Pengecutnya Israel

HAMSIAH ZULKAFLI
ISRAEL ternyata pengecut apabila baru-baru ini membenarkan penembak tepat membunuh mana-mana penduduk Palestin yang melontar batu ke arah anggota pasukan keselamatan Zionis.
Apalah sangat lontaran batu jika dibandingkan dengan senjata canggih yang dibawa sepanjang masa oleh anggota pasukan keselamatan mereka, namun itulah realitinya. Pengecutnya Israel, sehingga peraturan baharu itu turut membenarkan tenteranya menembak remaja dan kanak-kanak yang membaling batu.

Langkah itu tidak lain tidak bukan diusulkan sendiri oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kononnya atas sebab ‘menyekat pembaling batu dan bom’.

“Sebelum ini, polis hanya dibenarkan melepas tembakan jika nyawa mereka terancam. Namun kini, mereka berhak melepaskan tembakan jika nyawa mana-mana pihak terancam,” jelas Netanyahu.

Tambah mengiyakan ketakutan Israel terhadap semangat perjuangan penduduk Palestin apabila hukuman kepada remaja yang membaling batu turut diperketat. Remaja berusia 14 hingga 18 tahun yang berbuat demikian bakal dipenjara, malah ibu bapa mereka boleh didenda.

Hanya kerana kesalahan melontar batu juga, orang dewasa boleh dihukum penjara maksimum selama 20 tahun.

Malah, satu video yang didedahkan baru-baru ini memaparkan bagaimana ada antara tentera Israel menyamar sebagai pelontar batu sebelum menahan penduduk Palestin yang sama-sama membaling batu dengan mereka.

Hal itu menunjukkan, tidak mustahil selama ini ada antara anggota pasukan keselamatan Israel sengaja menyamar sebagai pelontar batu atau bom tangan hanya untuk mencetuskan provokasi, namun penduduk Palestin pula yang dipersalahkan. Itu hanya sebahagian contoh tentang ketakutan Israel.

Selama ini pun, seluruh dunia tahu Israel tidaklah begitu bijak setiap kali mengatur serangan udara ke wilayah-wilayah Palestin. Sasaran mereka mudah. Bom apa sahaja yang boleh termasuk masjid, sekolah, orang awam, wanita, kanak-kanak serta bayi.

Perkara itu berbeza dengan strategi pejuang Hamas yang menyasarkan sasaran tepat dengan hanya menyerang individu yang perlu sahaja. Malah, tentera serta polis Israel sendiri sangat takut dengan ketangkasan pejuang Hamas yang boleh menyusup bila-bila masa ke kawasan mereka.

Baru-baru ini, sepasang suami isteri pendatang haram Yahudi ditembak mati di kawasan penempatan Neria di Tebing Barat, menyebabkan empat anak mereka yatim piatu. Tahu apa tindakan pengecut Israel? Kerah ribuan tentera untuk berkawal ke lokasi itu segera!

Memanglah sebagai manusia, kita perlu ada sifat kasihan kepada anak-anak mangsa yang ditinggalkan. Tapi bagaimana pula dengan nasib puluhan ribu anak-anak Palestin yang hilang ayah serta ibu sejak lebih 50 tahun lalu?

Itu belum lagi cerita perihal ribuan tahanan Palestin di penjara Israel yang tidak diberi akses langsung kepada khidmat guaman, malah tidak juga dibicarakan, namun diseksa.

Disebabkan ketakutan-ketakutan inilah, Israel masih gagal menawan sepenuhnya wilayah Palestin.

Tanpa senjata, semangat penduduk Palestin sendiri adalah satu kelemahan buat Israel.
-detikdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan