Anina Saadudin
Dua puluh empat tahun lalu, saya sebagai budak kampung yang tidak mengenal erti kemodenan dan kesenangan bersalam dengan Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) di Padang Matsirat, Langkawi.
Saya terketar-ketar bersalam dengan Mahathir ketika itu kerana pertama kali berjumpa perdana menteri.Saya ucap terima kasih kepada Tun ketika itu sebagai penghargaan yang cukup tinggi kerana Dr Mahathir nak majukan pulau saya.
Sebelum itu, rumah saya guna gasolin dan kami mandi dari perigi.
Dr Mahathir bekalkan elektrik dan air ke seluruh Langkawi dan jadikannya pulau bebas cukai.
Sebelum itu, kami orang Langkawi adalah orang pedalaman, rumah saya tiada TV (televisyen) kerana tiada elektrik.
Kami makan hasil tangkapan laut nelayan kampung dan tanam sendiri sayur di belakang rumah.
Mak saya juga bela ayam di belakang rumah, beberapa bulan sekali mak akan sembelih ayam dan dapatlah kami makan ayam.
Segalanya berubah selepas Dr Mahathir majukan Langkawi, ayah saya berniaga batik jawa dan jual minyak gamat.
Kemudian ayah saya buka chalet dan restoran makanan laut.
Saya yang tidak pernah menonton TV ketika kecil akhirnya mampu naik kapal terbang setiap kali pulang bercuti semester dari UiTM (Universiti Teknologi Mara) Shah Alam.
Oleh kerana ekonomi meningkat, ayah belikan saya Proton Saga ketika belajar di universiti pada 1994.
Orang ulu dah mula naik kapal terbang dan memandu kereta di Kuala Lumpur! (Hahahahaha)
Saya tidak malu bercerita. Itu kisah saya. Semua orang Langkawi juga menyimpan kisah masing-masing tentang jasa Dr Mahathir.
Pagi ini saya menangis ketika melihat gambar ini.
Dua puluh empat tahun kemudian Dr Mahathir yang berjasa besar terhadap orang Langkawi melahirkan penghargaan atas keberanian saya untuk bercakap benar.
Tun Mahathir tidak pernah mengenal nama saya dan sudah pasti Tun tidak mengingati budak hidung penyet yang bersalam dengannya 24 tahun lalu.
Saya hanya melakukan perkara yang betul untuk negara.
Ia bukan untuk Tun tetapi untuk generasi anak Malaysia yang akan datang. Kita tidak menongkat langit.
Kita semua akan pergi dan meninggalkan negara ini untuk anak cucu kita. Segalanya akan kita tinggalkan dan hanya sekujur tubuh akan bersemadi di liang lahat.
Negara yang bagaimanakah akan kita wariskan kepada generasi selepas kita? Saya tidak mungkin dapat membalas jasa Tun M.
Bagi saya, hanya Allah yang mampu membalas segala kebaikan Tun M bukan hanya kepada orang Langkawi, tetapi 30 juta rakyat Malaysia dan umat Islam seluruh dunia. – Facebook Anina Saadudin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan