Keluarga gagal paksa JPN padam perkataan 'Islam' dalam kad pengenalan

PUTRAJAYA: Seorang ibu dan empat anaknya gagal dalam rayuan untuk membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menolak permohonan bagi menukar nama dan memadam perkataan 'Islam' dalam kad pengenalan masing-masing.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, diketuai hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan bahawa keputusan JPN untuk tidak menukar nama dan agama dalam kad pengenalan mereka adalah betul dari segi undang-undang.

Keluarga tersebut terdiri daripada Jamilah Jan Vasanthegokelam, 55, anak lelaki dari perkahwinan pertamanya, Mohd Sharif Abdullah, 35 dan tiga anak lelaki daripada perkahwinan kedua iaitu Mohd Jeffrey a/l Mohd Baser, 32, Mohd Jass a/l Mohd Baser, 28, dan Mohd Naser a/l Mohd Baser, 22.

Mohd Zawawi berkata keputusan JPN tidak boleh dikategorikan sebagai degil, tidak munasabah, tidak rasional dan menyalahi undang--undang sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

"Perayu telah mengenal pasti diri mereka sebagai India Muslim dan menganut agama Islam," katanya yang bersidang bersama-sama hakim Datuk P. Nalini dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Mohd Zawawi berkata hujahan pihak perayu bahawa agama itu adalah silap dinyatakan dalam rekod rasmi tidak disokong dengan sebarang bukti jelas dan menyakinkan.

Panel tersebut sebulat suara menolak rayuan mereka serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Feb lepas yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi mencabar keputusan JPN itu.

Dalam permohonan semakan kehakiman, keluarga tersebut menamakan Ketua Pengarah JPN, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mahkamah tersebut turut mengarahkan keluarga itu membayar kos guaman sebanyak RM5,000 bagi prosiding di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Peguam Jamilah, Robin Lim, memberitahu mahkamah bahawa suaminya yang kedua, Mohd Baser a/l Kalakan membawanya ke JPN pada 1983 untuk menukar nama kepada Jamilah Jan Vasanthegokelam.

Katanya suaminya itu memberitahu Jamilah Jan bahawa pertukaran namanya akan mengelak sebarang komplikasi yang mungkin dihadapi oleh pasangan itu apabila memohon sijil kelahiran bagi anak kedua mereka kerana nama suaminya seperti nama seorang Islam.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob, yang mewakili pihak responden, berkata Jamilah telah memegang kad pengenalan dengan nama Islam selama kira-kira 30 tahun dan MyKad yang dikeluarkan kepadanya pada 2003 membawa nama 'Islam'.
Rekod JPN juga menunjukkan bahawa Mohd Baser, yang telahpun meninggal dunia, adalah seorang warganegara Malaysia yang menganut agama Islam, katanya.

Selain Lim, keluarga itu turut diwakili peguam S. Nithiyawathi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan