Intai jururawat di tandas, tukang cuci dipenjara 5 bulan

Gara-gara mengintai seorang jururawat di dalam tandas sebuah klinik kesihatan, seorang pencuci tandas warga Indonesia dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Ricky Jandriadi, 20, selepas tertuduh mengaku bersalah mengintai jururawat berusia 24 tahun itu dengan niat mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunan mangsa.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Julai lepas.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tandas wanita di sebuah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di sini, pada 7.40 pagi, 22 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga dihukum penjara dua bulan atas pertuduhan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Malaysia di perkarangan Klinik Kesihatan Cheras, pada 8.30 malam 22 Julai.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Julai dan berjalan serentak dengan pertuduhan pertama.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah terserempak dengan tertuduh ketika dia sedang mencuci tandas wanita.

Wanita itu meminta kebenaran untuk masuk ke tandas dan ketika beliau masuk ke tandas telah ternampak kelibat dan kepala seseorang dari atas tandas bersebelahan.

Mangsa kemudian menjerit dan mendengar seseorang melarikan diri. Hasil siasatan mendapati terdapat peralatan alat tukang cuci ditinggalkan tertuduh dan kesan tapak kasut di bahagian pengepam tandas bersebelahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan