Perut lapar tiba-tiba menjadi kenyang

MISBAHUL MUNIR MASDUKI

SAYA selaku Setiausaha Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantau, merangkap Mudir PDS merakamkan takziah kepada ahli keluarga yang dikasihi Almarhum Datuk Tuan Guru Dr Harun Din yang kembali ke Rahmatullah pagi kelmarin waktu Malaysia.

Pemergiannya buat selama-lamanya sangat dirasai oleh kami semua warga PDS, Almarhum sangat besar jasanya kepada pembangunan PDS sejak dari awal penubuhannya. Sumbangan dalam memberi buah fikiran, harta benda dan tunjuk ajarnya dalam setiap kali bermesyuarat sangat memberi semangat dan inspirasi kepada kami sebagai Ahli Majlis Perunding dan juga seluruh warga PDS yang lain.

Kesedian Almarhum menerima dan memberi keistimewaan kepada pelajar PDS mempelajari dan mengikuti pengajian perubatan Islam setiap dua kali seminggu sangat-sangat dihargai.

Saya selaku Setiausaha PDS dan juga Mudir kerap bersama Tuan Guru dalam acara-acara PDS selain bermesyuarat, pengalaman bersama Almarhum merupakan buah ilmu yang sukar diperolehi dalam mana-mana majlis yang lain.

Kami sering merujuk pandangan Almarhum Tuan Guru dalam perkara yang berkaitan dengan fikah dakwah yang realitinya sentiasanya tidak sama antara satu tempat, etnik dan budaya yang berbeza. Keilmuan dan kedalaman ilmunya sangat menyakinkan kami dalam gerak kerja dakwah di merata tempat khususnya pendalaman Sabah Sarawak.

Walaupun kami sangat terasa kehilangannya, namun tidak mematahkan semangat untuk terus memajukan PDS dengan lebih cemerlang.

Berita pemergian Almarhum, saya antara yang terlewat mendengar khabarnya, ketika semua memperkatakan keadaan kesihatannya awal pagi tersebut, saya masih lagi dalam perjalanan pulang dari pedalaman Sarawak di Long Busang menuju Sibu, sebaik ada liputan internet menjelang petang, barulah beribu mesej dalam pelbagai kumpulan tidak ada berita lain sepanjang hari ini melainkan berita tentang pemergian Almarhum buat selama-lamanya. Perut yang terasa sangat lapar ketika itu, hilang rasa laparnya mendengar berita yang sangat mengejutkan.

Kita semua adalah saksi atas amalannya, perjuangan dan pengorbannya dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Semoga Almarhum akan ditempatkan oleh Allah SWT bersama para anbiya, auliya, syuhada dan solehin.

MISBAHUL MUNIR MASDUKI
Setiausaha Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantau merangkap dan Mudir Pusat Dakwah Serantau.
14 Zulhijjah 1437.

#Almarhum adalah Pengerusi Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantau, sejak tahun 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan