Telekom Malaysia Mungkin Terpaksa Turunkan Harga Jalur Lebar

PETALING JAYA: Telekom Malaysia Bhd (TM) mungkin terpaksa menurunkan harganya disebabkan kemunculan syarikat pesaing dengan tawaran kos lebih rendah seperti ViewQwest Pte Ltd dari Singapura yang mula beroperasi di Malaysia pada Julai.

Harga yang lebih murah itu, menurut BMI Research, juga boleh membawa kepada rangsangan dalam penggunaan jalur lebar, dan perkhidmatan IT di negara ini akan menerima akibatnya.

BMI Research, yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Fitch berkata ViewQwest menawarkan kelajuan sehingga dua kali lebih cepat berbanding pembekal sedia ada pada harga yang lebih rendah.

ViewQwest dilaporkan menyasarkan permintaan perusahaan untuk jalur lebar berkelajuan tinggi di daerah-daerah perniagaan utama.

Rakan kongsi tempatannya, Televenture telah meletakkan kabel gentian optik kira-kira 100 kilometer di bawah tanah di hab komersial utama di Kuala Lumpur, Segitiga Emas, Bangsar South dan Cyberjaya.

Menurut firma penyelidikan itu, pembekal perkhidmatan internet Malaysia membayar kira-kira AS$20 (RM82) per mega bit (Mb) kadar antarabangsa berbanding hanya AS$5 (RM20) bagi setiap Mb di Singapura.

Dengan memanfaatkan kelebihan kos ini, ViewQwest akan melemahkan harga jalur lebar pesaing yang harga puratanya adalah kira-kira RM30,000 untuk sambungan perusahaan (100 Mbps), dengan tawaran sambungan 1 giga bit (Gb) per saat pada harga S$500 (RM1,510) sebulan, katanya.

"Kemasukan pemain-pemain yang menimbulkan gangguan tersebut juga positif untuk pengambilan jalur lebar yang lebih luas apabila syarikat dominan TM mungkin terpaksa mengurangkan harga jika pesaing membina momentum yang cukup untuk mengancam kedudukan pasaran," kata firma penyelidikan itu dalam satu laporan baru-baru ini.

BMI Research menyatakan bahawa TM jelas memimpin jalur lebar tetap di Malaysia dan memiliki sejumlah besar jalur lebar antarabangsa melalui pemilikan kabel dasar laut termasuk projek-projek yang sedang berjalan.

Ia menambah bahawa disebabkan rangkaian jalur lebar ViewQwest hanya memenuhi permintaan di Kuala Lumpur, kesannya ke atas IT dan jalur lebar peringkat negara serta ramalan pasaran adalah terhad buat masa ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan