“Konspirasi busukkan nama saya tak akan dapat tutup skandal mega UMNO-BN.”

Lim Guan Eng
Konspirasi nasional BN untuk membunuh karakter saya berkenaan pembelian rumah saya melalui pembohongan, sikap double-standard malah salahguna kuasa, adalah cubaan secara sengaja untuk menjustifikasi, memadam atau mengalihkan perhatian daripada skandal 1MDB, skandal derma RM2.6 bilion dan yang terbaru penipuan RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan.
Skandal-skandal BN telah mengakibatkan kerugian dana awam dan memberi kesan buruk kepada ekonomi termasuk susutnya nilai ringgit, sementara pembelian rumah saya pula telah memperlihatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti serta amalan tender terbuka, malah saya membuka pintu rumah saya untuk tatapan pihak media. Namun begitu, media kawalan BN terus melakukan liputan ke atas rumah saya, seolah-olah tidak ada berita atau isu lain di dunia ini.

Terbaru, Gerakan mendakwa bahawa pada bulan Julai 2003 memo kerajaan negeri Pulau Pinang menunjukkan bahawa tanah Taman Manggis dicadangkan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) oleh kerajaan BN sebelum ini. Bagaimana Gerakan memiliki dokumen kerajaan tahun 2003 yang tidak disedari kerajaan negeri sehingga kini?

Kenapa tiada satu unit perumahan rakyat dibina sepanjang tempoh lima tahun sehingga 2008, jika BN mencadangkannya pada tahun 2003?

Sekiranya Gerakan mendakwa bahawa memo kerajaan negeri pada tahun 2003 telah mencadangkan projek perumahan tersebut, soalan yang paling penting ialah: “Kenapa skim perumahan rakyat tidak dilaksanakan oleh BN sepanjang lima tahun dari 2003 ke 2008, tanpa satu unit pun dibina? Kenapa tidak buat apa-apa jika ada rancangan pada tahun 2003?” Jelas ini adalah satu lagi cakap kosong oleh BN.

Pada waktu kita memutuskan untuk menjual Taman Manggis melalui tender terbuka bagi mempromosi pelancongan perubatan dan membina hospital, tidak ada pun cakap-cakap untuk melaksanakan perumahan rakyat. Ini disahkan oleh pelan susun atur bagi tahun 2001 yang dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang oleh Jabatan Perumahan Negara di bahawa Kementerian perumahan kerajaan persekutuan, yang jelas menyebut bahawa tanah Taman Manggis adalah untuk ‘pembangunan akan datang’ (future development, sila lihat lampiran) tanpa menyebut tentang perumahan awam.

Sebaliknya, Kerajaan Negeri Pakatan Pulau Pinang bertindak pantas. Memandangkan tanah Taman Manggis seluas 1 ekar adalah terlalu kecil untuk perumahan awam, kerajaan negeri Pakatan telah memperuntukkan tanah seluas 11 ekar (10 kali lebih luas) di Jalan SP Chelliah untuk membina rumah mampu milik dan rumah kos sederhana rendah. Tender terbuka bagi projek tersebut telah dijalankan pada 2013 dan kerja-kerja membina 2,093 unit telah bermula dengan kadar siap 20%. Jika bukan kerana dimangsakan oleh Kementerian Perumahan dengan melengahkan Lesen Pemaju dan Permit Iklan (Advertising Permit and Developer License) sehingga satu tahun untuk projek ini, pastinya projek ini sudah siap lebih daripada 20%.

Adakah Gerakan sekarang hendak mendakwa bahawa BN juga telah merancang untuk menggunakan Jalan SP Chelliah untuk membangunkan perumahan awam bertahun-tahun lalu, tetapi tidak boleh menajawab kenapa kerajaan negeir Pakatan boleh bertindak pantas memulakan pembinaan tetapi kerajaan negeri BN tidak berbuat apa-apa?

Tidak mengetahui nilai rumah saya adalah berkait pembohongan Umno yang nilainya ialah RM6.5 juta

Satu lagi pembohongan BN ialah kenyataan bahawa saya kononnya tidak tahu nilai rumah saya sedangkan saya telah menandatangani perjanjian jual beli dan membayar duti setem. Saya telah menjawab soalan samada rumah saya berharga RM6.5 juta seperti yang didakwa Umno. Saya dengan jujur berkata bahawa saya tidak tahu rumah saya bernilai RM6.5 juta kerana saya Ketua Menteri dan bukan ejen hartanah. Jawapan saya merujuk penipuan RM6.5 juta oleh Umno turut diletak di muka depan akhbar The Star (lihat lampiran) namun tetap diputarbelit.

BN sedang cuba membandingkan saya dengan kes rasuah bekas menteri besar Selangor Dr Khir Toyo, bahawa pembelian rumah saya adalah berkait tuanpunya rumah tersebut mendapat manfaat daripada penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis kepada sebuah syarikat, KLIDC. Tuan rumah tersebut telah menyatakan bahawa beliau menjual rumah itu kepada saya atas kerelaannya sendiri. BN tidak menghiraukan bahawa penjualan tanah kepada KLIDC dilakukan secara tender terbuka, dan tuan rumah saya bukanlah pengarah atau pemegang saham KLIDC. KLIDC juga bukanlah anak syarikat kepada mana-mana syarikat tuan rumah saya.

Atas sebab ini, kerajaan negeri dan saya sendiri tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kami akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan oleh SPRM, yang telah melawat pejabat saya semalam.

Namun walaupun kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang melaksanakan ketelusan dan akauntabiliti di tahap yang paling tinggi, BN akan boleh mengubah hitam menjadi putih dan putih menjadi hitam. Adakah pemimpin BN akan melakukan seperti yang telah saya lakukan, dengan menjemput media ke rumah, melakukan pengisytiharan harta dan menampilkan siapakah penderma RM2.6 bilion?
Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan