Selepas TV3, Nizar bakal terima RM250,000 lagi dari Utusan


PUTRAJAYA: Genap 2 bulan selepas berjaya menerima ganti rugi RM200,000 dari TV3, Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonan Utusan Malaysia menangguhkan pembayaran ganti rugi RM250,000 kepada bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menyaman akhbar itu pada 2012.

Mahkamah dipengerusikan Tan Sri Richard Malanjum menolak permohonan itu tanpa mengarahkan peguam Nizar, Asmuni Awi dan Mohd Fitri Asmuni menjawab persoalan perundangan peguam Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd Hafarizam Harun.

Pada Disember 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan ganti rugi RM250,000 dibayar kepada Nizar selepas menolak permohonan Utusan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati laporannya berbaur fitnah.

Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaharah Ibrahim berkata hujah Utusan yang laporan itu merupakan komen adil dan hak kewartawanan tidak boleh diterima.

Nizar memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Utusan dan TV3 atas laporan berunsur fitnah memetik komen di Twitter berhubung pembelian nombor plat kenderaan “WWW 1” yang dibida pada harga RM520,000 dan dianugerahkan kepada Sultan Johor.

Bekas pemimpin PAS yang kini menganggotai Amanah mendakwa laporan kedua-dua media yang dikaitkan dengan Umno itu antara lain membawa maksud beliau seorang penderhaka kepada sultan, anti-sultan dan seorang ahli politik yang cuba menghasut rakyat membenci Sultan Johor.

Nizar dalam komen Twitter pada 28 Mei, 2012 berkata jumlah RM520,000 boleh digunakan membina 20 buah rumah untuk rakyat miskin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan