NCC selesaikan masalah negara - Mustafa Ali

DATUK Mustafa Ali, orang lama Pas dan diketahui cukup akrab hubungannya dengan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pernah menyandang pelbagai jawatan termasuk Ketua Dewan Pemuda, Naib Presiden, Setiausaha Agung dan terkini, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas.

Pada era kepimpinannya, Dewan Pemuda cukup berpengaruh dalam Pas. Tidak keterlaluan jika dikatakan, Pemudalah yang mencetuskan era kepimpinan ulama dalam parti itu hingga membawa penubuhan Majlis Syura Ulamak sebagai badan pembuat keputusan yang tertinggi dalam parti pada 1983. Mustafa atau Cikgu Pa baru-baru ini hadir ke pejabat Sinar Harian untuk menyatakan sesuatu yang menurutnya sangat penting.

Ikuti perbualan ahli politik veteran yang pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (ketika Pas dalam BN) itu dengan sidang editor Sinar Harian ketika kunjungan tersebut.

Sebagai orang lama dalam politik, apa pandangan Datuk mengenai krisis dihadapi negara ketika ini?

Saya sudah lebih 40 tahun terlibat secara langsung dan aktif dalam politik. Pertama kali bertanding dalam pilihan raya pada 1974. Sepanjang yang saya alami dan perhatikan, kita pernah hadapi pelbagai krisis ekonomi dan politik.

Tetapi pada waktu ini, masalah dihadapi negara adalah pelbagai iaitu kombinasi masalah-masalah ekonomi, politik, kesejahteraan rakyat dan macam-macam lagi.

Ini tak pernah saya lihat pada mana-mana zaman perdana menteri sebelum ini. Sejak (Allahyarham) Tun Abdul Razak hinggalah Tun Abdullah Ahmad Badawi, saya rasa inilah masalah paling besar yang dihadapi negara dan perlu diselesaikan.

Sebab, lagi lama kita dalam keadaan seperti ini, lagi teruk kita perlu hadapi. Ini bukan sahaja soal persepsi dalam negara tetapi melibatkan persepsi luar terhadap kita.

Dengan kejatuhan mata wang ringgit yang berterusan, belum pernah sebelum ini mata wang kita serendah sekarang. Adakah ia sampai nilai ringgit akan turun sehingga RM5 (bersamaan AS$1)? Minta janganlah sampai ke situ.

Kemudian, dari sudut pengurusan negara, belum pernah berlaku perdana menteri campur tangan secara terus dalam institusi negara yang penting seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, bank dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ia terlalu tidak baik untuk negara apabila ada campur tangan dalam institusi daripada pemimpin negara. Ini perlu dihentikan. Sudah banyak orang cakap mengenai perkara ini, dari bawah sampai ke atas tetapi kita tak tahu bila akan ada perubahan.

Saya dengar ada usaha untuk sampai ke peringkat undi tak percaya. Perkara ini pun tidak pernah didengari secara serius dalam pemerintahan perdana menteri sebelum ini.

Jadi ini sesuatu yang amat mendukacitakan kerana kesannya dirasai oleh rakyat secara keseluruhannya. Bermula dari isu GST, ditambah dengan krisis 1MDB (syarikat 1Malaysia Development Berhad). Sebab itu kita kena cari jalan untuk selesaikan. Kita menuju ke negara yang gagal jika tidak kena dengan gayanya.

Adakah masalah ini berpunca daripada kelemahan kepimpinan atau ada serangan dari luar?

Kepimpinan negara ini bukan lemah tetapi tidak jujur dan amanah. Perdana Menteri pun tidak amanah dalam mentadbir negara. Kalau nak kata serangan dari luar, saya tak nampak ia sesuatu yang disengajakan kalau lihat hegemoni politik.

Apa tahap kedudukan masalah negara kita sekarang?

Sangat parah tetapi masih boleh diselesaikan kalau kena caranya. Kalau kronik mungkin tak dapat diselamatkan tetapi saya percaya masalah ini masih boleh diselesaikan.

Adakah penyelesaiannya dengan cara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan? Atau adakah masalah akan tetap sama walaupun kerajaan bertukar?

Najib perlu berundur. Itu penyelesaian pertama sebab dia yang jadi punca segala masalah. Penggantiannya perlu ikut proses yang wajar. Ada banyak proses, contohnya jika Najib turun secara sukarela, yang menggantikannya ikut sistem dengan kerajaan yang sama.

Jika ada undi tidak percaya, Najib perlu letak jawatan dan mungkin ada pilihan raya. Tetapi yang penting, Najib kena berundur.

Adakah Pas akan menyokong undi tak percaya?

Pas sokong undi tak percaya sebagai satu sistem. Cuma butirannya saya tidak tahu dan perlu diserahkan (terpulang) kepada ahli Parlimen Pas.

Kenapa tidak ada usaha untuk memfokuskan kepada undi tidak percaya supaya ia boleh dilaksanakan pada sidang parlimen akan datang?

Untuk undi tak percaya kena ada majoriti. Jadi mesti kena ada dari kalangan parti pemerintah untuk bersama pembangkang. Bagaimana boleh yakinkan mereka? Tidak mudah.

Apa yang sedang berlaku dianggap sebagai advantage (kelebihan) bagi Pas untuk mendapat tempat pada PRU14. Apa mungkin perlu tunggu sampai ke situ (PRU14)?

PRU14 lambat lagi pada 2018. Kita tidak boleh tunggu kerana (lebih lama) banyak lagi kerosakan akan berlaku. Jadi saya minta kepada Najib, berundurlah. Ini satu pengorbanan yang perlu dibuat.

Pemimpin selalu cakap, kita perlu berkorban untuk negara. Tetapi apa yang berlaku, pemimpin korbankan negara untuk kepentingan sendiri. Itu tidak betul. Kalau ada yang meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi, saya rasa perkara ini boleh selesai.

Khabar angin mengatakan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dipilih sebagai calon perdana menteri oleh pakatan pembangkang sekiranya undi tak percaya dilaksanakan. Adakah Pas terlibat dalam perkara ini?

Saya tidak terlibat secara langsung dalam pemilihan nama ini. Cuma nama Ku Li pernah dicadangkan dalam konsensus ketika PRU13 sebelum ini tetapi perkara itu tidak terjadi.

Kali ini Zahid (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sebut orang tua sebagai dalang (dapatkan akuan bersumpah) tapi tidak beritahu siapa. Jadi kemungkinan itu ada.

Apa cara lain kerajaan boleh diubah?

Ada empat cara sebenarnya kerajaan boleh ditukar. Pertama, pilihan raya...itu normal. Kedua, melalui undi tak percaya dan ketiga ialah mengikut precendet (duluan) seperti yang berlaku di Perak.

Keempat ialah dengan menolak pembentangan bajet di Parlimen oleh perdana menteri yang biasanya dilakukan pada Oktober.

Kalau majoriti ahli Parlimen tidak meluluskan bajet, itu bermakna berlaku undi tak percaya kepada perdana menteri dan secara moralnya, beliau perlu letak jawatan. Saya tidak tahu sama ada mereka yang sedang merancang (menukar kerajaan) mengambil kira perkara ini. Tetapi ini adalah antara cara-caranya.

Berkenaan isu dana politik, wajarkah ada satu akta diwujudkan untuk mengawalnya?

Tiada gunanya kerana orang masih boleh menipu walaupun ada akta, melainkan ada satu sistem yang benar-benar telus seperti sistem perlu isytihar siapa penyumbang dana.

Mungkin Datuk ada cadangan apakah yang boleh dilakukan kerajaan untuk mengatasi masalah negara ketika ini?

Inilah tujuan saya datang hari ini (ketawa). Kerajaan mesti menubuhkan satu Majlis Perundingan Negara atau National Consultative Council (NCC) untuk selesaikan masalah negara. Ini berasingan daripada isu Najib.

Dulu kerajaan pernah tubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) untuk selesaikan masalah ekonomi. Saya salah seorang daripada ahlinya.

Tetapi masalah yang kita hadapi ketika ini bukan sahaja ekonomi, tetapi politik dan juga kesejahteraan rakyat.

Matlamat utamanya ialah untuk selamatkan rakyat. Masalah rakyat ini perlu ditangani segera. Maka penubuhannya perlu dilakukan secepat yang mungkin.

Penubuhan NCC itu perlulah merentasi perbezaan politik dan dianggotai oleh pemimpin utama parti politik negara ini.Ahlinya tidak perlu ramai, mungkin dalam 30 hingga 50 orang sahaja. Selain pemimpin politik, boleh juga jemput NGO yang penting seperti Institut Integriti Malaysia dan Transparency International Malaysia (TI-M) selain tenaga-tenaga pakar.

Ada tiga orang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah. Kalau ditanya siapa yang paling layak, saya rasa Dr Mahathir adalah orangnya.

Ini kerana Dr Mahathir pernah menjadi perdana menteri dan beliau memahami banyak perkara. Saya yakin beliau boleh fikirkan macam mana cara nak selesaikan masalah negara sekarang.

Adakah NCC ini lebih sesuai diletakkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong atau Parlimen? Parlimen kerana parlimen dipilih oleh rakyat. Bagaimanakah cara terbaik untuk memastikan idea ini boleh dilaksanakan?

Kalau ada suara ramai, mungkin cadangan ini boleh dibawa oleh mana-mana ahli Parlimen, tidak semestinya pembangkang.

Mengikut sistem sedia ada, apakah cara untuk memastikan Speaker Dewan Rakyat boleh memanggil sidang parlimen untuk membawa cadangan ini?

Speaker walau bagaimanapun perlu juga maklumkan kepada perdana menteri tarikh untuk panggil sidang tergempar kerana perdana menteri adalah orang yang akan jawab isu ini.

Dewan juga perlu dihadiri oleh perdana menteri. Tapi jika speaker sudah mengemukakan dan perdana menteri mengelak, sekiranya speaker itu telus, beliau mesti bertegas.

Sekarang kes letak jawatan di kawasankawasan (Pas) semakin merebak. Mengikut respons pimpinan tertinggi, situasi ini tidak menjejaskan Pas tetapi bukankah pergantungan Pas sebagai parti politik adalah kepada kawasan?

Saya sudah mengalami semua krisis besar dalam Pas. Bermula dengan krisis Datuk Mohamad Nasir (Menteri Besar Kelantan yang dipaksa meletak jawatan melalui undi tidak percaya) di Kelantan pada 1977.

Krisis Harapan Baru (Parti Pekerja Malaysia), ia sebenarnya sebelum muktamar tiada krisis. Perbezaan pandangan itu biasa. Semasa muktamar, ada pemilihan dan saya rasa punca kepada apa yang berlaku ialah kebenaran untuk berkempen.

Walaupun pengerusi jawatankuasa pemilihan kata jangan hina dan hentam calon lain, tetapi sebaliknya berlaku. Apabila dua pihak berkempen, saya tidak gembira ia berlaku.

Sebelum ini tiada kempen terbuka dalam pemilihan Pas. Tetapi benda dah berlaku. Ketika itu Datuk sebagai Setiausaha Agung Pas ada mencegahnya daripada berlaku?

Saya tak perasan kerana saya terlalu menumpukan kepada mesyuarat. Lepas pemilihan baru saya sedar. 

Adakah Harapan Baru boleh dianggap krisis terburuk dalam Pas?

Bagi saya tiada krisis yang besar daripada krisis Datuk Mohamad Nasir kerana ia melibatkan rakyat. Rakyat sampai marah kepada Pas.

Apa yang berlaku sekarang, rakyat tak marah kepada Pas. Ahli akar umbi juga begitu, cuma pemimpin yang di tengahtengah saja. Jadi kesannya tak sama. Bukan tiada kesan langsung, saya tidak kata begitu.

Tetapi apabila pemimpin berhenti, kita ganti dengan pemimpin lain. Jadi kalau pemimpin di kawasan letak jawatan, kita ganti. Lain kalau rakyat tolak Pas, kita tidak boleh tukar rakyat.

Apa jadi selepas Harapan Baru sah menjadi parti politik?

Mereka secara automatik gugur keahlian sebagai ahli Pas mengikut perlembagaan parti.

Ini bermakna Pas juga akan kehilangan lebih banyak kerusi kerana ada wakil rakyat yang menyertai parti baharu itu?

Itu biasa, tunggu PRU akan datang. Kita nak buat macam mana kerana tiada undangundang yang boleh paksa wakil rakyat letak jawatan melainkan dengan sukarela.

Pas sudah mempunyai pengalaman dengan parti serpihan Pas sebelum ini iaitu Berjasa dan Hamim. Jika dibandingkan, apakah kekuatan Harapan Baru (sekarang dikenali Parti Pekerja Malaysia)?

Harapan Baru lain sedikit kerana penyokongnya banyak di pantai barat. Matlamatnya pilihan raya, tetapi di Pantai Barat, undi Melayu saja tidak cukup. Contoh di Johor, kena ada undi bukan Melayu. Jadi DAP membantu dari sudut itu. Harapan Baru juga boleh bantu DAP di kawasan Melayu. Asalnya DAP harapkan Pasma sebelum penubuhan Harapan Baru.

Mengenai penubuhan Harapan Baru, ada yang bertanya kepada saya, jika Mat Sabu (Mohamad Sabu), Husam (Datuk Husam Musa) menang dalam pemilihan lalu, adakah Harapan Baru akan ditubuhkan?

Itu kena tanya mereka sendiri.

Bagaimana Datuk melihat kedudukan pembangkang pada PRU14?

Belum menentu lagi kerana Pas dan DAP memang dah putus, tetapi dengan PKR kita masih ada kerjasama. Sejauh mana ia boleh bertahan, tengok suasana kerana PKR juga masih bersama dengan Pas.

PKR dengan Harapan Baru juga kita belum tahu kerjasamanya bagaimana. Ini kerana dalam politik, kerjasama ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Malah, dalam pilihan raya, kalau kerjasama itu diperlukan, kita boleh lupakan perkara yang sudah lepas.

(Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) pernah sebut tentang national consensus, (Lim) Kit Siang dengan idea Save Malaysia Coalition, (Datuk Seri) Abdul Hadi (Awang)
pula dengan cadangan kerajaan tanpa pembangkang. Semua idea ini matlamatnya sama dan boleh berlaku, tetapi bukan sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan