Kantoi: Pencuri tertinggal motosikal di tempat kejadian

FMT Reporters
cuir
PETALING JAYA: Gara-gara terlalu gembira berjaya mencuri lima utas rantai dari sebuah kuil Hindu, dua perompak terlupa motosikal yang ditinggalkan di luar tempat kejadian.

Mereka akhirnya dicekup apabila kembali untuk mengambil motosikal di kuil itu sejam kemudian.
Menurut laporan China Press, kejadian itu berlaku pada jam 12.45 pagi 16 Mei lalu di sebuah kuil di Setapak.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, penjaga kuil itu dihubungi bapanya yang memaklumkan ternampak dua individu tidak dikenali keluar dari pintu belakang kuil terbabit.

“Penjaga kuil mendapati lima utas rantai emas dalam kuil itu hilang dan kerugian dianggarkan kira-kira RM5,000. Ia dipercayai dicuri dan mereka turut mendapati ada sebuah motosikal diletakkan berhampiran kuil,” katanya semalam.

Menurut laporan polis yang dibuat penjaga kuil terbabit, dua lelaki India pergi ke kuil itu kira-kira sejam kemudian dan mengatakan mereka hendak sembahyang di dalam kuil itu.

Penjaga kuil yang curiga dengan dakwaan kedua-dua suspek itu kononnya hendak sembahyang pada awal pagi akhirnya mendapati mereka sebenarnya hendak mengambil motosikal yang ditinggalkan di luar kuil.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat yang diberikan dua suspek berusia 16 tahun serta 22 tahun itu, polis menjumpai tiga utas rantai emas itu dalam sebuah rumah di Setapak pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Sehubungan itu, mereka turut menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang mempunyai 15 rekod jenayah lampau dan merupakan dalang kumpulan jenayah itu.

Katanya, polis masih mencari baki dua utas rantai emas itu dan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan