Soalan balak Kelantan di dewan akan berlalu saja?

Wakil Salor Datuk Husam Musa telah pun mempersiapkan soalan untuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Isnin depan untuk dijawab Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Namun oleh kerana kesuntukan masa termasuk kekangan sidang peraturan dewan, Husam bimbang soalannya berkaitan isu balak negeri tidak sempat dijawab oleh Ahmad.

Berhubung soalan spontan pula, bekas exco Kelantan itu juga kelihatan ragu.

“Mengenai janji SUA (setiausaha akhbar) MB bahawa semua soalan akan dijawab dalam sidang ini, saya masih tertanya-tanya, adakah kerajaan akan menentukan satu-satu tajuk lalu bersedia dengan apa jua soalan spontan untuk dijawab?

“Rasanya tidak begitu,” kata Husam yang kerap membangkitkan isu sekitar kontroversi pembalakan negeri.

Setiausaha akhbar menteri besar Mohd Asri Mat Daud dilapor berkata segala isu berkaitan negeri termasuk perkara dibangkitkan Husam akan dijawab pada persidangan DUN yang akan bermula Isnin depan.

Husam, bekas naib presiden PAS, telah menghantar maksimum lima soalan bertulis.

Husam sebelum ini lantangmendedahkan beberapa tindakan kerajaan negeri hari ini yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.

Beliau juga menuntut kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan Kekal Ulu Sat di Machang.

Sementara itu, menulis di Facebook, beliau berkata anggota DUN (ADUN) tetap berhak membangkitkan soalan sama di luar sidang.

“Tidak ada peraturan bahawa ADUN hanya boleh bertanya di DUN,” kata Husam.

“Apa lagi dengan konsep mas'uliyyah/accountability (rasa tanggungjawab) - setiap ADUN mempunyai tanggungjawab dunia akhirat atas apa jua isu berkerajaan dalam rangka menjaga amanah dan maslahah pemerintahan,” katanya.

Semalam seorang pengundi luar Kelantan Mohd Afiq Ayob membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan rasuah lebih RM5 juta berkaitan kegiatan pembalakan melibatkan seorang pemimpin negeri.

Ahmad pula berkata, Kelantan sedia memberi kerjasama kepada SPRM bagi menyiasat dakwaan berlaku rasuah membabitkan pemimpin kerajaan negeri itu.

--------------------------------------------
Husam Musa
Sikap demokratik YAB MB Kelantan sangat saya alu-kan. Melalui kenyataan akhbar SUAnya yang disiarkan Harakahdaily, semua soalan yang diutarakan akan dijawab dalam sidang Dun terdekat.

Sefaham saya, kesudian menjawab itu meliputi soalan yang telah dihantar kepada SU Dun dan juga soalan di luar Dun yang belum terjawab, khususnya surat-surat yang saya kirimkan selaku Adun Salor.

SUA MB meminta Adun untuk bertanya apa sahaja dalam sidang Dun akan datang.

Setahu saya, peluang bertanya dan menjawab semasa sidang Dun adalah seperti berikut:

A. Kerajaan akan menjawab soalan lisan yang telah dihantar dalam tempoh satu jam setengah pada setiap hari sidang.

Lazimnya, tidak semua soalan tersenarai akan berpeluang dijawab kerana kesuntukan masa.

Semasa kerajaan menjawab tiap tiap soalan, Adun dibenarkan bertanya soalan tambahan, lazimnya dua soalan lagi.

Jika masih ada perkara yang ingin diketahui, ia terhalang dengan peraturan itu.

B. Semasa pihak kerajaaan menggulung atau Adun berucap, Adun lain dibenarkan bertanya soalan bergantung kepada tajuk yang sedang diucapkan dan kebenaran pihak yang sedang berucap.

C. Semasa perbahasan oleh Adun berkenaan sendiri.

D. Soalan bertulis. Jawapan yang akan diberikan juga bertulis.

Bagi soalan bertulis, saya telah menghantar lima soalan, iaitu had maksima bagi setiap Adun.

Mengenai janji Sua MB bahawa semua soalan akan dijawab dalam sidang ini, saya masih tertanya-tanya.

Adakah kerajaan akan menentukan satu-satu tajuk lalu bersedia dengan apa jua soalan spontan untuk dijawab?

Rasanya tidak begitu.

Mungkin Adun boleh bertanya ketika satu-satu isu sedang dijawab oleh kerajaan. Namun begitu, lazimnya jika soalan agak detail, kerajaan berdalih perlukan notis.

Saya memahami kalimat NOTIS yang selalu digunakan baik di Parlimen atau Dun sebagai soalan dan pertanyaan hendaklah dihantar lebih awal dari masa menjawab.

Setelah memikirkan janji dan tawaran kerajaan serta tingginya rasa inginkan jawapan dari berbagai perkara berkerajaan (bukan serangan peribadi), saya memutuskan untuk menyerahkan kepada MB soalan terdahulu atau soalan bernotis.

Ia akan memudahkan kerajaan.

Ia memberi peluang Adun mendapatkan jawapan.

Kerajaan Kelantan akan dilihat amat demokratik.

Khususnya boleh mempamirkan kepada dunia kematangan amalan demokrasi. Iaitu Adun kerajaan seperti saya boleh berperanan untuk check and balance yang InsyaAllah akhirnya berguna untuk rakyat dan semua pihak, dunia dan akhirat.

Sejumlah soalan tambahan dengan notis ini, saya akan sampaikan satu salinan kepada MB sebelum sidang bermula. Satu salinan akan juga disampaikan kepada Pengerusi Pac Negeri Kelantan, kalau kalau ada aspek yang boleh diteliti oleh mereka.

Terpulang kepada kerajaan untuk menjawab pada masa yang sesuai sepanjang sidang itu.

Di samping saya mengekalkan pendirian saya bahawa setiap Adun boleh bertanya di luar dan di dalam Dun. Tidak ada peraturan bahawa Adun hanya boleh bertanya di Dun.

Apa lagi dengan konsep mas'uliyyah/accountability - setiap Adun mempunyai tanggungjawab dunia akhirat atas apa jua isu berkerajaan dalam rangka menjaga amanah dan maslahah pemerentahan.

Yb. Dato Hj. Husam Musa
ADUN Salor
16 Muharam 1437/29 Oktober 2015

NOTA:
Soalan-soalan ini tidak disiarkan di sini sebelum kerajaan menjawabnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan