Perhimpunan baju merah: tuan rumah ke hantu rumah?

Farouk A. Peru
Kadang-kadang, saya tertanya juga kalau-kalau Melayu rasis yang menunjukkan belang mereka benar-benar percaya dengan royanan mereka itu.Sekarang ini, mereka sedang menyiapkan diri untuk perhimpunan “Redshirts” yang kononnya mahu mempertahankan maruah Melayu. Daripada ancaman siapa pulak tu? Ancaman Cina DAP kononnya.
Yang hairannya, angkara Umno yang merugikan negara berbilion-bilion ringgit tidak pula mengancam maruah Melayu. Perhimpunan Bersih 4 yang tidak pun menyebut kalimah ‘DAP’ tetapi menuntut pilihan raya yang adil dan saksama pula menjadi sasaran mereka.

Adakah maruah Melayu memerlukan pilihan raya yang berat sebelah dan zalim sebelum boleh memberi kejayaan kepada Melayu rasis ini?

Jadi mereka hanya boleh jadi pemenang jika peraturan diubah mengikut haluan mereka. Alangkah malunya!

Dalam huru-hara ini timbul pula meme Facebook daripada seorang yang menamakan dirinya “Jogho Kelate” (Juara Kelantan).

Orang yang tidak berani memberi namanya yang sebenar mengatakan dalam Facebook: “Kita bukannya nak halau orang yang tumpang rumah kita. Kita hanya nak ajar penumpang supaya kenal tuan rumah. Jom sertai perhimpunan Melayu bersatu pada 16 September 2015.

Saya yang sudah masak dengan retorik angkatan Melayu rasis ini memang tidak terkejut langsung dengan kata-kata mereka. Yang saya tertarik ialah mentaliti mereka-mereka yang tidak tahu malu ini.

“Jogho Kelate” ini sanggup menamakan dirinya sebagai “tuan rumah”. Adakah dia benar-benar tuan rumah atau kelibat yang mengganggu ketenteraman negara, iaitu hantu rumah?

Mari kita fikirkan penyataan “Jogho Kelate” ini. Dia menamakan orang bukan Melayu sebagai “penumpang”. Bagaimana kita boleh tahu maksud ini? Kerana yang dipanggilnya untuk berhimpun ialah orang Melayu sendiri. Jadi orang Melayu bukan penumpang walhal kaum-kaum lain hanyalah penumpang.

Adakah analogi ini sahih dan boleh dipakai? Jika kita memanggil orang ‘penumpang’ maka mereka tiada hak ke atas pentadbiran dan ketuanpunyaan negara. Jadi mereka bukannya rakyat yang sah.

Jika penggunaan kalimah “penumpang” ini benar, “Johgo Kelate” patut didakwa kerana menolak perjanjian yang dimeterai sebelum Merdeka. Bukan sahaja itu dia menolak Rukun Negara yang memelihara keluhuran perlembagaan.

Kita juga patut bertanya, mengapa kaum-kaum lain adalah penumpang apabila mereka secara keseluruhan membayar cukai yang lebih daripada kaum Melayu sendiri? Adakah ini “perniagaan” yang adil?

Mereka menghabiskan seluruh hidup mereka di negara di mana mereka hanya dianggap penumpang. Jika kita membeli perabot, perkakas rumah, kereta atau rumah pun, satu hari kita akan habis pembayaran dan akan menjadi tuan punya harta itu.

Tapi tidak di Malaysia versi “Johgo Kelate” ini jika kita bukan Melayu. Inilah adalah mentaliti yang zalim yang patut dibuang daripada negara moden dan berdemokrasi. Jika kita menganggap kaum-kaum lain hanya sebagai penumpang, mengapa kita mengharapkan mereka juga menyumbang kepada kemajuan negara?

“Johgo Kelate” juga melabel orang Melayu sebagai ‘tuan rumah’. Apakah yang melayakkan orang Melayu menjadi tuan rumah pula? Kita pun menjadi pendatang ke semenanjung ini suatu masa dahulu. Yang membezakan antara kita dan kaum-kaum lain ialah masa kedatangan kita ke tanah ini, itu saja.

Sebenarnya, kita juga sudah menjual negara ini suatu masa dahulu kepada penjajah. Itulah sebabnya kita terpaksa berjuang untuk mendapatkan kembali tanah jajahan British. Adakah “Johgo Kelate” melupai yang semasa perjuangan ini, kaum-kaum lain juga menyertai kita? Adakah adil yang selepas kita telah berjaya mendapatkan kemerdekaan, kita menjadi “tuan rumah” walhal mereka menjadi penumpang? Memang tiada keadilan dalam penilaian “Johgo Kelate”.

“Johgo Kelate” juga ingin “mengajar” kepada “penumpang”. Apa yang ingin diajarnya? Sopan-santun? Budi bahasa? Sikap toleransi dan kejiranan? Sama sekali tidak! Dia ingin mengajar kepada kaum-kaum lain yang dia sebenarnya tuan rumah dan mereka sebagai penumpang harus menikus dan berdiam diri.

Di mana “Johgo Kelate” mendapat prinsip ini, yang mengatakan jika kita dizalimi, kita patut menikus sahaja? Sememangnya bukan daripada agama Islam yang mengajar umatnya menyuarakan pendapat apabila dizalimi pemerintah. Jadi adakah “Johgo Kelate” menolak prinsip Islam ini?

Sebenarnya mentaliti yang dipamerkan Melayu baju merah rasis adalah mentaliti yang paling jijik. Jijik kepada budaya Melayu, jijik kepada agama Islam dan juga jijik kepada silaturahim antara insan. Mereka ini hanya berpegang kepada ide yang orang Melayu itu tuan punya negara kita.

Itulah tahap daya falsafah mereka. Tiada pemikiran yang diperlukan. Mereka tidak bertanya untuk menyoal, bagaimana mereka boleh menjadi tuan punya negara kita? Mereka tidak menyoal, adakah kaum-kaum lain tiada sumbangan kepada negara kita?

Mereka tidak bertanya, apakah adil untuk mendapat hak semata-mata kerana mereka itu dilahirkan dalam sesuatu bangsa. Beranikah mereka bertanya, bagaimana pula sesetengah pendatang selepas merdeka boleh diiktiraf sebagai bumiputera walhal kaum-kaum lain tidak boleh?

Daya pemikiran cetek inilah yang mengakibatkan mereka mudah menjadi alat yang dimanipulasi kaum elit yang sudah terdesak untuk memegang kuasa yang kian lama, kian terlepas daripada tangan mereka.

Saya menyeru kepada bangsa Melayu, usahlah terpedaya dengan langkah silat politik “tuan rumah” ini. Mereka ni bukanlah tuan rumah tapi sebenarnya hantu rumah. Rumah yang aman tenteram diganggu oleh hantu-hantu ini kerana mereka ingin makan percuma, itu sahaja.
Mereka mengharapkan kerajaan terus memberi mereka layanan ini semata-mata kerana mereka “tuan rumah”. Harapan ini tidak realistik langsung. Al-Quran sendiri menyatakan yang insan itu tidak akan dapat selain daripada apa yang diusahakan dengan gigih (Surah An-Najm, Ayat 39).

Jadi apakah gunanya kita lantang tentang identiti Islam jika perkara mudah sebegini pun kita gagal? Tinggalkanlah mentaliti rasis ini dan jadilah rakyat Malaysia yang sama dengan kaum-kaum lain.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan