'Dia bimbing saya pada Islam, dia suamiku'

Ramadan kali ini membuka lebaran baru buat seorang mualaf yang masuk tahun kedua mendalami Islam.

Hilda Saran atau nama Islamnya Naura Auni Abdullah, 27, berdoa agar keluarganya lebih terbuka menerimanya.

Naura Auni, yang sebelum ini penganut Kristian, berkata beliau berminat masuk Islam ketika kecil lagi apabila melihat sepupunya dibesarkan dalam agama itu.

Pekerja pengurusan di sebuah syarikat swasta itu berkata niatnya untuk masuk Islam ketika itu bagaimanapun terpaksa dipendam kerana tiada sesiapa yang membimbingnya.

“Dari kecil saya minat Islam kerana ada keluarga Islam, ayah kepada sepupu saya masuk Islam. Ketika saya masih kecil saya lihat sepupu saya bertudung dan solat.

“Dari dulu tertarik tapi tidak ada yang mahu bimbing saya,” katanya dalam temubual bersama Malaysiakini.

Lafaz syahadah

Wanita kelahiran Kuching itu bagaimanapun ketika melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertemu seorang lelaki yang membimbingnya ke jalan yang benar.

Setelah mendalami Islam, pada Ramadan 2014, pada jam 9 pagi beliau hadir Pejabat Agama Islam Klang bagi melafazkan syahadat dan disaksikan oleh lelaki itu yang kini merupakan suaminya.

“Saya berjumpa seorang lelaki sekarang dia kini adalah suami saya.

“Saya banyak bertanya kepada suami saya bagaimana proses ingin memeluk agama Islam dan saya mulai belajar dari dia.

“Saya memang nak dari dulu tapi tak tahu nak minta tolong dari siapa.

“Alhamdulillah, suami saya yang jadi saksi saya masuk Islam pada bulan Ramadan 2014,” katanya.

Ambil hati ibu

Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui bagaimana untuk memberitahu kepada kedua ibu bapanya mengenai perkara tersebut.

Pelbagai perkara menghantui fikiran sehingga beliau begitu khuatir sekiranya dibuang oleh keluarganya.

“Agak sukar memberitahu keluarga saya tapi lama kelamaan saya kuatkan diri untuk beritahu. Saya takut mereka putuskan pertalian.

“Saya ambil masa selama tiga bulan untuk beritahu mereka. Alhamdulillah mereka agak terkejut dengan berita itu,” katanya yang menambah adiknya turut masuk Islam awal tahun ini.

Naura Auni berkata, sesudah masuk Islam, beliau berusaha untuk mengambil hati ibu dan bapanya supaya mereka boleh menerima beliau seadanya.

“Saya tahu kemarahan mereka sudah mulai reda, tapi, Ramadan kali ini mereka lebih terbuka menerima saya,” katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan