeing 777. Satu-satunya pesawat Boeing yang hilang di Lautan Hindi ialah MH370.

* 30 Julai, 2015 (Hari Ke-509) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia telah menghantar dua pasukan - satu ke Toulouse di Perancis dan satu lagi ke Pulau Reunion - susulan penemuan serpihan pesawat di pulau yang terletak di Lautan Hindi.

* 6 Ogos (Hari Ke-515) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion ialah daripada pesawat MH370 yang hilang.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan