“Jawapan MB Pahang kelakar macam badut”

KUALA LUMPUR: Jawapan yang diberikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob kelakar macam badut, kata Ketua Pembangkang Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Beliau mengulas jawapan Adnan dalam wawancara bersama akhbar New Straits Times (NST) pada 18 Januari lalu bahawa Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) tidak mampu membuat penguatkuasaan dengan berkesan kerana hanya memiliki 18 pegawai pemantau.

Adnan dilaporkan berkata, disebabkan kekurangan anggota penguatkuasa, kerajaan negeri gagal membanteras pelombong bauksit haram di negeri itu.

Selain daripada PTG, Tengku Zulpuri berkata, kerajaan negeri sebenarnya boleh mengerahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri dalam menangani isu perlombongan haram yang serius itu.

“Pahang memiliki 11 PBT secara keseluruhan. Katakan setiap PBT ada 11 pegawai penguatkuasa, maka jumlahnya 110 pegawai. Ditambah lagi dengan polis dan RELA.

“Takkan masih tidak dapat membuat operasi besar-besaran untuk menangkap pelombong haram yang banyak cetuskan masalah ini?, katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, penguatkuasa juga boleh menggunakan alat seumpama ‘drone’ bagi mengesan kawasan yang terlibat, seperti yang digunakan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sebelum ini.

“Itu semua hanya alasan yang diberikan kerana tidak serius untuk bertindak,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab itu lagi.

Dalam wawancara itu lagi, Adnan juga berkata pihak kerajaan tidak dapat menangkap pelombong haram kerana mereka “telah melarikan diri”.

Ekoran kecaman orang ramai, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memutuskan untuk menghentikan sementara semua aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Kuantan selama tiga bulan bermula 15 Januari lalu.
-fmt-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan