Pemuda Hindu tunggu 24 tahun untuk lafaz syahadah

ALOR GAJAH : Seorang pelajar jurusan Kejuruteraan Elektronik Komunikasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan penceramah ulung antarabangsa, Dr Zakir Naik serta lebih 20,000 orang, sebentar tadi.

Senkiran Dharma, 24, melafazkan kalimah suci itu selepas menerima penerangan jelas mengenai persoalannya mengenai Islam daripada Zakir. Beliau yang sebelum ini menganut agama Hindu berkata, tindakannya itu dilakukan secara rela hati tanpa paksaan mana-mana pihak.

"Saya sudah mempelajari Islam sejak lebih tiga tahun lalu, namun selepas menunggu selama 24 tahun, saya akhirnya menerima hidayah untuk memeluk Islam," katanya ketika ditemui sebentar tadi.
Pelajar lafaz syahadah lepas dengar penjelasan Dr Zakir
Sejurus mengucap dua kalimah syahadah, Senkiran menerima senaskah al-Quran daripada Zakir sambil diiringi laungan takbir. Turut menyaksikan 'kejutan' itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Sementara itu, Zakir dalam syarahan bertajuk Islam - Penyelesaian Masalah Untuk Manusia sebelum itu berkata Islam sering disalah erti oleh masyarakat dunia berikutan penyampaian berita daripada media antarabangsa yang boleh mengelirukan.

"Masyarakat tidak seharusnya mempercayai dan menuding jari tanpa mengetahui kesahihan sesuatu berita terbabit terutama media antarabangsa yang sering menyalah erti konsep islam yang sebenar seperti perkataan 'jihad'.

"Pada masa ini, maksud jihad yang sebenar bukan sahaja disalah anggap oleh masyarakat bukan Islam malah umat Islam itu sendiri," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan