Amoi mabuk mengamuk


Georgetown: Berang dengan serbuan dilakukan Jabatan Imigresen, seorang wanita warga China yang dipercayai mabuk melakukan provokasi dengan memecahkan beberapa botol minuman keras dan cuba menghalang operasi di sebuah pusat karaoke di Jalan Persiaran Gurney, di sini, malam kelmarin.

Op Ikrar jam 11.45 malam itu dilakukan sepasukan 23 pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri terhadap pusat karaoke berkenaan yang sebelum ini kerap diserbu pihak berkuasa.

Serbuan itu menyebabkan keadaan di dalam premis menjadi kelam-kabut termasuk cubaan pelayan pelanggan melarikan diri.
Ketua Operasi Jabatan Imigresen negeri Fairuz Ismail berkata, wanita warga China berusia 20-an itu dipercayai dalam keadaan mabuk melakukan provokasi ketika diperiksa dan enggan memberi kerjasama.

Beliau berkata, suspek memecahkan beberapa botol minuman keras dan mengancam pegawai penguat kuasa daripada menahannya sehingga menyebabkan tiga pegawai penguat kuasa cedera ringan di tangan.

“Bagaimanapun, selepas dipujuk beberapa minit, wanita berkenaan akhirnya ditahan bersama lima lagi rakan senegaranya serta empat wanita Vietnam berusia antara 18 hingga 35 tahun.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen negeri untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Peraturan Imigresen 1959/1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkat a, pihaknya turut menyiasat sama ada wujud sindiket cuba memperdagangkan wanita warga asing itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 200, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Menurutnya, siasatan dilakukan ke atas pemilik pusat karaoke berusia 35 tahun kerana disyaki melindungi dan menggajikan wanita warga asing tanpa kebenaran mengikut Seksyen 55(b), akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.
-hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan