Pembangkang, jangan buang masa menunggu PAS! - SUBKY LATIF

SUBKY LATIF
APA yang sekalian pembangkang hendak buat bagi menghadapi PRU14 dan hendak menjatuhkan PM Najib dan BN buatlah. Usah pedulikan PAS dan usah tunggu PAS!

Yang sah dan sedia ada sekarang pembangkang sudah ada pakatan tiga buah parti sama bilangannya dengan Pakatan Rakyat yang ditinggalkan PAS atau Pakatan tinggalkan PAS. Ia masih sama dengan kedudukan Pakatan antara tahun 2008 hingga tahun 2013.
Pakatan atas apa jua nama yang diberi tidak luak tanpa PAS. Dengan kedatangan baru Dr. Mahathir dan TS Muhyiddin Yassin atas apa jua nama partinya, bercampur dengan Pakatan itu, menambah kuat lagi tentang terhadap BN.

Nak fikir tentang satu lawan satu, atau apa jua yang difikir baik, buatlah!

Dari menyindir dan mengata PAS begitu dan begini, membuang masa pembangkang saja. Tiada apa gunanya memikirkan PAS dipercayai atau tidak jika diadakan perbincangan dengannya bagi mengajaknya bersama.

Pada pandangan saya PAS telah membuat keputusan tegas bila membatalkan tahalufnya dengan DAP. Dia tahu risiko dan untungnya berpisah dengan DAP. Ia telah nekad untuk menghadapinya. Selagi DAP dipimpin oleh Lim Kit Sing dan anaknya Lim Guan Eng, tiada kemungkinan tahaluf disambung semula.

Dan dalam gabungan baru pembangkang itu pula ada kumpulan bekas pemimpin dan ahli PAS yang PAS kira mereka adalah pemberontak dan meninggalkan jamaah. Mana logiknya jamaah dapat duduk bersama dengan kumpulan yang meninggalkannya duduk bersama bagi menghadapi/mencari kebaikan bersama sedang tanpa mengaku mereka bersalah?

Sekalipun mereka 100 peratus betul bertindak memecah parti, tetapi yang dibangsakan meninggnalkan jamaah, tetapi dikira salah oleh jamaah yang ditinggalkan. Maka harapan jamaah untuk duduk sebagai abang adik adalah tidak mungkin. Kemungkinan yang tidak mungkin itu mungkin kiranya jamaah jadi lemah dan lumph setengah ia ditinggalkan. PAS tidak terasa tinggal nyawa ikan dengan tindakan keluar mereka.

Umno tidak akan sudi berbincang dengan Dr. Mahathir dan Muhyiddin bagi menghadapi PRU14. Umno sedia berbincang dengan Tengku Razaleigh dulu kerana Ku Li sedia membubarkan S46 dan semua ahlinya kembali dalam Umno.

Jika Parti Komunis Malaya dulu berdepan dengan pemberontak seperti itu, jangankan hendak bertemu, mereka akan tembak semuanya.

Maka selagi DAP dan pelarian PAS ada dalam pakatan pembangkang, PAS tidak akan menjadi sebahagian daripadanya. Mungkin dalam dua keadaan PAS boleh kembali ke pangkuan Pakatan. Pertama, DAP sedia terima perjuangan menegakkan hudud yang tidak melibatkan bukan Islam. Dan kedua tolak penyertaan pemberontakan PAS dalam gabungan pembangkang.

Kedua-duanya tidak mungkin. Tiada siapa yang bijak dan arif dapat membawa PAS kembali dalam muafakat pembangkang sekalipun mengalahkan BN Umno kali ini adalah satu cita-cita yang mulia.

Sekalipun Mahathir dan Anwar dapat cantumkan otak mereka yang bergeliga itu, PAS tetap macam sepat tak makan pancing berumpan emas. Biar kucing bertanduk, cacing dapat telan ular, PAS bersama rakan-rakannya selesa bersendiri.

Pembangkang buatlah apa yang patut! Jangan buang masa menunggu PAS!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan