Tranungkite
AMPANG: Derita dibuang keluarga kerana memilih untuk memeluk agama Islam, begitu perit buat Siti Aisyah Abdullah.
Ketika 'kehilangan' keluarga kandung sendiri yang menyisihkannya selepas mengetahui perkhabaran pengislaman dirinya bersama suami, Siti Aisyah bernasib baik kerana dipertemukan dengan seorang insan mulia.
Insan mulia yang digelar umi itulah yang membela nasib Siti Aisyah dan suami dengan memberikan mereka tempat berteduh di Rumah Perlindungan Nur Hati.
Menceritakan kembali kisah pengislamannya, wanita kelahiran Serian, Sarawak ini berkata, beliau tertarik untuk mengenali apa itu Islam dengan erti kata sebenar-benarnya.
Niatnya dipermudahkan apabila dipertemukan dengan umi, yang juga pengasas Rumah Perlindungan Nur Hati menerusi seorang kenalan.
"Saya rasa macam nak kenal apa itu Islam, memang kita tahu Islam tapi kita tak tahu apa itu ikhlas, pahala, amal jariah.. Kita nak cari itu semua. Tempat inilah tempat yang saya cari. Ketenangan yang saya cari ada di rumah ini.
"Selepas sebulan memeluk agama Islam, baru saya beritahu kepada keluarga, mereka marah, maki hamun semua ada sebab tak terima," katanya ketika diwawancara Antarapos.
Menjadi penghuni di rumah perlindungan ini sejak memeluk Islam hampir 10 tahun lalu, Siti Aisyah dapat merasakan perubahan ketara dalam dirinya.
Di rumah perlindungan itu yang menempatkan insan kurang bernasib baik yang kebanyakannya terdiri dari anak tidak sah taraf, Siti Aisyah belajar banyak perkara apatah lagi selepas melihat sendiri keikhlasan umi membesarkan anak-anak istimewa ini.
"Sebelum saya kenal Islam, saya jenis cepat melenting tapi selepas kenal Islam saya tenang, rileks dan tak ada naik angin. Apa yang orang nak cakap pun saya tak kisah, saya buat ini kerana Allah.
"Umi ini seorang pengasih dan penyayang, ibu yang lebih mengetahui hati anak-anak. Kita pun nak ikut caranya yang sabar dan tenang, penyayang, pemurah, mementingkan kebersihan dan kecantikan. Kita pun nak ikut cara dia.
Suami Siti Aisyah dan seorang anak mereka turut berteduh di rumah perlindungan ini bersama 46 penghuni yang lain.
Wanita berusia 41 tahun ini berperanan sebagai sukarelawan dan tukang masak kepada semua penghuni di rumah perlindungan berkenaan.
Menceritakan mengenai penerimaan keluarganya, Siti Aisyah berkata sehingga kini mereka masih belum dapat menerima hakikat pengislamannya itu.
"Saya berdoa semoga mereka diberikan petunjuk dan hidayah," kata Siti Aisyah.
Mengakui kadangkala rindu untuk bertemu keluarga bertamu di hati, Siti Aisyah berkata dia tetap mengambil tahu dan sering bertanya khabar mengenai ibu bapa menerusi adiknya.
Hampir sepuluh tahun tidak bertemu dengan keluarga kandung sendiri, Siti Aisyah berkata kesunyiannya terubat apabila melayani keletah penghuni kecil di rumah itu.
Sambutan Aidilfitri di rumah itu ujar Siti Aisyah, sentiasa meriah tambahan pula kebanyakan penghuni yang pernah menghuni rumah perlindungan itu akan berkunjung untuk sama-sama merayakan hari lebaran itu.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kerana dipertemukan dengan umi. Kalau tidak, saya pun tak tahu di mana nak tinggal," ujarnya mengakhiri perbualan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan