Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang menyiasat dakwaan bahawa seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di hadapan hadirin termasuk duta-duta asing pada sebuah majlis.
Pada mulanya, berdasarkan posting di Facebook oleh Maria Tay berkata pegawai itu menyifatkan Najib sebagai ‘lembu yang tidak berguna dan tiada kemampuan’.
Bagaimanapun, dalam posting berikutnya, Tay mendakwa pegawai itu tidak mengeluarkan kata-kata berkenaan tetapi membidas Najib ibarat beliau ‘lembu yang tidak berguna dan tiada kemampuan’.
"Orang itu tidak secara khusus melabel Najib sebagai 'lembu yang tidak berguna' dan saya pasti tidak akan memuat-naikkannya.
"Apa yang saya maksudkan adalah bahawa orang itu memburukkan kerajaan dan semua pegawai atasannya hingga mereka seolah-olah seperti 'lembu yang tidak berguna',” katanya.
Posting asal Tay juga menyifatkan pegawai itu sebagai ‘banjingan’ yang berbunyi: "Tan Sri ... kutuk kerajaan kita, PM Najib dan menteri perdagangan seperti lembu yang tidak berguna dan tiada kemapuan”.
Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementeriannya sedang meneliti perkara itu.
"Saya sudah berhubungan dengan Menteri (Datuk Seri Mustapa Mohamed)... Siasatan akan dijalankan. Ini tuduhan serius," katanya.
Sebelum ini, Datuk Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang memetik laman Facebook berkata kakitangan kanan kerajaan itu membuat kenyataan berkenaan pada satu majlis beberapa bulan lalu.
"Jika ini (terbukti) adalah benar, pegawai itu tidak membantu kerajaan, dia sedang memusnahkan kerajaan.
“Dia lakukan apa yang pembangkang lazimnya buat," katanya.
Malaysiakini tidak menyiarkan nama pegawai itu sementara menunggu reaksinya berhubung dakwaan itu.
Menurut posting Tay, dua perwakilan asing, ketua pegawai eksekutif dan eksekutif tempatan hadir ketika kenyataan itu dibuat.
"Katanya, kerajaan perlu dibubarkan dan MITI tidak peduli kerana mereka boleh beroperasi dengan sendiri tanpamenteri-menteri yang tidak berguna," petik posting itu.
Menurut Tay yang dipercayai juga menghadiri majlis makan malam itu, dirinya tidak pernah menjadi sebegitu malu.
Pada masa yang sama, beliau memuat naik gambar Najib bersama wanita yang dipercayai pegawai kanan kerajaan itu.
"Melihat gambar ini membuatkan saya tertanya-tanya jika beliau mempunyai keberanian untuk memberitahu PM Najib apa yang beliau luahkan?" soalnya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan