Dirogol Kerana Dituduh Makan Daging Lembu

GARA-gara dituduh memakan daging lembu, seorang wanita Muslim mendakwa dia dan sepupunya berusia 14 tahun dirogol oleh empat orang lelaki di Haryana, India.

Wanita berusia 20 tahun itu turut mendakwa bahawa bapa dan ibu saudaranya dipukul hingga meninggal dunia oleh empat lelaki bukan Muslim di kediaman mereka di Mewat, India baru-baru ini.

“Mereka tuduh kami memakan daging lembu dan itu sebabnya kami dihina dan dirogol. Mereka juga ancam untuk bunuh kami jika kejadian ini diketahui orang lain,” kata wanita tersebut yang dipetik BBC.

Stesen penyiaran antarabangsa itu melaporkan, empat lelaki tersebut bagaimanapun telah ditahan dan didakwa di sebuah mahkamah kerana melakukan rogol dan pembunuhan.

Penganut agama Hindu di India menganggap lembu sebagai haiwan suci dan penyembelihan binatang itu waima oleh masyarakat Islam diharamkan di beberapa negeri termasuk Haryana.

Bagaimanapun, polis tempatan menjelaskan tiada bukti menunjukkan penglibatan kumpulan pelindungan haiwan (lembu) yang terbabit dalam kes serangan seksual ini.

Daerah Mewat yang didominasi Muslim itu pernah menjadi tajuk utama akhbar tempatan selepas kejadian polis memeriksa hidangan daging kambing supaya ianya tidak mengandungi masakan yang ada daging lembu. – MYNEWSHUB.CC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan