Isteri potong kemaluan suami sedang tidur

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang wanita tempatan nekad memotong kemaluan suami, seorang warga Pakistan kerana tidak tahan kerap diperlakukan dengan kasar ketika hubungan seks, awal pagi tadi.

Kejadian itu berlaku jam 1.30 pagi, di Batu Kikir, Jempol, ketika mangsa sedang tidur.

Wanita berusia 51 tahun berkahwin dengan suaminya yang berusia 44 tahun pada Mei tahun lalu.

Wanita itu dengan perlahan-lahan menanggalkan seluar suaminya, lalu memotong kemaluan menggunakan sebilah mata pisau cukur menyebabkan lelaki itu meraung kesakitan, lapor Berita Harian.

Suaminya yang bekerja sebagai peniaga melarikan diri dari rumah dan pergi ke Balai Polis Batu Kikir, kira-kira jam 1.55 pagi.

Anggota polis yang terkejut dengan kedatangan mangsa dalam keadaan berlumuran darah segera menghantarnya ke Hospital Jempol untuk mendapatkan rawatan. Bahagian kemaluan yang dipotong di tempat kejadian juga diambil dan dibawa ke hospital.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (KHL) untuk menyambungkan semula kemaluannya dan setakat ini, keadaannya dilaporkan stabil.

Beliau berkata, polis juga menahan isteri mangsa dan menemui pisau cukur yang digunakan dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata bahaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan