Bapa rogol anak, ugut bunuh guna pedang samurai

JOHOR BAHRU - Seorang tentera bukan sahaja tergamak merogol anak perempuannya berusia 17 tahun malah turut mengugut membunuh mangsa menggunakan pedang samurai sekiranya tidak menuruti kemahuannya.

Mangsa tinggal bersama ibu kandungnya di Selangor dikatakan datang ke Johor untuk mengubati penyakit 'epilepsi' yang dihidapinya dan bermalam di rumah suspek di Taman Desa Tebrau, di sini.

Kedua-dua ibu bapa mangsa sudah berpisah dan tinggal berasingan sejak 2006 dan mempunyai tiga orang anak.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, suspek berjaya ditahan sebaik sahaja menyerah diri di balai polis kira-kira jam 7.30 malam, semalam.

Katanya, polis menerima laporan mangsa dirogol oleh suspek berusia 43 tahun itu dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi pada Selasa lalu ketika mereka sedang tidur di rumah sewa suspek.

"Mangsa tiba di Johor pada 11 Mac lalu dan pada 14 Mac suspek telah membawa mangsa bersiar-siar di sekitar Bandaraya Johor Bahru dan pulang semula ke rumah sewanya kira-kira jam 12.30 malam pada 15 Mac.

"Suspek turut mengamuk ketika sampai di rumah sewanya dan menendang kesemua barang perhiasan kerana mabuk.

"Kemudian pada kira-kira jam 2 pagi, suspek tiba-tiba bertindak memeluk dan mencium mangsa dengan pelik dan mangsa cuba melawan tetapi suspek memegang tangannya dengan kasar sambil menutup mulut mangsa," katanya.

Sulaiman berkata, suspek bertindak mengugut mangsa dan mengambil sebilah pedang samurai yang disimpan di dalam almari baju dan mengugut membunuh mangsa apabila pelajar perempuan itu masih mencuba melepaskan diri.

"Suspek meletakkan pedang di sebelah mangsa sambil berkata 'Jangan melawan. Diam. Kau nak hidup atau kau nak mati. Mangsa yang ketakutan terpaksa mengikut kemahuan suspek," katanya.

Katanya, mangsa telah menghubungi ibunya pada keesokan pagi dan ibunya bergegas datang dari Selangor membawa mangsa membuat laporan polis.

"Suspek akan direman dan disiasat mengikut Seksyen 376A/377C Kanun Keseksaan," katanya.
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan