Kumpulan penentang yang mendesak pengunduran Datuk Seri Mukhriz Mahathir Mohamad setakat ini masih belum menghadap Istana Kedah bagi mendapatkan perkenan menukar menteri besar.
Menteri besar Kedah itu yang berdepan asakan daripada kumpulan diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, spekulasi mengatakan pihak Istana sudah memberi perkenan adalah tidak benar sama sekali.
"Yang masuk dalam telefon kata macam, kata sudah dapat perkenan.
"Selepas itu tiba-tiba tidak dapat lagi, belum jumpa menghadap. Tidak menghadap macam mana boleh dapat perkenan?
"Selepas itu kata hari ini angkat sumpah, selepas itu tidak jadi, kemudian esok pula.
"Mana mereka dapat idea ini? Mereka kata mengenai susun kerusi, tapi sebenarnya susun kerusi itu untuk bagi pingat," kata Mukhriz di hadapan kira-kira 200 penyokong kawasannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam.
Mukhriz berkata, pihak media tidak sewajarnya membuat spekulasi mengenai kemelut yang sedang berlaku di Kedah pada ketika ini.
"Jangan buat spekulasi bukan-bukan, media jangan lapor bukan-bukan. Taktik itu sudah difahami," katanya.
Mukhriz mengulas mengenai khabar angin mengatakan menteri besar baharu bakal diumumkan hari ini.
Spekulasi mengatakan Bashah antara calon yang disebut-sebut sebagai menteri besar Kedah yang baharu.
Mengenai nasibnya sebagai menteri besar, Mukhriz berkata sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan namun menyerahkan kepada takdir dan Allah dalam menentukan nasibnya.
"Saya dah bersedia lama. Sedia dengan sebarang kemungkinan tapi saya serah bulat-bulat kepada Allah sahaja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan