Gelaran Datuk untuk Rajinikanth?

Nizha Periaswamy

Nampaknya kehadiran pelakon nombor satu India, ‘Superstar’ Rajinikanth yang terkenal dengan gayanya yang tersendiri dalam filem-filem Tamil telah membentuk satu gelombang dalam kalangan peminat beliau di Malaysia.


Kehadirannya, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 5.30 petang, pada Isnin disambut bukan sahaja daripada kalangan peminat filem Tamil tetapi ‘orang-orang besar’ dan ‘berpengaruh’ dari dunia politik mahupun perniagaan.

Kuasa sebenar seorang ‘hero’ dapat dilihat apabila laman-laman sosial dihujani dengan info dan selfie hero Tamil yang berasal dari Karnataka, sebuah lagi negeri di selatan India, bersebelahan dengan Tamil Nadu.
Usah bercakap panjang tentang latar belakang hero yang diketahui umum, Rajinikanth ke Malaysia untuk meyempurnakan penggambaran filem terbarunya, Kabali.

Kabali merupakan sebuah filem mengenai kehidupan sebenar kumpulan penjenayah (Don) di India arahan P. Ranjith yang turut menyaksikan penampilan khas beberapa pelakon tempatan seperti Magendran Raman dan Datin Seri Shaila Nair.

Difahamkan Rajinikanth akan memegang watak Don yang dikenali sebagai Kabaliswaran, berusia lewat 50-an.

Menariknya tentang kehadiran hero pecah panggung dengan filem blockbuster seperti Padayappa, Enthiran, Sivaji The Boss dan Lingga yang pernah berkepit dengan heroin-heroin muda dan cantik seperti Aiswarya Rai, Sonakshi Sinha, Anushka Shetty dan ramai lagi ialah peluang berjumpa dengan beliau serta promosi terhadap filem tersebut yang akan secara tersendirinya menghasilkan ‘hype’ terhadap filem itu.

Namun, ada pula perkara yang menjangkaui realiti sebenar tentang Rajinikanth sebagai sekadar seorang hero yang hadir ke Malaysia untuk penggambaran filem. Mungkinkah ‘Superstar’ India ini akan dianugerahkan dengan pangkat Datuk?

Ekoran sekeping gambar Rajinikanth bersama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob tersebar berikutan perjumpaan mereka di negeri itu, ramai pula berteka-teka jika Rajinikanth akan turut ditawarkan pangkat ‘Datuk’ selepas Datuk Shah Rukh Khan.

Malah, sewaktu Datuk Shah Rukh Khan diberikan pangkat tersebut pada 2008, ramai pula ‘hero-hero kampung’ tempatan mula mengungkitkan pelakon India mana yang lebih layak menerima pangkat tersebut dan antara nama yang paling ‘menang’ ialah Rajinikanth.

Maka, memandangkan Rajinikanth sudahpun berada di Malaysia dan dikhabarkan akan menjalani penggambaran untuk beberapa bulan, mungkinkah impian rakyat Malaysia (bukan impian Rajinikanth) akan menjadi kenyataan?

Namun, persoalannya, apakah manfaatnya kepada rakyat Malaysia atau bangsa India di Malaysia jika Rajinikanth diberikan pangkat Datuk? Oh, lupa pula, ada juga yang mengidamkan pangkat Tan Sri dan Tun kepada Rajinikanth.

Adakah pelakon dari India iaitu Shah Rukh Khan ataupun Ratharavi yang pernah mendapat pangkat Datuk menggunakan pangkat tersebut sebaiknya demi kebaikan Malaysia? Dan betapa benar kemungkinan trend ini bakal dipanjangkan kepada Rajinikanth?

Jika ya, pasti ramai yang akan memuja pihak yang memberikan pangkat itu, tidak ketinggalan ramai juga yang akan mengkritik nilai pangkat tersebut diberikan kepada seorang pelakon asing sedangkan ramai ‘anak seni’ pula tidak dihargai.

Apapun, Rajinikanth sudah berada di Malaysia dan laman sosial akan terus bercerita mengenai beliau sekurang-kurangnya sehingga filem itu ditayangkan.

Yang pasti, impian sebenar Rajinikanth bergelar ‘datuk’ sudah tercapai melalui tiga cucu beliau daripada kedua-dua anak perempuannya, Aiswarya (dua orang anak) dan Soundarya (seorang anak).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan