Khalid Samad bidas Nik Abduh bela kerajaan zalim

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad membidas ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohd Abduh Nik Abduh Aziz yang didakwa membela pemimpin yang menzalimi rakyatnya sendiri.

Pengarah komunikasi Amanah itu mengingatkan Nik Abduh yang juga ketua pemuda Pas serta pemimpin lain parti Islam itu agar tidak dilihat bersama dengan pemerintah yang zalim sebaliknya menzahirkan penentangan terhadap mereka.

“Nik Abduh, Tantawi (Nasaruddin Hassan) dan yang lain wajar ingat, mereka sebagai wakil parti yang bernama Parti Islam sepatutnya mereka menjaga nama baik Islam, memimpin penentangan terhadap pemimpin kleptokrat, bukan membelanya.

”Ada pemimpin parti mereka yang sebut Pas mesti dijadikan pemimpin; bagaimana ingin diterima sebagai pemimpin sedangkan tidak diperlihat kepimpinannya? Duduk dan redha pada penzalim sambil yang lain bangun menentangnya?” katanya kepada pemberita.

Beliau juga berkata, tiada hak untuk mana-mana ahli parlimen mengganggu ucapan Najib walaupun wujud sindiran dan kecaman olehnya terhadap pembangkang.

Semalam, Nik Abduh menyifatkan tindakan pembangkang mengganggu pembentangan Bajet 2017 oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak profesional.

Wakil rakyat pembangkang daripada Pakatan Harapan dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertindak keluar dewan setengah jam sebelum Najib selesai membentang bajet.

Tindakan itu ekoran ucapan Najib yang dilihat menyindir mereka dan menganggap mereka sebagai bersalah kerana memburukkan nama baik negara.

Pas bagaimanapun kekal di dalam dewan sehingga selesai pembentangan bajet.

Khalid juga mendakwa pemimpin kleptokrat seperti Najib tidak layak berucap di parlimen yang membahaskan kepentingan rakyat.

“Pemimpin kleptokrat tak layak berucap dalam Parlimen. Parlimen adalah dewan mulia yang melambangkan kekuasaan dan kepentingan rakyat. Pemimpin yang mencuri dari rakyatnya sendiri dan seterusnya berlagak tidak bersalah sambil menyindir wakil-wakil rakyat yang bersuara menentang pencuriannya tidak layak berucap di dalam Parlimen. Tidak wajar diberikan ucapannya penghormatan dan tumpuan oleh ahli-ahli Parlimen Malaysia,” tegasnya.

Sewaktu pembentangan baejt Jumaat lalu, Najib mendakwa beliau mendengar ada pihak yang membuat tuduhan bahawa Bajet 2017 sebagai satu sandiwara kerajaan.

Ekoran itu, wakil rakyat pembangkang mengangkat plakad berkenaan MO1 iaitu singkatan bagi Malaysian Official 1 yang sebelum ini disebut dalam dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berhubung kontroversi 1MDB sebelum keluar daripada dewan.
-malaysiadateline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan