Kajian: Tidur siang lebih 40 minit boleh pendekkan umur anda

LONDON: Jika anda berniat tidur sebentar lagi atau sedang mengantuk ketika membaca berita ini, demi kesihatan diri, pastikan anda menghabiskan bacaan.Amalan tidur siang, khususnya di tengah hari, lebih 40 minit boleh membawa risiko pendek umur, demikian menurut satu kajian terbaru.

Kajian di kalangan lebih 300,000 orang mendapati tidur siang yang lama dikaitkan dengan masalah metabolisme seperti kegemukan, tekanan darah tinggi dan kolestrol.

Hasil kajian ini diperolehi daripada analisis 21 penyelidikan yang melibatkan semuanya 307,237 orang dan dibentangkan dalam persidangan tahunan ke-65 American College of Cardiology.

Menurut portal Daily Mirror minggu lalu, kajian itu merumuskan tidur sebentar di waktu siang, seperti amalan di banyak negara, memang baik.

Namun risiko kesihatan makin ketara, sehingga boleh mati lebih awal, bermula apabila seseorang tidur lebih daripada 40 minit di waktu siang.

Penyelidik yang menemubual peserta-peserta kajian menemui hubung kait antara tempoh tidur siang dengan sejarah masalah kegemukan, kencing manis dan sindrom metabolisme.

Jika tempoh tidur lebih pendek daripada 40 minit, tidak ditemui kaitan antara masalah-masalah kesihatan ini dengan tidur siang.

Sewaktu tidur lama di waktu siang, badan menjangkakan kita ingin tidur nyenyak dan metabolisme terganggu apabila terjaga.

Namun jika tempohnya pendek saja, badan tidak berada dalam keadaan nyenyak, atau deep sleep, dan oleh itu tidak mengalami sentakan.

“Tidur memang penting untuk gaya hidup yang sihat, sama seperti pemakanan dan senaman,” kata Dr Tomohide Tamada, pakar kajian diabetes di Universiti Tokyo, yang mengetuai kajian itu.

“Tidur sebentar boleh membawa manfaat pada kesihatan kita, tetapi kita masih belum mengetahui kesan atau mekanisme badan yang menghasilkan manfaat itu.”

Yayasan Tidur Kebangsaan mencadangkan tidur siang yang sebaik-baiknya antara 20 hingga 30 minit kerana ia menyegarkan semula badan, lapor portal itu lagi.

-themalaymailonline.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan