5 murid SJKC rakam gambar guru dalam tandas

FMT Reporters
PETALING JAYA: Lima murid sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di timur laut Johor Bahru dikesan merakamkan gambar 8 guru wanita ketika berada di dalam tandas.

Oriental Daily melaporkan, tindakan 5 murid perempuan itu bermula sejak Mac lalu dan guru terbabit membawa suspek ke balai polis untuk membuat laporan, petang semalam.

Difahamkan, seorang murid memaklumkan guru terbabit mengenai perbuatan 5 murid itu pada malam Ahad lalu, sebelum mereka mengaku berbuat demikian ketika disoal guru.

Lima suspek itu dikatakan akan bersembunyi dalam 5 tandas, dengan hanya seorang yang akan merakamkan gambar guru wanita ketika menggunakan baki sebuah tandas.

Pengerusi lembaga pengarah SJKC itu yang dipetik Oriental Daily mengakui terkejut dengan kejadian itu yang sudah diselesaikan saluran dalaman pengurusan sekolah terbabit.

“Guru besar berkata kejadian itu berpunca daripada kenakalan murid perempuan dan pihak sekolah sudah menghubungi ibu bapa murid terbabit untuk menangani perkara itu.”

Beliau mendakwa pihak sekolah, guru dan ibu bapa murid terbabit bersetuju memberi amaran kepada suspek dengan membawa mereka ke balai polis untuk “menakut-nakutkan” mereka.

Katanya, difahamkan pihak sekolah akan mengambil tindakan terhadap murid terbabit dan yakin mereka akan diberikan amaran.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Jokhiri Abd Aziz mengesahkan menerima laporan itu, tetapi pihaknya belum mendapat gambar berkenaan kerana suspek mendakwa sudah memadamkan gambar terbabit dan polis akan meneruskan siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan