Video 'Pendekar Cangkul' Belasah Pekerja Kontraktor jadi viral


PETALING JAYA: Sebuah video menunjukkan 'pendekar cangkul' membelasah seorang pekerja kontraktor yang memotong meter air di rumahnya di Johor menjadi viral di media sosial.

Menerusi gambar dan video yang tersebar di media sosial, pekerja kontraktor berkenaan, dipercayai daripada syarikat pembekalan air bersepadu SAJ Holdings Bhd telah ditendang beberapa kali, ditumbuk, dimaki hamun dan diancam dengan cangkul oleh lelaki terbabit yang marah apabila meter air rumahnya dipotong.

Dia yang memakai seluar pendek dan tidak berbaju dilihat meluru keluar dari rumahnya bersama cangkul menuju ke arah pekerja kontraktor yang berada di depan rumahnya.
Lelaki itu dilihat turut dibantu oleh seorang lagi rakannya yang juga bertindak menendang pekerja berkenaan.

Pengguna Facebook, Kapten Ben telah berkongsi enam keping gambar dan dua buah video kejadian tersebut dan menulis: "Pendekar Cangkul Kg Melayu Kulai. Kontraktor SAJ dah tiga kali iaitu tiga bulan bantu cuba mengelakkan meter air dipotong. Kali Ke 4 Kontraktor datang untuk buka meter pekerja diserang oleh 'pendekar cangkul'...buat malu orang Kulai menyerang orang yang tengah bertugas."

Posting tersebut setakat ini telah dikongsi hampir 20,000 kali dan tindakan 'pendekar cangkul' tersebut rata-rata mendapat kritikan negatif daripada netizen.
-mstar

---------------------

Polis Johor Tahan 'Hang Cangkul'

PETALING JAYA: Polis Johor menahan dua lelaki kerana didakwa menyerang seorang kakitangan Suruhanjaya Air Johor (SAJ) yang memotong bekalan air ke rumah keluarga suspek kerana tidak membayar bil.

Suspek berusia 36 dan 19, dari Kulai itu juga mengugut dua kakitangan SAJ dengan cangkul.

Dalam video insiden yang tersebar di media sosial, suspek menanggalkan topi keledar kakitangan SAJ itu lalu menumbuk kepala petugas itu, manakala ditendang seorang lagi rakannya lelaki itu.

Menerusi video itu, suspek yang tidak memakai baju dan berseluar pendek mengarahkan kakitangan SAJ itu menyambung semula bekalan air kerana ibunya telah membayar bil.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kakitangan SAJ itu mengalami "kecederaan tisu lembut".

"Kedua-dua suspek menyerang pengadu dan rakannya menggunakan tangan dan topi keledar," katanya dalam satu kenyataan.

Suspek masing-masing ditahan pada kira-kira jam 2 pagi di Jalan Indahputra dan Kampung Melayu di Kulai, Johor.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Tindakan lelaki berkenaan menimbulkan kemarahan netizen, malah ada yang menggelarnya Hang Cangkul berikutan perbuatannya menggunakan cangkul ketika menyerang pekerja SAJ ./mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan