AWAS!!! Hati-hati jangan termakan mi kari babi di Kuala Kangsar

FMT Reporters
Samsudin-Abu_perak_kuala-kangsar_NEW
KUALA KANGSAR: EXCO Perak mengingatkan pekerja kempen dan penyokong parti yang berkempen untuk PRK Kuala Kangsar berhati-hati ketika memilih kedai makan untuk menjamu selera.

Ini kerana, sebuah premis menjual mi kari di Kuala Kangsar disiasat susulan dakwaan mengatakan ada penggunaan sup babi sebagai ramuannya.

Premis yang beroperasi sejak beberapa puluh tahun lalu dan turut dikunjungi pelanggan Islam itu diserbu penguatkuasa kelmarin, lapor akhbar Sinar Harian.

Hasil serbuan Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dua hari lalu itu mendapati kedai itu tidak mempunyai sijil halal dan pengusaha premis bukan orang Islam.

EXCO Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Samsudin Abu Hassan berkata kerajaan negeri sedang melakukan siasatan terperinci tentang dakwaan itu dan jika terbukti, premis itu boleh dikenakan tindakan.

“Bukan saja berkaitan sup babi tetapi ada tiga pekerja Melayu yang bekerja di situ dan ia nampak hendak mengaburi mata orang ramai yang datang ke premis tersebut,” katanya dipetik daripada Malay Mail Online.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai terutama beragama Islam yang berkunjung ke Kuala Kangsar sempena PRK pada 18 Jun depan dinasihatkan berhati-hati dengan premis yang tidak ada logo halal.

“Kalau boleh carilah premis makanan yang diusahakan orang Islam Kalau rasa was-was dengan kedai makanan tersebut, tinggalkan, cari yang lain dan terbukti halal dan bersih,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan