Hadi ‘selamatkan’ Amanah dalam Pakatan 2.0

Amin Iskandar
Apabila Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tidak berminat untuk menyertai Pakatan Rakyat 2.0 (Pakatan 2.0) bersama-sama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), ia memberikan “nyawa” kepada parti serpihan itu untuk menjadi relevan dalam politik negara khususnya politik pembangkang.
Amanah dapat membuktikan benarlah selama ini presiden PAS itulah menjadi penghalang kepada satu gabungan pembangkang yang kuat di Malaysia untuk menjadi pengganti kepada Barisan Nasional (BN).

Amanah juga dapat membuktikan kewujudan Hadi dalam politik pada hari ini hanyalah untuk menyelamatkan Umno, tidak lebih daripada itu.

Hadi dilaporkan laman Ismaweb sebagai berkata, tidak akan ada penyertaan daripada PAS dalam gabungan parti pembangkang baharu itu atas sebab agenda yang tersirat di sebalik pakatan tersebut.

“Kita tidak boleh hanyut. Pakatan baharu semata-mata hanya untuk menang pilihan raya akan datang.

Mereka tiada agenda untuk memartabatkan Islam,” beliau dipetik berkata selepas pertemuan dengan Sekretariat Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit 2015) di Bangi pada Rabu.

Difahamkan, Hadi “sangat yakin” dengan kerjasama “rakan-rakannya” daripada Umno membantu membawa hudud ke Parlimen. Sebab itulah Hadi “dengan pantas” menolak menyertai Pakatan 2.0.

PKR yang sebelum ini menjemput PAS menyertai Pakatan 2.0 melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menimbulkan kemarahan pemimpin Amanah dan DAP juga “terselamat” kerana penolakan Hadi itu.

Sekurang-kurangnya PKR boleh memberitahu pengundi Melayu, “kami sudah jemput PAS masuk Pakatan 2.0, tetapi Hadi yang tak nak”.

DAP juga “terselamat” kerana tidak perlu “bergaduh” dengan PKR berhubung penyertaan PAS dalam Pakatan 2.0.

Tanpa PAS, Pakatan 2.0 bolehlah ditubuhkan sebagai gabungan berdaftar dan bukan lagi “gabungan longgar” seperti Pakatan Rakyat dulu.

Kerana yang “longgar-longgar” ini tidak akan diyakini pengundi. Pakatan 2.0 harus menjadi gabungan rasmi seperti BN yang jelas dengan hala tujunya.

Peranan Amanah

Presiden Amanah Mohamad Sabu mengatakan parti itu mensasarkan 100,000 ahli menjelang akhir tahun ini termasuk dari kalangan penyokong PAS.

Memang kebanyakan ahli PAS menyertai Amanah pada ketika ini terdiri daripada mereka yang mahukan parti Islam itu bersama PKR dan DAP.

Penyokong PAS akan bertambah ramai menyertai Amanah selepas ini kerana pendirian Hadi itu. Yang masih setia kepada PAS ramainya dari negeri-negeri Pantai Timur.

Jika gagal mempertahankan Kelantan, PAS akan menjadi “parti nyamuk” seperti apa yang berlaku kepada Gerakan selepas Pulau Pinang dirampas DAP.

Cuma Amanah janganlah mengulangi kesilapan PAS. Tidak salah memperjuangkan Islam tetapi tidak perlulah menjadikan negara-negara Timur Tengah sebagai rujukan.

Masalah di Arab Saudi dan Iran berbeza di Malaysia. Di Nusantara ini tidak kurang hebatnya contoh perjuangan gerakan Islam.

Sebenarnya PAS sendiri gagal melihat “kehebatan” bekas presidennya, Dr Burhanuddin Helmy dalam berpolitik di zamannya.

Maka, Amanah bolehlah mengambil kembali contoh dan rujukan daripada gerakan Islam di Nusantara terutamanya dari Malaysia sendiri.

Kerana untuk menjadi parti yang mendapat sokongan Melayu, Amanah perlu “memahami Melayu” itu sendiri terlebih dulu.

Selagi tidak memahami budaya Melayu, selagi itulah Umno akan terus disokong kuat penduduk majoriti Malaysia itu.

Ada sebab mengapa orang Melayu masih belum “mengalihkan kesetiaan” mereka daripada Umno.

Dan ini menjadi “tugas berat” Amanah untuk Pakatan 2.0 sekiranya gabungan pembangkang baharu mahu memerintah Malaysia.

Tanpa sokongan Melayu, keputusan pilihan raya terbaik yang boleh diperoleh pembangkang adalah seperti Pilihan Raya Umum ke-13.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan