10 barang paling mahal di dunia yang anda tidak pernah sangka
LONDON: Ada bahan yang lebih mahal daripada emas dan berlian walau galian berharga ini sudah terlalu bernilai bagi diri kita.
Portal The Telegraph di sini kelmarin menyenaraikan 19 bahan berharga dalam nilai setiap gram wang yang diperlukan untuk mendapatkannya.
Pasti sebahagian bahan ini anda tidak pernah menduga dan belum mengetahuinya. Berikut kami senaraikan 10 bahan tersebut berdasarkan nilainya bagi setiap gram:
1 Bunga safron: £10 (RM59)
Rempah paling mahal di dunia, bunga safron atau za’faron, dijual di pasaran antara £5 (RM29.58) dan £10 (RM59.15) satu gram.
Secubit makanan ini sangat bernilai kerana bunganya mengeluarkan beberapa stigma yang hanya boleh dipetik menggunakan tangan dan kemudian dikeringkan. Selain menyedapkan makanan dan dikatakan berkhasiat, kira-kira 150 bunga diperlukan bagi menghasilkan satu gram safron.
2 Telur ikan beluga dari Iran: £20 (RM118.31)
Telur dari ikan jenis sturgeon yang sukar diperolehi ini diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai makanan paling mahal di dunia.
3 Tanduk badak sumbu: £69 (RM408.16)
Tanduk badak sumbu boleh mencecah harga lebih RM400. Kecurian tanduk meningkat semula sejak 2008 selepas muncul khabar serbuknya merawat barah seorang ahli politik di Vietnam.
4 Daun emas: £200 (RM1,183)
Daun emas, yang digunakan untuk perhiasan dan pengalir elektrik, dikatakan antara logam berharga yang boleh dimakan.
Empingan emas 24 karat berharga sekitar £68 (RM402) walau satu gram serbuk emas yang lebih tulen boleh berharga semahal £200 (RM1,183) setiap gram.
5 Bisa labah-labah: £935 (RM5,530)
Bisa haiwan ada nilai perubatan, digunakan untuk merawat kesakitan dan barah, selain sebagai penawar racun gigitan binatang berbisa.
Harga satu gram bisa ular boleh sampai £263 (RM1,555.73), manakala bisa kala jengking £415 (RM2,454.86). Bisa labah-labah paling mahal berharga £935 (RM5,530) satu gram.
6 Poskad tua: £5,293 (RM31,309.79)
Poskad paling mahal di dunia dihantar oleh penulis bernama Theodore Hook darii Fulham kepada dirinya sendiri pada 1840. Ia dijual dengan harga £31,758.75 (RM187,863.15) pada 2002.
Berdasarkan berat, pengumpul barangan dari Latvia, Eugene Gomberg, membayar lebih £5,000 (RM29,576.60) untuk poskad tertua di dunia.
7 Dadah soliris: £10,500 (RM62,110.85)
Dipercayai dadah termahal di dunia, soliris boleh merawat penyakit ganjil pengancam nyawa, atypical Haemolytic Uraemic Syndrome (aHUS), yang menjejaskan buah pinggang dan organ penting.
Setiap 300mg bebuli soliris berharga £3,150 (RM18,633.26) atau bersamaan £10,500 (RM62,110.85) bagi setiap gram.
8 Berlian ‘bintang merah jambu’: £45,000 (RM266,189.37)
‘Bintang merah jambu’ dari Afrika Selatan muncul sebagai berlian paling mahal di dunia apabila dijual £51.7 juta (RM305.82 juta) pada 2013.
Bernilai 59 karat, berlian berbentuk bujur itu berukuran 2.69cm kali 2.06cm dengan berat hampir 12 gram.
9 Californium: £18.7 juta (RM110.62 juta)
Californium, sejenis unsur logam berlabel Cf, boleh digunakan untuk menghidupkan reaktor nuklear dan merawat barah. Ia juga didapati dalam alat pengesan logam.
Bahan radioaktif ini pertama kali dihasilkan di makmal Universiti California, Amerika Syarikat pada 1950. Maka nama kimia ini diabadikan sempena nama universiti dan negeri tersebut.
10 Bahan antibenda: £17 bilion (RM100.56 bilion)
Pada 1999, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) mengatakan US$62.5 trilion (RM254.81 trilion) diperlukan untuk menghasilkan satu gram antihidrogen.
Tujuh tahun kemudian, dianggarkan pembuatan setiap gram positron (antipartikel elektron) bernilai US$25 bilion (RM101.92 bilion).
Antibenda, atau antimatter, sejenis benda yang bersifat antipartikel, yang mempunyai berat seperti partikel sesuatu benda tetapi casnya berlawanan.
-detikdaily.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan