Pahang adalah negeri paling gagal di Malaysia?

Faridz Ridzwan
pahang-bauksit
Rakyat kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menerima tumpuan luar biasa dari seluruh negara dalam tempoh tiga tahun ini.

Malah, tidak salah kalau kita kata bahawa rakyat negeri Mat Kilau itu mencuri tumpuan dunia atas sebab yang dirasakan tidak kena gaya.

Dua kali banjir dan penerokaan tanah haram di Empangan Cameron Highlands, tanah runtuh di Karak, banjir besar, pembalakan haram dan terbaharu adalah penerokaan galian bauksit, di mana semua isu itu menjadikan Pahang ‘negeri panas’.

Itu belum lagi masuk kemelut 1MDB yang penasihatnya adalah salah seorang Orang Besar Berempat Pahang dan pendirian tegas bela Melayu-Bumiputera oleh menteri Kabinet dari negeri itu.

Ramai tertanya mengapa Pahang jadi sedemikian rupa sehingga ada pendapat yang mengatakan Pahang adalah negeri paling gagal di Malaysia.

Kita yakin, pendapat berkenaan keluar kerana peningkatan pendidikan rakyat Malaysia yang menyebabkan kesedaran mengenai tanggungjawab menjaga alam sekitar menjadi lebih baik.

Apabila berlaku isu salah urus alam sekitar di Pahang, ia meletus umpama letusan bom hidrogen buatan Korea Utara dalam kalangan rakyat termasuk di luar Pahang.

Rakyat luar Pahang memandang dan mencari rakyat Sultan Ahmad Shah dan yang sedihnya ia atas alasan yang salah dan sangat tidak kena.

Majoriti rakyat Sultan Ahmad Shah tentu malu dan letih menjawab dengan rakyat negeri lain mengenai isu alam sekitar yang tidak habis-habis di negeri itu.

Menteri Besar negeri berkenaan, Datuk Seri Adnan Yaakob pula semacam ‘kerasnya’ menyebabkan rakyat Sultan Ahmad Shah sekali lagi pening kepala.

Kita fikir, rakyat Sultan Ahmad Shah tidak perlu susah hati kerana rakyat negeri lain sebenarnya masih suka dengan Pahang.

Rakyat negeri lain sangat suka masakan ikan patin dan sentiasa tertawan dengan kecantikan, kelembutan dan kehebatan wanita yang berajakan Sultan Ahmad Shah.

Cuma itulah, kepemimpinan negeri hendaklah menjaga alam sekitar Pahang dan janganlah memalukan rakyat yang bersultankan keluarga Bendahara Wan Ahmad Wan Ali.
-fmt-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan