Putar belit saga derma RM2.6 bilion Najib yang patut anda tahu

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kontroversi derma RM2.6 bilion sudah “diselesaikan sepenuhnya”, reaksi dalam Internet pantas memperlekehkan keputusan peguam negara untuk menutup kes tersebut.

Daripada pelawak sehingga artis, blog tempatan sehingga saluran berita antarabangsa, ramai berasa sukar untuk menerima seorang pemimpin sebuah negara demokratik boleh menerima wang berbilion daripada seorang penderma yang tidak dikenal pasti.

Najib menggesa rakyat Malaysia “melupakan” isu itu, tetapi persoalan masih berlegar walaupun peguam negara mendapati tiada bukti mencukupi untuk menyabitkan dakwaan terhadap perdana menteri.

The Malaysian Insider mengimbau kembali apa yang diketahui setakat ini mengenai wang berbilion yang masuk ke dalam akaunnya, sejak 2 Julai tahun lepas apabila The Wall Street Journal (WSJ) membongkar berita yang mendakwa RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Jejak Wang A: AS$681 juta antara 21 dan 25 Mac 2013

WSJ mengatakan maklumat diperoleh daripada penyiasat di Malaysia. Ia menunjukkan aliran wang dengan syarikat British Virgin Islands dikenali sebagai Tanore Finance memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun Najib dalam 2 transaksi, melalui Falcon Private Bank di Singapura.

Menurut WSJ, Falcon Private Bank ialah bank Swiss dimiliki dana harta Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC), yang mana pada Mei tahun lepas menyuntik AS$1 bilion untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menyelesaikan pelbagai pinjaman dari sebuah konsortium bank.

Pada 2012, IPIC juga mengeluarkan jaminan kepada 1MDB, yang merupakan hasil cetusan fikiran Najib, bagi pembayaran faedah dan asas bon yang dikeluarkan syarikat pelaburan negara itu.

Jejak Wang B: RM42 juta antara Disember 2014 dan Februari 2015

Jejak ke-2 menunjukkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International memindahkan RM50 juta kepada anak syarikatnya, Gandingan Mentari. SRC International kini milik penuh Kementerian Kewangan, yang diterajui Najib.

Gandingan Mentari kemudiannya memindahkan RM50 juta ke Ihsan Perdana, yang bertanggungjawab menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk 1MDB.

Daripada Ihsan Perdana, RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun Najib di AmBank melalui 3 deposit berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.

Pandangan peguam negara tentang AS$681 juta

Sementara itu, peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Selasa lalu menjelaskan, wang AS$681 juta itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri antara 22 Mac 2013 dan 10 April 2013, dan ia merupakan sumbangan keluarga diraja Saudi.

Dia tidak mengesahkan sama ada wang itu datang dari Tanore Finance melalui Falcon Private Bank di Singapura.

Peguam negara juga berkata perdana menteri memulangkan kembali AS$620 juta (RM2.03 bilion) kepada keluarga diraja Saudi pada Ogos 2013 kerana wang itu tidak digunakan.

Jejak yang lain dari SRC International?

Tetapi Apandi juga tanpa sengaja mendedahkan satu lagi jejak wang yang juga bermula dari SRC International, melalui 3 syarikat, dan akhirnya memasuki 3 akaun peribadi di AmBank.

Syarikat tersebut ialah Putra Perdana Development Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Putra Perdana Construction Sdn Bhd dan Permai Binaraya Sdn Bhd.

Daripada jumlah asal RM35 juta yang dipindahkan SRC International melalui 3 syarikat tersebut, RM27 juta akhirnya memasuki salah satu daripada akaun peribadi di AmBank, dengan nombor akaun berakhir dengan “880”. Daripada situ, RM20 juta kemudiannya dipindahkan kepada 2 akaun peribadi lain.

Akaun peribadi “880” juga menerima RM10 juta dan RM27 juta pada Disember 2014 dan Februari 2015, masing-masing melalui Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.

Bagaimanapun, Apandi berkata, Najib tidak pernah mengetahui yang SRC International memindahkan duit ke dalam akaun peribadinya dan tidak pernah mengeluarkan arahan supaya transaksi itu dilakukan.

Reaksi Najib

Selepas berita pemindahan wang itu terbongkar Julai tahun lepas, Najib dengan pantas mengisytiharkan dia tidak pernah mengambil mana-mana wang untuk “kepentingan peribadi”, dan menuduh pengkritik paling lantangnya, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersepakat dengan media asing untuk menyerangnya.

Alasan itulah yang diulangnya berkali-kali, walaupun para pengkritiknya menyedari dia tidak pernah menafikan wang itu sebenarnya dimasukkan ke dalam akaunnya.

Spekulasi sama ada benar atau tidak Najib menerima dana itu akhirnya selesai apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan wang itu didermakan penderma di Timur Tengah.

Sejak pengesahan SPRM, Najib tidak lagi banyak bercakap mengenai isu itu, hanya berulang kali mendakwa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan serta wang itu ialah “derma” dan bukannya datang dari 1MDB.

Malah sesi penjelasan di Dewan Rakyat yang ditunggu semua tidak berlaku seperti yang diharapkan, apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bercakap bagi pihaknya.

Alasan derma

Pada 11 Ogos, Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, derma itu datang dari “negara saudara” yang mahu melihat parti tertentu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana hubungan rapat dan mesra antara mereka.

Empat hari kemudian, Ketua Bahagian Umno Kuantan Wan Adnan Wan Mamat mendakwa derma RM2.6 bilion itu datang dari Arab Saudi bagi menghargai usaha Malaysia “memperjuangkan Islam” dan memerangi kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Tetapi pada 22 Ogos, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata derma itu sumbangan “rakan sesama Islam di Timur Tengah” untuk membantu Umno menentang DAP dalam PRU14, kerana parti pembangkang itu dibiayai sebahagiannya Yahudi.

Kemudian, pada hari sama, Zahid berkata dia sudah berjumpa dengan wakil penderma yang memaklumkannya dana itu ialah penghargaan kerana usaha kerajaan memerangi keganasan, dan membantu Barisan Nasional (BN) mengekalkan status Malaysia sebagai negara yang mengikut fahaman ahli sunnah wal jamaah.

Selepas keputusan peguam negara tidak mengambil tindakan ke atas Najib, BBC pada Rabu melaporkan, sumber Saudi yang tidak dinamakan berkata, wang itu didermakan bagi membantu perdana menteri memenangi PRU13 dan memerangi ancaman pengaruh Ikhawanul Muslimin di Malaysia.

Saudi menganggap Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan pengganas, dan gabungan pembangkang Malaysia ketika itu termasuk PAS, “yang pengasasnya mendapat ilham dari Ikhwanul Muslimin”.

Kes tutup, kata peguam negara

Selepas berbulan lamanya siasatan, spekulasi dan kritikan, Apandi mengumumkan pada Selasa lepas, “tiada bukti mencukupi” untuk menyabitkan perdana menteri dan meneruskan pendakwaan kes RM2.6 bilion dan SRC International di mahkamah.

Tetapi persoalan masih belum terjawab, seperti apakah yang berlaku sekiranya sejumlah wang itu tidak dikembalikan Najib kepada penderma Saudi. Serta, walaupun Najib mengatakan dia tidak mengetahui apa-apa mengenai pemindahan wang dari SRC International ke dalam akaunnya, siapa yang akan memindahkan jumlah wang sebegitu besar kepadanya, dan mengapa?

Tindakan panel pemantau SPRM yang meminta badan anti rasuah itu berbincang dengan peguam negara mengenai keputusannya tidak melakukan pendakwaan, dan kenyataan beberapa sumber yang mengatakan ada dakwaan yang disyorkan dikenakan ke atas Najib, menunjukkan mungkin kes RM2.6 bilion itu masih belum ada penamatnya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan