Vape: Pandai kementerian buat lawak

Nik Aziz Afiq Abdul
Semalam saya diuji dengan kehabisan minyak di lebuh raya. Stres sungguh lebih-lebih lagi atas desakan mengejar masa yang tidak pernah cukup.Sementara menanti hero sejati (abah saya) datang membawa bantuan sempat saya yang penuh stres dan penat melayari portal berita.
Siapa sangka laporan berita mampu buat saya ketawa dan tersenyum riang. Seakan tiada masalah. Ibarat baru lepas menonton rancangan lawak pentas di kaca televisyen.

Geli hati sungguh baca kenyataan bahawa kementerian kesihatan berusaha untuk menyekat atau mengharamkan vape @ rokok eletronik.
Alasannya juga kelakar. Iaitu kerana vape membahayakan kesihatan maka ia perlu disekat. Untuk menambah rencah dikatakan pelajar sekolah juga mula terjebak dan ini membimbangkan.

Saya bukan penghisap vape. Malah tidak teringin pun nak hisap. Tapi saya tidak terlalu bodoh dalam menghidu hipokrit kenyataan sebegini.

Jika vape membahayakan kesihatan sehingga perlu disekat, maka adakah rokok itu elok bagi kesihatan?

Jika vape menular di kalangan pelajar sekolah bukankah rokok juga sudah lama lagi merebak di kalangan pelajar sekolah?

Maka kenapa vape diharamkan tetapi pada rokok kementerian berubah menjadi pengecut dan sekadar meletakkan sebuah nota amaran kecil "merokok membahayakan kesihatan" di sisi kotak rokok?

Jawapannya tidak terlalu susah. Menteri dan ahli politik adalah mereka yang menjadi kuda pada pemodal kapitalis. Adalah silap besar jika kita menyangka pemerintah negara ini di kalangan ahli politik. Tidak. Pemerintah sebenar adalah pemodal kapitalis yang melalui mereka juga menteri dan ahli politik menduduki jawatan itu.

Kewujudan vape benar-benar menggugat industri rokok. Para pemilik syarikat rokok hari makin hari semakin resah mengenangkan kadar jualan mereka merudum. Alternatif adalah sesuatu perkara yang paling dibenci kaum kapitalis. Alternatif menyebabkan mereka tidak boleh monopoli dan terpaksa bersaing. Bagi mereka kekayaan hanyalah milik mereka, tidak boleh ada "pendatang baharu" yang bakal menjejaskan kekayaan mereka.

Kebimbangan mereka inilah yang menyebabkan kerajaan boneka juga bimbang. Bimbang kerana syarikat gergasi ini merupakan lubuk emas buat perbendaharaan negara dan kocek peribadi. Jangan lupa syarikat rokok juga penyumbang pada duti eksais negara. Kerugian mereka bermakna kerugian juga buat negara yang tak pernah berhenti memboros ini.

Semenjak industri vape berkembang, makin ramai usahawan online muncul dan mengubah kehidupan ke arah lebih baik apabila perniagaan ini diusahakan bersungguh-sungguh.

Namun kerajaan boneka tidak ambil peduli. Usahawan kecil seperti ini tidak membantu memenuhkan RM kantung negara dan kocek peribadi mereka. Maka apalah sangat kesannya jika golongan penghisap vape ini ditindas yang penting big boss (pemodal kapitalis) kembali mengukir senyum dan reda dengan kerajaan boneka. Diciptalah alasan kelakar seperti vape membahayakan kesihatan dan lain-lain.

Sekiranya kementerian serius dalam mengekang produk membahayakan kesihatan maka sila haramkan juga rokok di negara ini. Halau kilang rokok itu keluar. Bukankah rokok lebih lama diketahui membahayakan kesihatan? Malah difatwa dengan haram oleh majlis muzakarah fatwa kebangsaan? Lihatlah fatwa juga diperlekeh kerajaan boneka demi reda kapitalis perosak.

Solusinya bagi saya ada dua, pertama haramkan rokok juga, kedua, tampal nota di tepi alat vape itu "vape membahayakan kesihatan" seperti yang dilakukan pada kotak rokok.

Benarlah, jika ingin jadi menteri pastikan anda mahir berlawak bodoh! – 29 Oktober, 2015.

* Penulis ialah AJK Pusat Pemuda Sosialis.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan