Bahana kencing berdiri

kencing berdiri
Islam mementingkan kesihatan umatnya dan kencing berdiri mendatangkan banyak mudarat.PERLU difahami kita bukan bahas mengenai hukum kencing secara berdiri, kerana Imam An-Nawawi juga ada menyebut dalam penjelasannya terhadap Imam Muslim, walaupun ada hadis-hadis yang menyebutkan larangan buang air kecil sambil berdiri adalah lemah, kecuali hadis 'Aisyah RA yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan ahli sunan, bahawa beliau berkata: "Siapa yang menyampaikan kepada kalian bahawa Rasulullah SAW, namun Imam Nawawi berpendapat bahawa ia tidak membawa larangan secara umum.

Keringanan yang diberikan Islam

Ustaz Asrulnizam Abas yang juga Perunding Latihan di Inner Inspiration Training & Consultancy berkata, apa yang penting ialah sejauh mana anda menitik beratkan soal penjagaan ketika membuang air kencing tadi.

Ini kerana jika anda kencing secara berdiri, kadar percikan air kencing tersebut lebih banyak berbanding jika anda kencing secara duduk.

"Jika tidak berhati-hati pula, sisa air kencing melekat pada pakaian. Bukankah Islam sentiasa memudahkan umatnya dalam setiap urusan, tetapi anda perlu melakukan perkara yang dapat mengurangkan kekotoran najis tersebut.

"Tak dinafikan ada dalam kalangan kita yang mungkin menghadapi keuzuran tubuh badan, tidak mampu mencangkung atau mungkin yang patah kaki, sukar untuk kencing dalam keadaan duduk pada setiap masa.

Oleh kerana itulah anda perlu jelas perihal adab-adab ketika kencing dan tahu mengenai cara bagaimana untuk mengelakkan diri anda daripada menanggung najis air kencing tadi.

Sekiranya anda berhati-hati setiap kali masuk ke tandas untuk kencing, maka di sinilah keringanan diberikan terhadap percikan-percikan air kencing yang berkadar kecil dan tidak dapat dilihat tompokannya pada mata kasar," katanya.

Kencing secara berdiri jika dilihat dari perspektif kesihatan pula, menurut Pensyarah Kanan Perubatan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Ruhi Fadzlyana Jailani, ia memberi risiko kepada masalah kencing tidak lawas yang akan membawa kepada gejala bengkak prostat.

Menurutnya, berdasarkan saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan, lebih 50 peratus daripada lelaki yang disaring mempunyai gejala pembengkakan prostat.

Antara tanda-tanyanya ialah pancutan air kencing tidak laju, kencing yang tersekat-sekat, air kencing yang menitis di penghujung waktu kencing dan berasa tidak puas kencing dan kerap untuk ke tandas.

Wanita kencing berdiri

ALLAH jadikan lelaki dan wanita mempunyai keistimewaan tersendiri. Keunikan tubuh badan dan fizikal kaum Adam dan Hawa adalah mengikut fungsi dan peranan mereka kepada ALLAH. ALLAH jadikan wanita mempunyai rahim untuk hamil dan menanggung bayi untuk sembilan bulan lamanya, tetapi tidak pula pada lelaki.

Kemudian ALLAH memberikan perbezaan kerangka dengan kekuatan yang berbeza untuk lelaki memandangkan peranan mereka dalam memimpin. Itu belum lagi diteliti dari aspek dalaman, kekuatan emosi wanita berbanding lelaki, dan juga kebolehan berfikir wanita dan lelaki. Itu semua menunjukkan tidak semua perlakuan lelaki boleh ditiru oleh wanita.

Ustaz Asrulnizam menambah, lebih-lebih lagi dalam konteks bersuci dan membuang air kecil, apabila dinisbahkan wanita kencing berdiri seperti lelaki ia nampak sangat tidak sopan dan berlawanan dengan kelembutan dan sifat penuh adab seorang wanita.

"Kempen yang melibatkan wanita supaya kencing berdiri ini bukanlah perkara baru di dunia Barat. Mereka telah memulakan kempen ini sejak tahun 1999 lagi dengan alasan cara buang air kecil yang diamalkan sebelum ini (cara duduk) adalah melambatkan. Ini kerana mereka beranggapan tiada salahnya jika seorang wanita juga mengamalkan cara buang air sebagaimana lelaki. Jika lelaki boleh, maka pastinya wanita juga boleh.

"Pelbagai jenama seperti Go Girl, Shewee, PiEz (Pee EZ) dan lain-lain wujud di pasaran semata-mata untuk menggalakkan wanita sedunia mengamalkan kaedah kencing berdiri.

Sehingga hari ini aktiviti kencing berdiri dalam kalangan wanita bukan lagi sesuatu yang pelik di kebanyakan negara maju. Bagi mereka segalanya mesti pantas dan mudah. Tidak perlu difikirkan sangat kesan buruk yang bakal diterima kelak," katanya.

Menurutnya, inilah yang perlu difahami oleh umat Islam khususnya wanita, jika cara buang air kecil ini menjadi satu trend pada wanita Muslim dalam satu jangka masa nanti ia menyumbang kepada terhakisnya kesopanan dan harga diri.

Kita melihat hari ini sebahagian wanita berasakan tiada masalah mereka merokok, hisap vape atau shisha kerana dilihat sebagai budaya yang 'cool'.

Padahal inilah proses yang menghakis rasa malu wanita Muslim sehingga mereka rasa selesa terikut-ikut dengan budaya Barat yang tidak sopan.

Bayangkan, jika aktiviti kencing berdiri mula menular ke dalam budaya Islam yang sememangnya menjaga maruah seorang wanita, apa lagi adab sopan yang anda boleh lihat?
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan