Sila keluar PAS jika tidak yakin dengan parti - Nik Abduh
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata tindakan keluar parti juga merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang sedang melanda PAS ketika ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini dengan lantang mengkritik beberapa pemimpin parti yang sudah tawar hati dan tidak yakin dengan pucuk pimpinan untuk meninggalkan parti berkenaan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata tindakan keluar parti juga merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang sedang melanda PAS ketika ini.
Malah, katanya pemimpin terbabit tidak akan memperoleh ganjaran pahala sekiranya masih berada di dalam parti tetapi gagal melaksanakan amanah dengan baik.
"Ramai bertanya saya, bagaimana isu dalaman PAS akan cepat berakhir. Saya jawab apabila 'penyakit' itu (pemimpin PAS) keluar dengan sendiri tanpa perlu 'dibedah buang'," katanya dalam laman Facebooknya hari ini.
Beliau berkata pemimpin yang tidak berpuas hati dengan parti dan cuba merosakkan parti dari dalam adalah satu tindakan yang tidak beramanah dan tidak bertanggungjawab.
"Tiada juga pahala lagi buat anda jika kekal dalam PAS dengan terus memegang jawatan dalam parti yang diamanahkan oleh setiap anggota (parti) tetapi tidak mampu melaksanakan program dan arahan parti.
"Dan jika laksanapun, anda laksanakan untuk tujuan sebaliknya, mempromosikan gerakan lain dan menghodohkan (memburukkan) wajah PAS. Bagaimana nak dapat pahala, pahala mudah saja, laksanakan amanah. Dosa pun mudah, khianati amanah," katanya.
PAS kini berada dalam kemelut apabila sekumpulan bekas pemimpin itu yang tidak dipilih ketika Muktamar Tahunan PAS ke-61 baru-baru ini bertindak menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Harapan Baru bagi menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang baharu yang akan dibentuk.
Nik Abduh yang juga anak kepada bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menasihatkan anggota parti itu agar patuh kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Jika kita sudah hilang kepercayaan, tak boleh lagi dengar dan tak boleh lagi patuh, maka kita kena letak jawatan," katanya.
-malaysianinsider-
Belanja pak cik tiket RM2, gadis dibalas RM300
Belanja pak cik tiket RM2, gadis dibalas RM300 Gambar menunjukkan duit yang diselit dalam buku Ezzaty.
KISAH gadis yang satu ini menarik perhatian netizen apabila dengan RM2, dia dibalas RM300 oleh orang yang dibantunya, semalam.
Gadis yang menggunakan akaun Facebook dengan nama Ezzaty Amin berkongsi cerita perjalanannya ketika menaiki komuter dari Batu Caves ke Shah Alam di mana dia bertemu seorang lelaki berusia yang dipanggil pak cik.
Bertemu dengan pak cik tersebut ketika beratur untuk membeli tiket, Ezzaty terdetik untuk ‘membelanja’ pak cik berkenaan setelah mendapati tujuan mereka sama.
“Saya beli satu tiket dewasa dan satu tiket warga emas. Dia tergamam dan saya pun kata, Tak apa pak cik, saya belanja.
“Sepanjang perjalanan, kami berbual dan pak cik berikan saya kad bisnes beliau. Saya tak berikan perhatian sangat dan terus menyimpan dalam dompet. Kami borak tentang keluarga, karier. Pak cik beritahu dia mualaf dari Sabah dan minta saya tasmi’ bacaannya, Surah Luqman ayat 1 hingga 5,” ceritanya yang dikongsi di Facebook, malam tadi.
Menurut perkongsian itu lagi, Ezzaty memberitahu pak cik tersebut ada meminta untuk melihat buku yang dibawanya berjudul Langit Illahi karya Hilal Asyraf sebelum mereka berpisah.
“Setelah kami sampai ke destinasi kami, pak cik kata, ‘jadilah orang baik, ikhlas. Pak cik doakan kamu di Mekah’. Dia akan menunaikan Haji, Ahad ini,” katanya.
Menurut Ezzati, setelah tiba di rumah, baru disedari terdapat RM300 di dalam bukunya.
“...dan saya lihat kad bisnes yang diberinya. Rupa-rupanya dia adalah Kapten dan Pengarah Projek Syarikat Kejuruteraan Marin dan Dredging.
“Tuhan telah berjanji, kita tidak akan menjadi miskin dengan memberi sedikit dari harta kita untuk kebajikan. Semoga ALLAH membimbing kita semua,” katanya.
Tinjauan Sinar Online di media sosial mendapati, kisah itu menerima reaksi positif daripada pengguna-pengguna yang memuji sikap Ezzaty.
Statusnya di Facebook itu turut dikongsi hampir 8,000 kali dan mendapat lebih 26,000 ‘likes’.
-sinarharian-
Dia ni dah kenapa...
Pemuda yang ditahan kerana curi pakaian dalam. FOTO ihsan pembaca
Shah Alam: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan penduduk pangsapuri di Seksyen 17 dekat sini Selasa lalu selepas didapati mencuri pakaian termasuk coli dan seluar dalam penduduk.
Kejadian kira-kira 2.30 pagi itu disedari beberapa penduduk yang ternampak suspek mencuri pakaian dalam di salah sebuah rumah di tingkat bawah sebelum mengejar dan berjaya menahannya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek turut membawa beg untuk mengisi pakaian dalam yang dicuri.
"Selepas diperiksa didapati beg itu mengandungi tujuh helai baju dalam, enam helai seluar dalam, stokin, tudung dan baju sejuk milik penduduk.
"Suspek yang bekerja kilang ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
-hmetro-
Rempuh tangga bangunan, bakar diri selepas dipecat oleh majikan (Gambar)
ANGGOTA bomba berjaya memadam kebakaran selepas seorang wanita nekad membunuh diri di Bangsar South, Jalan Kerinchi, semalam.
Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 35 tahun yang dipercaya berang akibat dipecat oleh majikan bertindak merempuh kereta dipandu ke arah bangunan pejabat di Bangsar South, Jalan Kerinchi di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, mangsa kemudian bertindak membakar dirinya di dalam kenderaan menggunakan petrol dan mercun dibawanya.
Kejadian itu kemudian segera dilaporkan kepada pihak polis sebelum anggota Bomba dan Penyelamat Pantai bergegas memadamkan kebakaran itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, mangsa sempat diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian yang membantu memadamkan api menggunakan alat pemadam api.
“Mangsa mengalami kecederaan melecur hampir 50 peratus pada keseluruhan tubuhnya,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang berjaya diselamatkan dalam kejadian itu sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Siasatan mendapati mangsa memandu kereta model Perodua Viva. Sejurus kebakaran kereta itu dipadamkan, pihak polis menemui dua kotak mercun dan tiga tong berisi petrol,” katanya.
-hmetro-
Bekas ADUN Bercham cuma ahli PAS kelas kedua - DAP Perak
DAP Perak nampaknya bersikap acuh tidak acuh dengan tindakan bekas anggota dewan undangan negerinya Sum Cheok Leng menyertai PAS hari ini.
Pengerusi DAP negeri Nga Kor Ming berkata bekas wakil rakyat Bercham itu sudah tidak aktif dengan mereka sejak digugurkan sebagai calon dalam pilihan raya umum lalu.
“Beliau anggota tidak aktif sejak itu. Saya tidak pernah dengar berita daripada dia dalam tempoh dua tahun ini,” kata Nga.
Setelah keluar DAP semalam, Sum hari ini mengambil langkah drastikmenyertai PAS – yang mempunyai perselisihan panjang dengan parti asalnya.
Penyertaan Sum itu dilihat menjadi tamparan kepada DAP, rakan lama mereka dalam Pakatan Rakyat, yang kini sudah pun terkubur.
Bercakap kepada Malaysiakini, Nga bagaimanapun memperolokkan kenyataan Sum untuk berkhidmat kepada rakyat melalui PAS.
“Dengan masuk Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), beliau bukan pun anggota rasmi PAS.
“Dengan alasan itu, saya percaya rakyat cukup bijak menilainya.
Nga juga berkata Sum hanya “anggota kelas kedua” PAS yang tidak mempunyai hak mengundi dalam parti Islam itu.
“Jadi apa yang beliau hendak cakap. Ini bertentangan dengan logik akal.
"Saya ucapkan pada dia selamat maju jaya,” sindir Nga.
-malaysiakini-
Najib tak boleh beli saya - Ahmad Said
Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menegaskan bahawa beliau tidak boleh dibeli oleh sesiapa, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
“Orang tidak boleh beli Mat Said, PM,” katanya sambil berkata “nanti saya cerita”.
“Kalau saya terima saya dah jadi jutawan. Saya tak terima satu sen pun.”
Ahmad pernah keluar Umno selepas disingkirkan daripada kedudukan dalam kerajaan negeri pada 12 Mei lalu.
Beliau bagaimanapun kembali ke pangkuan Umno dua hari kemudian, yang menimbulkan spekulasi beliau dibayar.
Malaysiakini menyiarkan komen pembaca berhubung spekulasi berkaitan dalam ruangan "YourSay” sebelum disaman Datuk Seri Najib Razak.
Dalam ucapannya di mesyuarat Umno Kemanan hari ini, Ahmad bersumpah tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk rasuah.
“Mat Said tak pernah ambil duit,” katanya.
-malaysiakini-
Kekeliruan isu mohon maaf kes Khalid-Saifuddin
Kes saman bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim terhadap pengarah pilihan raya PKR Saifuddin Nasution selesai melalui penyelesaian luar mahkamah.
Bagaimanapun terdapat kekeliruan berhubung permohonan maaf.
PKR mendakwa penyelesaian itu dibuat setelah kedua-dua pihak saling memohon maaf.
Peguam Khalid, Edmund Bon pula berkata permohonan maaf Saifuddin tidak bersyarat manakala permohonan Khalid pula dibuat atas semangat Syawal, bulan orang Islam bermaaf-maafan.
Selepas penyelesaian di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan mendakwa penyelesaian dicapai seperti berikut:
(1) Khalid menarik balik saman.
(2) Saifuddin dan PKR memohon maaf kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.
(3) Khalid memohon maaf kepada Saifuddin dan PKR.
Bon berkata kenyataan itu tidak tepat.
“Penghakiman persetujuan (consent judgment) tidak sama dengan menarik balik saman.
“Keduanya, Saifuddin jelas meminta maaf tanpa syarat terhadap tujuh kenyataan fitnah yang menjadi subjek saman Khalid.
“Ini termasuk isu Bank Islam, isu Eco-World, Kidex dan isu penstrukturan semula air Selangor,” katanya.
Beliau juga berkata Saifuddin berkata ia tidak sepatutnya berlaku dan tidak akan mengulangi lagi.
“Khalid kemudian terima maaf itu dengan niat baik dan ambil peluang – kerana ini bulan Syawal – untuk mohon maaf jika dia mengguris perasaan sesiapa, termasuk Saifuddin dan anggota PKR,” kata Bon kepada Malaysiakini.
Bon berkata ini kali pertama PKR membuat permohonan maaf di mahkamah. Penyelesaian itu dibuat selepas perbincangan dua jam.
Saifuddin diwakili oleh William Leong yang juga anggota parlimen Selayang.
Kenyataan penerimaan maaf oleh plaintif itu turun dimuat naik di Internet dan diulang tweet oleh Bon.
Ia berbunyi:
"Saya Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim, menerima mohon maaf ini daripada defendan-defendan iaitu Saifuddin Nasution Ismail dan Parti Keadilan Rakyat.
Dalam semangat bulan Syawal ini, saya juga mengambil kesempatan itu untuk memohon maaf zahir dan batin jika saya menyinggung perasaan mana-mana pihak termasuk Saifuddin Nasution bin Ismail dan ahli-ahli yang lain.”
-malaysiakini-
Tindakan lelaki ini memalukan… (Video)
PETALING JAYA: Rayuan maaf seorang warga emas dengan seorang penunggang motorsikal selepas terbabit dalam dengan insiden di atas jalan raya tidak diendahkan
Sebaliknya lelaki berkenaan terus bertindak kasar dan menengking serta menghempas pintu keretanya.
Keadaan cemas yang berlaku menyebabkan ahli keluarganya yang ada bersama ketakutan.
Lebih memalukan tindakan lelaki berkenaan tidak menggambarkan tulisan yang tertera di bajunya ‘the sunnah the better’.
Aksi ganasnya kemudian dirakam dan dimuat naik di laman Youtube.
Dalam rakaman audio kedengaran rayuan penumpang supaya mereka tidak diapa-apakan.
-freemalaysiatoday-
Ahmad Said, Bekas MB Terengganu Bersumpah Rahsia 1MDB Adalah Benar
Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata Sultan Terengganu sendiri mengetahui hasrat 1MDB mencagarkan minyak dan gas asli di perairan Terengganu, merujuk langkah yang ingin diambil Terengganu Investment Authority (TIA), syarikat terdahulu sebelum ditukar menjadi 1MDB.
Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bersumpah mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pernah berhasrat mencagarkan minyak dan gas asli di perairan negeri itu.
Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Bahagian Umno Kemaman hari ini, beliau menafikan mereka cerita tersebut.
Malah katanya, Sultan Terengganu sendiri mengetahui perkara itu, merujuk langkah yang ingin diambil Terengganu Investment Authority (TIA), syarikat terdahulu sebelum ditukar menjadi 1MDB.
"TIA ingin cagarkan minyak di Terengganu. Saya bersumpah 'wallahi wabillahi'.
"Ini bukan cerita sensasi. Saya sedia bersumpah di mana sahaja untuk mempertahankan cerita ini," kata Ahmad, yang juga Ketua Bahagian Kemaman.
Ahmad pernah membuat dakwaan tersebut pada Mei lalu, di Dewan Undangan Negeri Terengganu, apabila beliau berkata, keputusan untuk menggunakan sumber petroleum di negeri itu kemudiannya ditarik balik.
Dakwaan beliau itu kemudiannya diulang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi pengkritik utama Datuk Seri Najib Razak.
TIA ditubuhkan pada 2008 untuk mengurus dan melaburkan royalti daripada sumber petroleum di negeri itu, dan ditukar menjadi 1MDB pada 2009 selepas Najib menjadi perdana menteri pada tahun itu.
-malaysianinsider-
PANAS!! Muhyiddin desak Najib jelaskan baki dari RM2.6 bilion dalam akaun
Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak besar dan jika ia masih berbaki, beliau harus memaklumkan di mana wang tersebut kini disimpan.
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa perdana menteri menjelaskan mengenai baki dari wang RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun bank peribadinya selepas ia dikatakan sudah ditutup pada 2013 lalu.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak tersebut besar dan jika ia masih berbaki, beliau harus memaklumkan di mana wang tersebut kini disimpan.
"Apakah berbaki wang itu semasa ia ditutup? Kerana, jumlahnya itu besar. Kalau jumlahnya besar, pasti ia berbaki.
"Kalau masih berbaki, ke manakah wang itu?" soal Muhyiddin ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman di Terengganu petang ini.
Muhyiddin berkata beliau tidak dapat menjawab mengenai soal wang tersebut, sebaliknya menggesa Najib yang juga menteri kewangan supaya menjelaskannya.
"Berapa banyak yang diterima? Berapa banyak wang digunakan untuk pilihan raya? Saya mana tahu. Saya tidak dapat.
"Saya rasa mungkin presiden Umno dapat menjawabnya," katanya merujuk kepada Najib.
-malaysianinsider-
Muhyiddin, Mat Said diramal berganding kritik Najib
PETALING JAYA: Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman yang akan diadakan selepas solat Jumaat petang ini dijangka berlangsung dalam situasi `panas'.
Perasmian yang akan dibuat Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan menjadi faktor.
Pada kesempatan yang ada, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dikatakan akan menggunakannya sebagai platform untuk menjelaskan pelbagai isu dan perkembangan semasa.
Keadaan dijangka semakin ‘panas' dengan kehadiran bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang hampir senasib dengan Muhyiddin.
"Lebih panas lagi apabila perasmian mesyuarat yang akan berlangsung itu diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Said yang sememangnya mempunyai perasaan terpendam selepas pemecatan jawatannya sebagai Menteri Besar Terengganu lebih setahun yang lalu," kata bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin.
Menurutnya lagi, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Ahmad Shabery Cheek yang turut diundang pada perasmian mesyuarat itu pasti akan `panas telinga' mendengar kritikan yang ditimbulkan.
-fmt-
Kedudukan sebagai PM sudah tiada guna lagi buat Najib
Mohd Sayuti Omar
Najib Razak makin hari makin terkepit dan terjempit dengan masalah dan isu yang dibuatnya sendiri. Walaupun dia masih kekal sebagai perdana menteri, tetapi kerusi itu sudah tidak bermakna lagi buatnya apabila ia terus-tersusan dipertikaikan.
Kedudukan dan maruah Najib sebagai perdana menteri kini sudah tidak ada lagi.
Semua orang dan semua dunia sedang mentertawakan Najib Razak. Najib masih belum sedar yang dia adalah seorang perdana menteri yang hilang sokongan rakyat. Najib tidak lebih daripada badut bernyawa.
Najib juga sedang gelabah kini. Dalam usaha mengekalkan kedudukan Najib juga mengguna semua kesempatan yang ada untuk mempertahankan dirinya. Badan-badan dan alat kerajaan juga seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam dan lain-lain juga digunakan untuk mempertahankan dirinya.
Bukan semua 3 juta ahli Umno menyokong dan bersetuju dengannya. Hanya mereka yang dilantik menjadi menteri alias pengampunya sahaja membela beliau siang dan malang.
Najib mengupah orang untuk mengatakan dia baik dan mempertahankan perbuatan bobrak dilakukannya.
Tidak cukup dengan para menteri Musang Berjanggut, anaknya juga turut membelanya. Ini adalah tahap terakhir bagi seorang perdana menteri yang mempunyai kuasa besar tetapi terpaksa menggunakan anak untuk meraih sokongan.
Anaknya Mohd Nazifuddin menyeru agar serangan ke atas bapanya dihentikan kerana ia mengorbankan negara - memberi kesan buruk kepada negara. Aduh sedap bunyinya penuh retorik. Apakah anak Najib tahu dengan apa yang berlaku ke atas bapaknya ia lebih memberi kesan buruk dan membusukan negara?
Negara hari ini rasa bertuah kalau Najib tidak lagi jadi PM daripada negara berPM kepada Najib.
Tiadak ada lagi yang boleh dilakukan dan dipertahankan oleh Najib. Dirinya sudah teramat busuk dan kohong. Saya tidak mahu menyebut apa yang perlu dilakukan Najib kerana dalam surat saya buatnya menerusi blog ini saya sudah menyebutnya.
Lakukanlah apa yang saya suruh itu kerana itulah juga harapan dan kehendak seluruh 30 juta rakyat negara ini. Maruah dan kewibawaan Najib bukan sahaja hilang dari keyakinan rakyat biasa, tetapi para aparat dan pegawai kerajaan juga.
Hakikatnya hari ini Najib sudah tidak mempunyai sokongan mana-mana pihak lagi, khasnya rakyat. Yang menyokong Najib dan mengatakan Najib masih wangi, hanya mereka yang Najib lantik dan berikan ghanimah sebagai menteri. Itu sahaja yang ada.
Video: Guru cedera ditetak penyamun
PETALING JAYA: Seorang guru wanita bertindak berani melawan penyamun yang di sebuah kedai serbaneka di Pagoh, Muar.
Dia bertekad untuk bergelut sebaik beg tangannya cuba dirampas suspek.
Dalam kejadian pada jam 6.42 pagi Rabu, kelihatan seorang lelaki memasuki premis berkenaan dan kemudian cuba meragut beg tangan guru berkenaan yang ketika itu berada di kaunter.
Dia yang enggan menyerah kemudian bertindak melawan.
Berdasarkan visual rakaman litar kamera tertutup (CCTV), dua pekerja kedai berkenaan kelihatan tergamam dan mula cuba bertindak selepas mangsa jatuh selepas bertarung dengan lelaki itu.
Dia mengalami kecederaan dikepala dipercayai akibat terkena senjata tajam yang digunakan untuk merampas beg tangannya.
Suspek kemudian berjaya melarikan dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi warna hitam yang menunggu di tepi jalan bersama beg tangan.
Selain mengalami kecederaan, mangsa turut menanggung kerugian RM700 dalam kejadian berkenaan.
“Ni kalu penyamun tu kena tangkap pastu kena balun balik ngan parang dia bawak tu..mesti ada yg kata “kesiannya..kena pukul mcm tu skali..bw je la p balai” keh3x….hurmmmm.
“Apapun tahniah buat cikgu tu, berani lawan blk walaupon berisiko like emoticon semoga cepat sihat,” tulis Mohd Faiz Mohd Khalid.
-fmt-
Sebab kenapa pemimpin PAS 'jatuh setandan' - KHALID SAMAD
Perkembangan mutakhir ini, dengan kemunculan Gerakan Harapan Baru (GHB) telah menyebabkan ramai ahli PAS berada dalam keadaan kebingungan. Mereka tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku?
Mengapa PAS yang selama ini kelihatan kukuh bersatu dan sedang berada dalam kedudukan yang antara paling berjaya sepanjang sejarahnya, tiba-tiba bagaikan berpecah dua?
Bagi sebahagian ahli, soalan yang timbul dijawab secara mudah dan dengan kaedah menghukum seperti, “tiadanya keikhlasan”, “proses pembersihan”, “sifat munafik”, “kecewa” dan sebagainya.
Namun dijawab pula sebahagian yang lain bahawa, “mereka yang terlibat adalah orang-orang lama, lebih 30 tahun bersama PAS dan telah berkali-kali diuji dan terbukti keikhlasan mereka.
Sekiranya sebab-sebab seperti itu adalah puncanya, sudah pasti sudah lama mereka meninggalkan perjuangan ini”. Oleh itu ramai dari kalangan ahli biasa menolak penjelasan yang mudah seperti itu.
Saya terpaksa menjelaskan bukan sahaja yang tersurat tetapi juga yang tersirat. Mungkin bacaan saya tepat, tetapi mungkin juga sebaliknya, namun dalam usaha memahami keadaan yang telah berlaku, penjelasan yang saya kemukakan ini adalah, bagi saya, yang paling munasabah dan rasional.
Bibit-bibit perpecahan
Masalahnya pada hemat saya bermula selepas sahaja kemenangan tercapai dalam PRU 2008. Boleh dikatakan ianya merupakan ujian kemenangan buat PAS. Pada ketika itu, PAS dan PKR berada dalam Barisan Alternatif (BA).
Untuk menghadapi PRU 2008, telah diwujudkan persefahaman politik antara BA dan DAP demi mengelak berlakunya pertandingan tiga penjuru apabila berdepan dengan Umno/BN.
Tanpa dijangka, BA dan DAP telah mencapai keputusan yang begitu baik sehingga memungkinkan pembentukan kerajaan di lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Oleh kerana ianya tidak dijangka, maka PAS agak bercelaru menanganinya!
Sehari selepas keputusan diumumkan, terdapat pimpinan PAS yang telah mengatur pertemuan dengan pimpinan Umno. Yang sah dan nyata, cadangan membentuk kerajaan bersama Umno/BN telah dipertimbangkan untuk Selangor dan Perak.
Saya tidak dengar cadangan sama dipertimbangkan untuk Kedah. Mungkin untuk Kedah ianya tidak dianggap perlu atas sebab PAS adalah majoriti. Ianya juga tidak releven untuk Kelantan.
Di Pulau Pinang pula, jumlah kerusi DAP dan PKR mencukupi untuk pembentukan kerajaan. Maka tiada apa yang boleh dilakukan PAS kecuali untuk bersama.
Pemimpin utama PAS tidak selesa
Racangan bertemu pimpinan Umno ini mungkin atas sebab rasa tidak selesa pemimpin utama PAS dengan pilihan membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP di Selangor dan Perak. Pada ketika itu, di kedua-dua negeri tersebut, PAS mempunyai kerusi paling sedikit berbanding PKR dan DAP.
Pada masa yang sama, barisan pembangkang kesemuanya Melayu Islam dari Umno. Maka adalah dipercayai pimpinan utama PAS merasakan amat keliru untuk PAS berada di pihak majoriti bukan Melayu Islam berhadapan dengan pembangkang Melayu Islam.
Walaupun usaha rundingan ini telah akhirnya berjaya dipintas, namun sikap tidak selesa memerintah bersama PKR dan DAP dalam keadaan PAS tidak dominan terus menghantui pimpinan utama di dalam PAS.
Hasil dari itu, timbul pemikiran yang mempertikaikan kebijaksanaan pendekatan Pakatan Rakyat kerana ia memungkinkan PAS memerintah bersama tetapi dalam keadaan minoriti.
Namun rasa tidak selesa ini tidak dikemukakan untuk dibincang tetapi sebaliknya dipendam. Pada masa sama, para pemimpin ini mengulangi slogan “kukuhkan Pakatan” dalam setiap ucapan, walaupun hati mereka berkata sebaliknya.
16 September, kerajaan perpaduan
Di dalam kerangka pemikiran dan logik yang sama, maka cadangan September 16 anjuran DSAI ditolak pimpinan utama PAS. ‘Majoriti Islam Melayu’ adalah syarat yang tidak mampu dipenuhi pada ketika itu.
Mungkin hasil rasa tidak selesa ini juga, maka cadangan presiden PAS mengemukakan cadangan kerajaan perpaduan pada 2009 tanpa apa-apa perbincangan di peringkat PAS Pusat mahu pun Majlis Syura.
Mungkin cadangan membentuk kerajaan perpaduan ini dilihat sebagai satu-satunya cara untuk melepaskan PAS dari dilema bersama PKR dan DAP tanpa dominasi PAS.
Pada ketika itu kerusi PAS di Parlimen juga adalah yang paling sedikit berbanding rakan Pakatan Rakyat. Melalui kerajaan perpaduan, paling kurang, PAS dalam membentuk majoriti ‘Melayu Islam’ kalaupun tidak dapat mendominasi.
Akan tetapi segala perbincangan berhubung kerajaan perpaduan ini telah dipatahkan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sehingga akhirnya ianya ditarik balik secara rasmi.
Pemimpin utama PAS tidak boleh menerima sebuah kerajaan dengan PAS atau ‘Melayu Islam’ sebagai minoriti, di Parlimen dan di beberapa negeri, yang mungkin terbentuk melalui kemenangan Pakatan Rakyat.
Akan tetapi, ramai dari pimpinan PAS Pusat tidak melihatnya sebagai satu masalah yang mewajibkan PAS mempertimbang kembali keterlibatannya dalam Pakatan. Pada masa sama, ahli biasa semakin teruja dengan terbentuknya Pakatan. Ini terbukti melalui keputusan pemilihan muktamar PAS pada tahun 2011.
Pada muktamar 2011 saya sendiri telah dipilih sebagai AJK PAS Pusat setelah gagal beberapa kali sebelum itu. Kemenangan saya diyakini atas sebab sikap pro-Pakatan saya yang turut disokong perwakilan pada ketika itu.
Penyingkiran pemimpin pro-Pakatan
Pada ketika inilah, pada hemat saya, ada yang berpendapat, saf pimpinan AJK PAS Pusat perlu ditukar dengan yang tidak terlalu pro-Pakatan demi menangani masalah ini.
Pada masa sama, perlu juga ditimbulkan keresahan ahli terhadap keterlibatan PAS dalam Pakatan. Kalau tidak, maka hubungan PAS dan Pakatan akan benar-benar dikukuhkan dan dengan itu dilema pimpinan utama PAS akan berterusan.
Masalah ini ditangani melalui strategi serampang dua mata seperti berikut:
1. Pimpinan yang terlalu pro-Pakatan perlu dijatuhkan pada pemilihan Muktamar dengan apa cara sekalipun, termasuk pendekatan melabel dan fitnah
2. Hubungan antara PAS dan Pakatan perlu digodak sehingga ahli terpaksa pilih antara PAS atau Pakatan
Kempen fitnah bermula
Maka sejak selepas muktamar 2011, usaha dimulakan untuk menyebarkan kebencian terhadap pemimpin tertentu. Istilah “parasit”, “Anwarinas” dan “Erdogan” mula dipopularkan dan pemimpin yang disasarkan ini turut dikritik kerana “tidak menyokong idea kerajaan perpaduan yang dikemukakan presiden”. Mereka dituduh menolak konsep kerajaan perpaduan kerana “mementingkan kepimpinan dan politik DSAI lebih dari politik DS Presiden”.
Dalam muktamar PAS 2013, usaha untuk menjatuhkan pimpinan yang terlalu pro-Pakatan telah diusahakan tetapi menemui kegagalan. Kewujudan usaha ini telah didedahkan oleh Dr Hassan Ali melalui video masyhurnya yang dirakam di satu majlis di Melaka pada 2013.
Kegagalan ini menyebabkan berlakunya usaha yang lebih gigih ke arah pembersihan saf pimpinan dari anasir yang kononnya didakwa lebih setia kepada Pakatan berbanding PAS.
i) Pembersihan dalam Muktamar 2015
Dengan itu strategi yang lebih kemas telah disusun bagi menghadapi Muktamar 2015.
Langkah pertama dilakukan sebaik sahaja selesai muktamar 2013. Pesuruhjaya PAS negeri yang terlalu komited dengan Pakatan ditukar. Antaranya, Dr Rani Osman, yang memimpin PAS Selangor sehingga berjaya mencapai prestasi terbaik sepanjang sejarahnya dengan memenangi 15 kerusi DUN. Sambil itu muka baru turut dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Perak walaupun terdapat mereka yang lebih lama dan lebih layak.
Langkah kedua adalah perlaksanaan program dalaman parti yang menjalankan kempen memburuk-burukkan pemimpin pro-Pakatan. Program dalaman seperti Liqa’ Fikri, Liqa’ Siyaasi, Nekad dan sebagainya dianjurkan sepanjang hampir dua tahun dengan tujuan menanamkan kebencian ahli terhadap kelompok pemimpin ini.
Langkah ketiga, mempopularkan individu tertentu melalui program dalaman ini manakala pemimpin yang ingin ditolak terus diasak dan diserang dengan didakwa membawa fikrah menyimpang dari dasar Islam. Tuduhan bahawa kononnya ada usaha untuk menjatuhkan Presiden mula diuar-uarkan melalui program dalaman seperti ini.
Langkah keempat adalah untuk menguasai cawangan dan kawasan tertentu sebelum muktamar 2015 supaya usaha menukar saf pimpinan dapat dijayakan. Ini menjadi lebih mudah dengan kehadiran asatizah muda yang telah diasuh sejak 2009 dengan sikap tertentu. Mereka telah muncul sebagai pimpinan cawangan dan kawasan.
Langkah kelima dan terakhir, menghalang mereka yang ingin dijatuhkan dari bertemu dengan ahli melalui program parti. Program yang ingin diadakan oleh pimpinan ini pula dituduh “berniat berkempen” dan ditolak oleh pimpinan beberapa negeri. Namun pada masa sama, tetapi program untuk menjatuhkan pemimpin pro-Pakatan ini terus dianjurkan.
Lima langkah seperti di atas telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ianya tidak mungkin suatu kebetulan.
ii) Aduan kepada presiden
Apabila persoalan mengenai kempen jahat ini diadu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa mesyuarat AJK PAS Pusat, ia sekadar dijawab dengan penjelasan bahawa fitnah dan dakyah adalah “perkara biasa”.
Kemudian, disyorkan pula agar semua yang difitnah dan diberi gelaran menghina menerimanya sebagai “sumber pahala”. Pokoknya, bibit perpecahan disemai dan dibiarkan begitu sahaja.
Terdapat juga pimpinan yang “memfatwakan” bahawa label-melabel adalah “sunnah”. Mereka mengemukakan berbagai hujah untuk mempertahankan amalan terkutuk ini.
Yang paling mengelirukan adalah dakwaan bahawa Abdullah Azam telah berpesan supaya sekiranya ada sepuluh butir peluru, maka sembilan daripada adalah untuk pengkhianat dan hanya satu untuk musuh luar.
Walhal, Abdullah Azam menceritakan mengenai perjuangan untuk mencapai kemerdekaan menentang penjajah dan “pengkhianat” yang dimaksudkan adalah orang tempatan yang bersekongkol dengan penjajah, bukan ahli jemaah sendiri.
Tanpa berusaha untuk menghentikannya, media sosial dimanfaatkan untuk memperhebatkan lagi usaha dakyah dan fitnah terhadap pimpinan yang ingin dijatuhkan. Gelaran yang lebih serius diperkenalkan termasuk “liberal, sekular, plural, antihudud, antiulama” dan sebagainya.
iii) Usaha kemuncak
Pada muktamar 2014, istilah “barua” dan “broker” diperkenalkan oleh Datuk Seri Presiden sendiri. Melaluinya, pendirian Datuk Seri presiden yang jelas berpihak semakin terserlah. Datuk Seri presiden menggelar saf pimpinan yang sedia ada pada ketika itu sebagai “pilihan muktamar, bukan pilihan dirinya”.
Menjelang Muktamar 2015, Datuk Seri presiden mengeluarkan kenyataan sama ada “pilih pimpinan pilihan PAS atau pilihan DAP”. Juga disebut, “muktamar sebagai medan membersihkan PAS dari pemimpin sekular”.
Dengan usaha gigih yang dilakukan serta keterlibatan pimpinan utama sendiri, maka tidak hairan bahawa akhirnya matlamat pertama tercapai dengan cemerlangnya. Pimpinan yang ingin dijatuhkan dapat dijatuhkan secara setandan.
Bahagian kedua esok saya akan cuba menjelaskan strategi kedua, iaitu menimbulkan keresahan ahli terhadap PR. Ianya telah dilaksanakan dan jelas kelihatan semakin berjaya.
KHALID SAMAD MP Shah Alam dan bekas anggota jawatankuasa pusat PAS.
Video: Wanita berguling di jalan raya sambil menjerit-jerit kerana putus cinta
Gara-gara berputus cinta selepas temannya menamatkan perhubungan mereka melalui aplikasi Wechat, seorang wanita di Hong Kong yang tidak dapat menerima hakikat itu bertindak mengguling-gulingkan dirinya di jalan raya.
Beliau yang begitu tertekan, meraung dan menanggis di sekitar Jalan Tsim Sha Tsui, selatan Kowloon di Hongkong tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu lalang cuba memujuknya. Akibatnya, pihak keselamatan terpaksa dihubungi untuk meredakan keadaan.
-kinitv-
GHB terima banyak permohonan daripada ahli PAS - Mohamad Sabu
Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, GHB akan melakukan pembaharuan dalam kancah politik pakatan pembangkang dan mengambil alih kedudukan PAS.
Gerakan Harapan Baru (GHB) menerima banyak permohonan daripada ahli dan kepimpinan PAS dan golongan ulama parti itu yang mahu menganggotainya, dakwa Pengerusi GHB Mohamad Sabu.
Bekas timbalan presiden PAS itu berkata, GHB akan melakukan pembaharuan dalam kancah politik pakatan pembangkang dan mengambil alih kedudukan PAS.
Menurutnya, dijangka lebih ramai akan menyertai gerakan tersebut selepas urusan pendaftarannya sebagai sebuah parti politik yang sah dijangka selesai pada 31 Ogos ini.
"Selepas ini mungkin ada perubahan dari segi nama (GHB) atau struktur kepimpinannya. Perubahan itu akan berlaku dari masa ke masa," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Aidilfitri GHB Kedah di Guar Chempedak di Yan hari ini.
Katanya GHB turut disokong oleh golongan agama iaitu kira-kira 500 daripada mereka akan mengambil bahagian dalam seminar Nadwah yang akan berlangsung di Shah Alam, Selangor esok.
-malaysianinsider-
Inilah Surat Husam Musa Kepada Kepada Exco Kelantan Mengenai Pembalakan Kawasan Hutan Simpan Ulu Sat
Dengan Nama Allah Maha Pemurah Maha Pengasih
YB Dato Haji Hanipa Haji Ahmad,
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd,
merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan,
Kota Darul Naim, Kota Bharu.
POHON PENJELASAN TENTANG KELULUSAN PEMBALAKAN KAWASAN DI HUTAN SIMPAN ULU SAT YANG TERLIBAT DENGAN LALUAN LEBUH RAYA RAKYAT
Saya mengutuskan surat ini untuk mendapatkan penjelasan terhadap tajuk di atas ekoran adanya penulisan oleh Facebookers secara berleluasa sejak lama yang mengaitkan saya sebagai pihak yang mendapat faedah dari tebangan balak di kawasan laluan Lebuhraya Rakyat dan kawasan R n R (Rehat dan Rawat) di Hutan Simpan Ulu sat.
Penjelasan YB Dato boleh membantu menjelaskan kedudukan yang sebenar.
A. Siapa Mendapat Faedah Dari Tebangan Hutan Berkaitan?
Adakah saya, terlibat dalam sebarang bentuk faedah dan kepentingan berkait dengan tebangan balak bagi ketiga-tiga Blok yang diluluskan kepada Baldah?
B. Bila Kelulusan Pembalakan Diperolehi?
Selanjutnya, saya pohon penjelasan bilakah Baldah mendapat kelulusan secara rasmi untuk mengusahakan hasil hutan dalam blok-blok yang terlibat? Ini penting untuk menunjukkan siapa bertanggungjawab memberikan kelulusan itu.
C. Bagaimana Syarikat Lucky Wong Terlibat Dengan Baldah?
Saya difahamkan lesen pembalakan dikeluarkan atas nama Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd (lesen no DT 01 (P) - 16 - 15) dan Baldah juga telah didaftarkan sebagai kontraktor bagi kawasan yang diluluskan.
Setahu saya, Baldah secara tidak rasmi bagaimana pun telah melantik Syarikat Lucky Wong (Wong Bertuah) Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi kerja penebangan.
Saya pohon penjelasan YB Dato, jika Lucky Wong memang dilantik sebagai kontraktor, bagaimana cara pemilihan Syarikat Lucky Wong dilakukan? Secara runding terus atau tender?
Jika tidak, apa hubungan Baldah dengan Lucky Wong?
Siapakah pemilik Syarikat Lucky Wong?
Apakah terma perlantikannya? Bagaimana pula bentuk pembayaran atau keuntungan antara Baldah dan Lucky Wong?
Berapakah jumlah tan kayu yang ditebang setakat ini? Berapakah nilai jualannya? Berapakah dari jumlah itu menjadi hasil bersih Baldah setakat ini?
D. Adakah Kawasan Cadangan R n R Akan Ditebang Habis?
Dari tiga blok Hutan Simpan Kekal Ulu Sat yang diluluskan kepada Baldah, satu darinya untuk laluan lebuh raya dan dua lagi iaitu blok A (65 hektar) dan blok B (10 hektar) adalah untuk R n R (Rehat dan Rawat).
Seingat saya, dalam pelan asal, kawasan R n R (Rehat dan Rawat), tidak ada tebangan habis akan dilakukan. Ini atas hasrat Almarhum YAB Tuan Guru Menteri Besar pada waktu itu supaya kawasan hutan dikekalkan untuk menjadikan ia R n R mesra alam yang pertama di Malaysia serta R n R yang terindah dengan pokok-pokok asli dan air terjun berdekatan.
Namun begitu, dari perkembangan terakhir yang saya dapati, Baldah telah memperolehi kelulusan untuk tebang habis. Bahkan, dikatakan tebangan telah dilakukan di luar kawasan yang diluluskan dan ubah sempadan dari pelan kelulusan asal telah berlaku.
Ini mungkin merosakkan pelan asal untuk menempatkan R n R berkenaan dalam teduhan pokok-pokok besar yang asal untuk tujuan rekreasi pengunjung.
Saya pohon penjelasan adakah ini benar berlaku?
Adakah tebangan habis akan dilakukan dan mengapa ia dilakukan? Mengapa cadangan asal atas hasrat Tok Guru diubah?
Jika Baldah tidak berhasrat untuk menebang habis, kenapa dinyatakan dalam kelulusan lesen adalah tebang habis?
E. Kenapa Pembalakan Disita dan Ditahan?
Adakah benar tebangan di luar kawasan berlaku?
Adakah benar sempadan asal diubah?
Saya difahamkan Baldah telah menafikan ia dilakukan oleh kontraktor Baldah.
Namun, dari tinjauan saya dengan Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK), tiada usaha hasil hutan yang lain berdekatan. Serta tiada kelulusan lain berdekatan dikeluarkan dan tiada pihak lain melakukan apa-apa kegiatan pembalakan berdekatan.
Dengan itu, mustahil pihak lain yang tidak berkaitan melakukan tebangan luar kawasan tanpa jentera dibawa masuk dan ubah sempadan boleh dilakukan.
Saya difahamkan, Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK) telah menghentikan kerja pembalakan dan menyita kayu-kayu yang telah ditebang oleh kontraktor Baldah dengan lebih 1,000 tan kayu telah ditahan. Sehingga hari ini, saya difahamkan, penahanan masih diteruskan.
Kejadian ini sangat mendukacitakan saya selaku salah seorang ADUN yang mendokong Dasar Membangun Bersama Islam. Sudah tentu kejadian ini mencemarkan penghayatan dasar ini.
Saya juga yakin, rakyat negeri ini merasa dukacita dengan kejadian ini.
Saya difahamkan, bagi Blok B seluas 10 hektar, semua kayu telah ditebang dan bagi Blok A pula, baru 20% kawasan ditebang sebelum penyitaan berlaku.
Ini bermakna, 23 hektar dari kedua-dua blok telah ditebang.
Dengan jumlah kayu yang disita melebihi 1,000 tan, bermakna secara purata dianggarkan sebanyak 43 tan se hektar balak bagi kawasan ini. Ia mungkin termasuk kayu yang ditebang di luar kawasan yang diluluskan dan dengan itu anggaran purata per hektar mungkin sedikit berkurangan
Ia satu jumlah yang agak banyak yang menunjukkan kawasan ini adalah kaya dan dengan itu, sewajarnya ia tidak diambil kesempatan lain selain tujuannya yang asal.
Jika benar selepas siasatan dilakukan tebangan luar kawasan berkait dengan Baldah iaitu agensi Kerajaan Negeri sendiri, ia satu perbuatan yang memalukan.
Lebih meragukan lagi, jika benar pihak lain melakukan perbuatan itu, adakah Baldah telah melaporkannya dengan segera kepada Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK)?
Jika laporan dibuat, bila tarikh laporan itu dibuat?
Jika tidak, kenapa tiada laporan dibuat?
Dalam hal ini, saya pohon penjelasan samada YB Dato sendiri telah mengambil tindakan menyiasat siapa sebenarnya terlibat melakukan perbuatan itu?
Ini adalah penting untuk membersihkan nama baik Baldah jika Baldah memang tidak terlibat sama sekali.
Jika tidak, ia memberikan persepsi - dengan keluasan sesempit itu pun keselamatan kawasan hutan tidak dapat dijaga oleh agensi kerajaan sendiri. Harapkan pagar, pagar sendiri memakan padi, kata pepatah.
F. Di atas adalah antara perkara-perkara yang saya pohonkan penjelasan dari YB Dato.
Sebahagian pertanyaan itu adalah atas kepentingan dan kebaikan Negeri Kelantan jua.
Saya sangat berharap mendapat maklum balas yang adil dan segera dari YB Dato, khususnya untuk membersihkan nama baik saya yang cuba dicemari dengan niat jahat sejak sekian lama.
Semoga Allah memelihara kita semua, khususnya dalam menunaikan amanah mengikut cara yang sebaiknya untuk mendapat keredhaanNya pada hari Kebangkitan Agung yang menjadi tujuan semua pejuang Islam. Itulah antara janji kita kepada perjuangan ini dan janji kita kepada rakyat Kelantan.
Sekian, terima kasih.
Yb Dato Husam Musa
Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan
28 Syawal 1436/13 Ogos 2015
s.k:
1. YAB Ustaz Dato Menteri Besar Kelantan Darul Naim
2. YA Berusaha Tuan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan
3. Media
Pakatan Mahathir-Razaleigh berganding asak Najib?
Dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Musuh masa lalu boleh menjadi kawan pada masa ini, serta sebaliknya.
Begitu yang dilihat berlaku dalam perkembangan politik terkini apabila Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan telah mengadakan pertemuan awal minggu ini.
Tindakan itu meningkatkan spekulasi berkaitan langkah mereka bersama terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang sedang berdepan krisis kepercayaan awam ekoran dakwaan skandal 1MDB.
Sumber yang rapat dengan Mahathir, perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia, mengesahkan bahawa pertemuan itu berlangsung pada Selasa tetapi tiada butiran lain diketahui setakat ini.
Pertemuan itu turut dilaporkan oleh Asia Sentinel yang mendakwa ia berkaitan pembentukan kerajaan perpaduan untuk mengetepikan Najib.
“Terdapat kemelut kepimpinan di Malaysia dan muafakat dicapai hanya seorang sahaja calon untuk tamatkannya.
“Orang itu ialah Ku Li (Razaleigh), satu-satunya jalan,” seorang rakan Razaleigh yang tidak dinamakan dipetik sebagai berkata.
Halangan terbesar, menurut analisis Asia Sentinel, dalam isu undi tidak percaya di parlimen.
Menurut portal berita itu, kedua-dua mereka percaya terhadap sokongan bulat pembangkang, yang menguasai 89 daripada 222 kerusi, walaupun undi PAS masih boleh dipersoal.
BN memiliki 132 kerusi dengan 88 daripadanya milik Umno.
Selain itu, kata Asia Sentinel lagi, satu lagi halangan yang mungkin wujud daripada speaker dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Mahathir, 90, dan Razaleigh, 78, pernah menjadi musuh dalam perebutan kerusi presiden Umno pada 1987.
Pertembungan itu menyebabkan lahirnya parti serpihan Semangat 46. Parti Melayu itu bagaimanapun kemudian dibubarkan dan Razaleigh kembali menyertai Umno.
-malaysiakini-