Guru didakwa lakukan kelucahan melampau terhadap murid lelaki berumur 11 tahun

Kuala Lumpur: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan merangsang murid lelaki berumur 11 tahun untuk melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kamarul Azamin Mohamad, 37, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap murud itu di bilik guru di sebuah sekolah rendah di sini pada 9 pagi, 4 Mei 2016.

Bagi kesalahan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap murid sama di bilik komputer sekolah itu pada 8.45 pagi, 6 Mei 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid membenarkan guru itu diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dia dilarang mendekati saksi sementara menunggu perbicaraan pada 2 November.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa tidak menawarkan sebarang jaminan dan meminta syarat tambahan supaya tertuduh tidak menganggu saksi.

Peguam, Datuk Taqiyuddin Yahya yang mewakili Kamarul Azamin merayu supaya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan memandangkan dia memberi kerjasama kepada pihak polis semasa siasatan dilakukan.

Taqiyuddin berkata tertuduh, yang mempunyai dua anak, merupakan guru bertanggungjawab serta suka bergaul dengan murid-muridnya. 
-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan