'Maaflah ketua polis kena balun di Facebook'

 Bekas pemimpin akar umbi Umno Khairuddin Abu Hassan, yang digugurkan keanggotannya parti selepas membuat laporan polis terhadap 1MDB, berharap polis tidak menangkapnya.
Ini susulan status di Facebook beliau yang membangkitkan isu siasatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana hadir dalam BERSIH 4, mengundang komen keras pengguna Internet pada polis.

“Secara jujur dan ikhlas saya tak sangka rakyat serta orang ramai nak kritik (Ketua Polis Negara) Tan Sri Khalid Abu Bakar secara bertalu-talu macam ini!

“Tan Sri Khalid Abu Bakar janganlah nak tahan atau tangkap saya pula selepas ini,” katanya.

Khairuddin juga menegaskan beliau tidak bersalah serta tidak berniat untuk nak menghasut orang ramai menghentam Khalid begitu teruk sekali.

“Dalam isu ini saya betul-betul tak bersalah! Tan Sri Khalid tolong jangan tahan saya ya!” Tulisnya di Facebook dengan tajuk “Maaflah Tan Sri Khalid Abu Bakar (KPN) kena balun dalam Facebook!

Telunjuk 'tangan ghaib'

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata rakyat hari ini semakin jelas marah dan kecewa dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PDRM tidak lagi diyakini. PDRM dianggap sebagai tidak lagi amanah di dalam melaksanakan tugas mereka! PDRM tidak lagi profesional terhadap SOP (prosedur operasi piawai) mereka.

“Yang terburuk, PDRM dianggap sebagai salah guna kuasa tangkap pegawai-pegawai kerajaan yang sedang menyiasat kes skandal 1MDB,” katanya, dilihat merujuk kepada kes melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Beliau juga mengambil kesempatan menyampaikan “pesan jujur” kepada Khalid sebagai anggota nombor satu dalam pasukan keselamatan itu.

“Aduh, saya pun tak tahu lagi nak kata apa.

"Cuma pesanan jujur saya pada Tan Sri Khalid Abu Bakar agar tolonglah laksana tanggungjawab kepolisian secara jujur, telus, tegas, profesional serta amanah tanpa mengikut telunjuk 'tangan ghaib',” katanya lagi.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan