Wanita dakwa temui bangkai pesawat dipenuhi rangka manusia dan sehelai bendera Malaysia

POLIS MALAYSIA AKAN MENYIASAT DAKWAAN PENEMUAN BANGKAI PESAWAT DIPERCAYAI MH370 DI SELATAN FILIPINA

Sabah: Seorang wanita bertindak sebagai pengadu mendakwa, ibu saudaranya Siti Kayam telah menemui satu bangkai kapal terbang di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi, Filipina

Polis Sabah mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bangkai pesawat di kepulauan di selatan Filipina.

Ketua Polis Sabah, Datuk Jalaludin Abdul Rahman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu malam, mengesahkan laporan itu diterima dan siasatan akan dijalankan.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Sandakan oleh seorang lelaki bernama Jamil Omar pada Jumaat.

Menurut Jalaludin, pengadu mendakwa, ibu saudaranya Siti Kayam telah menemui satu bangkai kapal terbang di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi.

“Pengadu mendakwa, ibu saudaranya telah memasuki bangkai pesawat itu dan melihat terdapat banyak rangka manusia dan telah menemui sehelai bendera Malaysia berukuran 70 inci panjang dan 35 inci lebar,” katanya.

Justeru, katanya, Cawangan Khas Polis akan mengambil keterangan daripada pengadu bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai perkara itu.
mh370 sugbay philippines
Beliau bagaimanapun, menegaskan, sama ada maklumat itu benar atau tidak, ia belum dapat dipastikan setakat ini.

Dalam laporan itu, lelaki berusia 40-an itu mendakwa ibu saudaranya yang berasal dari Tawi-Tawi itu menemui bangkai pesawat berkenaan yang dipercayai MH370 di pulau itu pada awal September lepas.

Pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lepas ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pasukan penyiasat Perancis sebelum ini mengesahkan serpihan yang dikenali sebagai ‘flaperon’ yang dijumpai di pantai Pulau Reunion adalah milik pesawat MH370 yang hilang 8 Mac 2014.
-malaysianreview-

--------------------------

Penemuan Bangkai Pesawat MH370: Polis Filipina Bingung

KOTA KINABALU: Polis di selatan Filipina bingung mengenai dakwaan penemuan bangkai pesawat yang mempunyai bahagian dicat bendera Malaysia ditemui di dalam hutan sebuah pulau terpencil di wilayah itu.

Seorang pegawai kanan polis Filipina di Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) itu berkata tiada laporan diterima mengenai insiden pesawat terhempas di kepulauan tersebut.
"Kami akan melakukan pemeriksaan tetapi sekiranya terdapat mana-mana pesawat terhempas di dalam wilayah ini, orang awam pastinya akan memaklumkan kepada pihak berkuasa.

"Sehingga hari ini, tiada laporan diterima," kata pegawai kanan polis, Superintendan Rodoleo Jocson yang berpangkalan di Maguindanao yang bidang kuasanya meliputi wilayah Tawi Tawi.

Ketika dihubungi The Star pada Ahad, Jocson berkata beliau berasa pelik terhadap dakwaan penemuan bangkai pesawat di Pulau Sugbay di Tawi Tawi.

"Tiada sebarang laporan polis dibuat kepada balai polis di wilayah Tawi Tawai mengenai penemuan bangkai pesawat," kata Jocson.

Pada Sabtu, seorang juruteknik audio visual berusia 46 tahun membuat laporan di balai polis Sandakan yang mengatakan saudaranya dari Pulau Sugbay menemui sebuah bangkai pesawat di sana pada awal September lalu.

Dalam laporan tersebut, lelaki itu mendakwa anak saudara lelakinya bersama beberapa yang lain sedang memburu burung apabila menemui bangkai pesawat di pulau itu.

Mereka mendekati bangkai pesawat berkenaan yang kemudiannya menemui tulang manusia.

Mereka turut menjumpai rangka manusia di kerusi juruterbang dengan tali pinggang keledar yang masih dipasang.

Mereka kemudiannya mengambil sebuah bendera yang ditemui di dalam bangkai pesawat tersebut sebelum meninggalkan kawasan itu.

Lelaki tersebut mengatakan bahawa dia memaklumkan kepada polis mengenai bangkai pesawat itu mungkin milik pesawat yang hilang tahun lalu.

Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang pada Mac tahun lalu dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Sejurus insiden itu, usaha pencarian pesawat tersebut khususnya di selatan Lautan Hindi masih dipergiatkan.
-mstar-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan