Selepas sebulan jadi TPM, bagaimana prestasi Zahid sebenarnya?

Shahbudin Husin
Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 28 Julai lalu untuk menggantikan Muhyiddin Yassin yang disingkirkan pada tarikh yang sama. Selepas sebulan memegang jawatan itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bukan saja diuji dengan himpunan Bersih 4 yang berlangsung selama 34 jam pada 29 dan 30 Ogos ini, tetapi prestasinya turut menjadi bualan sepanjang tempoh itu.

Sehari sebelum berlangsungnya himpunan yang dijangka mendapat sambutan hangat itu, Zahid telah mengeluarkan warta kerajaan yang melarang sesiapa memakai pakaian berwarna kuning atau yang mengandungi perkataan Bersih 4 berkuatkuasa serta merta.

Ia seperti memberi bayangan awal bahawa pihak berkuasa akan bertindak lebih keras menangani perhimpunan kali ini. Dan ini sekaligus menjadikan Zahid terus menjadi sorotan umum.

Tetapi selepas sebulan bergelar YAB, orangramai juga mulai menilai prestasinya. Adakah prestasnya sepanjang sebulan ini menunjukkan beliau lebih baik atau lebih buruk berbanding TPM-TPM sebelum ini?

Bolehkah rakyat bergantung harap kepadanya sebagai pemimpin yang mewakili semua kaum dan pelbagai lapisan rakyat di negara ini?

Dalam masa yang sama, apakah beliau merupakan TPM yang berpeluang menjadi PM atau bakal kecundang di tengah-tengah pendakian sepertimana ramai yang lain sebelum ini?

Dari segi sokongan ahli-ahli UMNO dan kesetiannya kepada Perdana Menteri Najib Razak, Zahid Hamidi barangkali tidak perlu dipertikaikan lagi.

Beliau bukan saja lama dalam politik dengan bermula dari era Pemuda UMNO lagi, tetapi juga bergelumang lama dengan Najib kerana penglibatan awalnya dalam kerajaan ialah sebagai Setiausaha Politik Najib yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Selain itu, dengan dua kali berturut-turut memperolehi undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden UMNO adalah bukti nyata bahawa sokongan akar umbi memang kukuh terhadapnya.

Bagaimanapun, apabila menjadi TPM tentu saja Zahid tidak boleh bergantung kepada populariti di kalangan ahli UMNO semata-mata. Kedudukan sebagai orang nombor dua dalam kerajaan turut menjadikannya perhatian kepada seluruh rakyat.

Malangnya, sepanjang sebulan ini Zahid belum menampakkan lagi wibawanya yang sebenar sebagai TPM kepada semua rakyat, malah orang lebih banyak mempersoalkan wibawanya berbanding memuji kedudukannya sebagai pengganti kepada Muhyiddin Yassin.

Lihat saja bagaimana beliau mendedahkan adanya usaha menjatuhkan PM melalui undi tidak percaya di Parlimen. Bukan saja dalang yang disebutnya itu gagal dibuktikannya sehingga sekarang, malah dakwaannya bahawa dalang tersebut sudah insaf dan ingin memohon maaf kepada Perdana Menteri tidak ubah seperti "omongan kosong" sahaja.

Kemudian, dalam isu derma RM2,600 juta yang diterima Najib, beliau juga menyebut sudah bertemu dengan wakil keluarga penderma dari Timur Tengah yang murah hati itu dan menghuraikan mengapa sumbangan itu diberikan.

Selain kata-kata itu agak meragukan ramai, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad selepas itu lantas mencabar Zahid agar membuktikan siapakah keluarga penderma yang ditemuinya itu.

"Jadi biar beliau buktikan orang Arab ini ada duit yang banyak untuk diberikan kepada Malaysia dan beberapa negara lain. Negara mana, daripada sumber mana duit itu, apa perniagaannya, apakah nama bank yang digunakannya?

"Tunjukkan akaun dia dalam bank, cek yang dikeluarkannya, khususnya wang AS$700 juta itu. Bank penerima sepatutnya memegang cek itu," cabar Tun Mahathir kepada Zahid melalui blognya.

Sama seperti dakwaan adanya usul undi tidak percaya yang disebutnya sebelum ini dan pertemuan dalang terbabit dengan Najib untuk meminta maaf yang gagal dibuktikan sehingga kini, Zahid juga tidak berani bersuara apa-apa terhadap cabaran Tun Mahathir.

Ini bermakna, termasuk dalang insiden Lahad Datu dan buktinya Syiahnya Mohamad Sabu yang juga gagal dibuktikan setelah digembar-gemburkannya, Zahid sebenarnya mempunyai deretan hutang kepada rakyat yang belum dilunaskannya meskipun sudah meningkat kedudukannya menjadi TPM.

Sebagai TPM, ramai yang menyifatkan Zahid tidak wajar membuat sesuatu dakwaan yang belum dibuktikan kesahihannya kepada umum. Beliau bukan lagi Ketua Pemuda UMNO atau Setiausaha Politik kepada Najib yang boleh sesuka hati melakukan "tembakan rambang" atau "melempar bom asap" semata-mata untuk menarik perhatian ramai.

Cakap seorang TPM mesti berdasarkan fakta dan perkara yang nyata. Seorang TPM tidak boleh semata-mata bercakap untuk meraih populariti politik, tetapi harus mengutamakan kepentingan negara. Perkara yang belum sahih lebih baik disimpan dahulu daripada dihebohkan kepada umum.

Sebarang cakap dan kenyataan seorang TPM bukan saja diperhatikan ramai, malah juga seharusnya mewakili negara.

Namun apakah manfaatnya kepada negara apabila mendedahkan mengenai dalang yang mahu menyingkirkan Najib dan kemudian mengatakan dalang terbabit sudah insaf serta memberikan tarikh dan masa pertemuannya dengan Perdana Menteri, tetapi langsung tidak dapat dibuktikan?

Apakah cukup bijak apabila mengatakan sudah bertemu wakil keluarga penderma yang menyumbang RM2,600 juta kepada Najib, namun apabila dicabar oleh Tun Mahathir, terus terdiam tanpa mampu menyahut walau sepatah pun?

Kecuali Zahid segera merubah wataknya dan benar-benar menjiwai bahawa beliau kini adalah TPM yang merupakan orang nombor dua dalam negara, kepercayaan rakyat daripada pelbagai lapisan masih jauh dari meyakinkan berdasarkan penampilannya dalam tempoh sebulan ini.

Beliau bukan saja terkebelakang berbanding TPM sebelumnya sejak era Tun Musa Hitam, malah ada yang mengatakan Tun Ghafar Baba yang tidak bersekolah tinggi pun lebih baik dan lebih menjiwai jawatan nombor dua itu berbanding dirinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan