Amanah generasi kedua parti Islam di Malaysia

MUAMMAR QADDAFI
Saya maklum dengan satu tulisan Ustaz Riduan Mohamad Nor yang seakan tidak dapat menerima hakikat bahawa Parti Amanah Negara (Amanah) merupakan generasi kedua parti islam, dan satu satunya hujah balas beliau adalah mengkritik dari sudut kelahiran Amanah sendiri yang dakwanya Amanah hanyalah parti yang muncul berbekalkan alasan tewas di muktamar Pas ke-61 tahun lalu.

Beliau membandingkan sejarah parti generasi kedua Islam diluar seperti AKP di Turki, PKS di Indonesia adalah jauh sekali dengan sejarah penubuhan Amanah, mungkin penulis tidak tahu, selain punyai persamaan dalam asas pemikiran, kekalahan kelompok progresif dalam Muktamar "parti Islam" di Turki juga pernah mengambil tempat.

Apabila parti Refah dibubarkan pada 1998, kalangan Islamis telah menubuhkan Parti Kebajikan (Fezilet Partisi) namun pasca pembubaran Refah, telah timbul pergeseran dalam kalangan Islamis terutama antara kelompok konservatif dan pembaharu (reformis).

Kelompok reformis yang dipimpin Erdogan mahukan pendemokrasian yang lebih meluas dalam parti manakala kelompok konservatif mahu mengekalkan model kepimpinan Sang Hoca (Erbakan). Cadangan Erdogan ditolak keras Erbakan.

Oleh kerana Erbakan dilarang berpolitik, kepimpinan parti diserahkan kepada Kutan, orang setia Erbakan. Walaupun kepimpinan Kutan mendakwa cuba meluaskan agenda demokrasi dalaman parti namun kelompok reformis mendakwa kepimpinan Kutan lebih menfokuskan untuk cuba membawa masuk kembali Erbakan dalam pentas politik Turki yang menurut kelompok reformis akan menjadi halangan proses reformasi dalaman parti yang diperlukan menjelang PRU yang bakal tiba.

Ketika inilah perseteruan dalaman Fezilet mula kelihatan jelas, dan apabila tiba PRU, Fezilet mengalami kegagalan apabila perolehan undinya jatuh kepada 16% berbanding 21% sebelumnya.

Pasca PRU, perpecahan semakin meruncing apabila Abdullah Gul yang merupakan sekutu Erdogan ketika itu berundur dari kepimpinan parti bersama lima tokoh reformis dan secara terbuka menentang kepimpinan Kutan. Erbakan membuat dakwaan bahawa kelompok ini bekerjasama dengan kumpulan sekular untuk menyingkirkan dirinya namun Erdogan berhujah bahawa yang melemahkan parti adalah kerana model lama kepimpinan Erbakan.

Cubaan mengambilalih kepimpinan parti dan menjatuhkan Kutan oleh kumpulan reformis mengambil tempat dalam muktamar parti namun kelompok reformis gagal dengan peroleh undi yang lebih kecil berbanding kelompok pro konservatif yang dipimpin Kutan, pemimpin pilihan Erbakan.

Pasca muktamar, pergeseran dalaman Fezilet masih tiada kesudahan, namun sebelum perpecahan semakin melebar, mahkamah perlembagaan dibawah kuasa tentera membubarkan Fezilet, dan tregedi ini telah menjadi rahmat kepada kelompok islam apabila pembubaran ini membebaskan kedua kelompok bertelagah dan masing masing bebas memilih jalan politik sendiri.

Maka selepas peristiwa inilah tertubuh dua parti baru dari dua aliran pemikiran parti lama iaitu Parti Saadet pimpinan Kutan (mengekalkan idealogi parti lama) manakala Abdullah Gul menubuhkan Parti Keadilan Dan Kesejahteraan (AKP).

AKP terdiri dari tokoh reformis parti lama, mereka adalah kelompok yang tidak menjunjung pemikiran generasi pertama (Gen 1) sebaliknya mereka adalah Gen 2 parti Islam. AKP masih mengekalkan model asas Refah namun AKP mengerakkan model kepimpinan karismatik, meluaskan demokrasi dalam parti, telus dalam mengambil keputusan dan membuka ruang terbuka bagi mendebatkan dasar dasar parti.

Nah, tidak wujudkah persamaan dalam penubuhan Amanah dan AkP, ya benar tidaklah 100% sama kerana Pas tidak pernah dibubarkan namun pertembungan dua pemikiran, reformis dan konservatif itu berlaku pada keduanya. Asas pemecahan itu adalah sama!

Dan lebih menarik, Parti Saadet pimpinan Kutan, dalam berdepan AkP mereka melakukan serangan tidak bermoral seperti mengelarkan Erdogan dan Abdullah Gul sebagai pengkhianat gerakan Islam, pernah dengar yang seumpama ini di Malaysia? tepuk dada!

AkP juga dituduh meninggalkan perjuangan islam demi cita cita kekuasaan, ini juga skrip sama diciplak musuh Amanah di Malaysia.

Pada 3 November 2003, berlangsungnya PRu Turki, perolehan undi parti Saadet hanya berjaya meraih sekitar 2.5% undi yang bermaksud menamatkan karier politik mereka di parlimen sebaliknya AkP berjaya meraih 34% dari undi dan percaya atau tidak, kawasan "tegar" Rafah, iaitu parti yang lama sebelum ini telah memberikan undi yang sangat besar kepada AkP.

Ini kalau mahu dibuat perbandingan "sejarah" , namun ada hujah yang lebih benar tentang kewujudan Amanah sebagai parti Islam generasi kedua.

Mungkin sebagai AJK Kesenian dan Kebudayaan Pas Pusat, sememangnya imiginasi dan daya kreatif beliau dalam membentuk "public Opinion" masyarakat bahawa Amanah merupakan parti yang tertubuh kerana kalah di muktamar boleh dipuji.

Walau bagaimanapun adalah tidak wajar untuk masyarakat mendengar dakwaan tersebut tanpa "tabbayyun" dengan pihak Amanah terlebih dahulu, apakah benar Amanah ditubuh kerana faktor kecewa dengan keputusan muktamar lepas?

Amanah lahir dalam suasana pertembungan dua dimensi besar iaitu melibatkan krisis dalaman parti dan kedua wujud juga Amanah adalah kerana negara kita berterusan dilanda krisis yang serius. Amanah lahir setelah Pas gagal mewujudkan solusi untuk dua permasalahan ini.

Setelah lebih 50 tahun wujud, Pas sentiasa gagal mendominasi politik negara, lihat pada Pru pada tahun 2004 Pas hanya peroleh sejumlah 0 kerusi di DUN Selangor dan itulah tapak tegar Pas, kekalahan ini berlaku tidak lama selepas Pas melancarkan Dokumen Negara Islamnya, namun pada 2008, agenda Negara Islam diganti dengan Negara Berkebajikan dan Pas melancarkan slogan keramat "Pas For All" telah berjaya membunuh prejudis rakyat Malaysia yang bukan beragama islam terhadap Pas, disini Pas mula membina kekuatan dan mampu menjadi kuasa yang bakal meruntuhkan Umno Bn di peringkat pusat.

Namun begitu pasca PRU 13, pengaruh idea "Negara Islam" kembali bertapak dan telah mewujudkan kembali pertelingkahan besar antara kelompok konservatif dan Reformis di dalam Pas. Maka usaha untuk saling mendominasi berlaku namun malangnya, ada pihak menggunakan sentimen dan kempen buruk untuk menjatuhkan pihak lawan mereka, diberi perbagai gelaran seperti munafik haraki, liberal dan kafir sehinggalah mengeluarkan 1001 fitnah yang akhirnya menyebabkan kelompok reformis tersingkir dari kepimpinan utama Pas pada muktamar lepas.

Disinilah bermulanya langkah kedua kumpulan reformis, atau turut dijoloki sebagai "Pro- Erdogan" oleh kumpulan konservatif iaitu menubuhkan sebuah parti baru yang bakal membawa idea perjuangan mereka sendiri. Kekalahan pada muktamar itu hanyalah alat percepatkan penubuhan Amanah, kerana sebelum itupun, perpecahan dalaman Pas telah parah dan kritikal.

Untuk menyambung perjuangan Islam yang lebih besar, kelompok reformis di dalam Pas terpaksa melakukan anjakan sebagai penganti kepada Pas yang telah kembali ke kotak pemikiran lama.

Pas meletakkan islam sebagai agama yang menghukum sehinggakan tindakan tindakan tidak bermoral seperti takfiri, mengkafir harbi kembali dalam pentas politik Malaysia, hal ini sekaligus menjauhkan masyarakat kepada Pas bahkan ramai ahli Pas telah lari dari parti, dan mereka inilah yang menjadi aktivis parti Amanah hari ini.

Amanah berpandangan, kewujudan perbagai pandangan, keperbagaian kaum dan agama adalah untuk kita saling kenal dan saling hargai, bukan sebaliknya untuk berbalah dan saling memusuhi. Amanah yakin bahawa yang paling hampir dengan Allah adalah mereka yang berkeupayaan untuk mengurus keperbagaian.

Kita berharap yang mendakwa Amanah ditubuh oleh mereka yang tewas di muktamar juga tidak lupa bahawa sebelum muktamar, tuduhan melulu tanpa usul periksa seperti "baruah" telah dihamburkan oleh pucuk pimpinan kepada pimpinan yang dilihat tidak sehaluan dengan presiden parti.

Para reformis juga menerima musibah diserang dan harta dimusnah dan lebih malang apabila pihak pimpinan bagai tidak mempeduli, bahkan dilihat meredhai tindakan tersebut, saya tertanya tanya dimana suara Ustaz Riduan ketika ini untuk menegur sikap penyokong yang begitu agresif ini, budaya kekasaran ini terus dibawa penyokong Pas sehingga hari ini.

Amanah adalah jalan keluar atau rumah baru kepada golongan reformis sudah tiada masa depan dan menghadapi jalan buntu dalam parti yang sudah tiada lagi belas kasihan terhadap mereka.

Maka, jika ada yang bertanyakan adakah Amanah merupakan generasi kedua parti Islam di Malaysia, maka jawabnya: Ya, Amanah merupakan generasi kedua parti Islam di Malaysia, Amanah membawa nilai tambah baru dalam arena politik negara, membawa tafsiran baharu kepada makna "perjuangan islam" yang tidak terhad hanya kepada untuk meminda akta mahkamah syariah dan slogan slogan retorik bersendikan agama, namun gagal dalam memperjuangkan maqasid syariah kepada rakyat dan negara, Amanah juga merupakan alternatif kepada Pas, generasi pertama parti Islam, dan saingan baru kepada Umno Barisan Nasional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan