Gitaris wanita berpurdah tarik perhatian
SEORANG wanita muslim berpurdah bermain gitar bergenre heavy metal menarik perhatian ramai.
Gisele Marie, 42 yang berasal dari Sao Paulo, Brazil merupakan peminat tegar muzik heavy metal.
Gisele menyertai kumpulan muzik Spectrus bersama abangnya selama beberapa tahun sebelum bersama sebuah band baru dan kini sedang bertungkus-lumus untuk menyiapkan sebuah album.
Menurutnya, ramai orang terkejut apabila melihat seorang wanita Muslim yang mengenakan purdah bermain dalam kumpulan heavy metal, namun ada juga yang merasakan ia unik, menarik, dan sangat 'cool'
"Saya tidak peduli tentang pandangan orang ramai terhadap saya hanya kerana saya memakai niqab, tetapi saya berharap orang ramai memahami bahawa Islam hanyalah agama saya dan muzik adalah profesion saya, dan sememangnya dua perkara ini merupakan ciri-ciri peribadi saya.
"Fokus saya ialah pada muzik dan hakikat bahawa saya seorang Islam tidak mempunyai pengaruh atau apa-apa kaitan ke atas muzik yang saya mainkan," katanya dipetik MailOnline.
Tambah Gisele lagi, dia kini sedang melawan stereotaip dan berharap lebih ramai melakukan perkara sebegini.
Gisele yang merupakan cucu kepada seorang penganut Kristian Katolik dari Jerman memeluk Islam pada tahun 2009 beberapa bulan selepas ayahnya meninggal dunia.
"Saya datang dari sebuah keluarga Kristian, tetapi saya tidak mempunyai masalah dengan keluarga bahawa saya menjadi seorang wanita Islam. Malah, mereka semua menyokong saya," katanya.
Ditanya mengenai masalah yang dihadapinya apabila memakai niqab ketika membuat persembahan, Gisele berkata, dia telah mengenakan niqab dalam tempoh masa yang lama dan ia adalah pakaian biasa dan tiada apa yang berbeza memakai niqab di atas pentas sambil bermain gitar.
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan